Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Khidmat kecemasan Cyber999 diwujud

sumber: http://www.cybersecurity.my/en/knowledge_bank/news/2009/main/detail/1755/index.html
10 Jun 2009(Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kerajaan akan mewujudkan satu perkhidmatan kecemasan bertujuan memberikan bantuan segera kepada pengguna Internet yang menjadi mangsa jenayah siber seperti gangguan peribadi, serangan virus, penafian perkhidmatan dan lain-lain. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, penubuhan perkhidmatan itu yang dikenali sebagai Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia adalah langkah pencegahan awal memandangkan pihaknya menerima purata 300 aduan setiap bulan berkaitan jenayah siber di negara ini.

Kata beliau, pihaknya memandang serius jumlah aduan berkenaan kerana yakin ada banyak lagi kejadian jenayah kategori terbabit yang tidak diadukan kepada mana-mana pihak. Menurutnya, golongan dewasa dan remaja adalah kelompok pengguna Internet yang teramai di negara ini dan sering menjadi mangsa pelbagai bentuk jenayah siber.

"Banyak isu yang dihadapi mereka seperti gangguan siber berlaku tanpa dilaporkan, ini memperlihatkan keperluan untuk mewujudkan kesedaran keselamatan siber di kalangan pengguna komputer di rumah, institusi pendidikan dan organisasi.

"Ancaman ini adalah tulen dan boleh mengganggu pengguna Internet dan mereka perlu dimaklumkan kaedah untuk berasa selamat dalam talian," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar dan bengkel Hacker Halted Asia Pacific 2009 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menyampaikan ucaptama pada program itu dan menyaksikan perjanjian persefahaman (MOU) antara Kolej Yayasan Melaka dan Akademi Majlis EC. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri dan Ketua Eksekutif Kolej Yayasan Melaka, Datuk Saroni Judi.

Tambah Fadillah, pihaknya telah memulakan projek perintis Cyber999 sejak setahun yang lalu dan ia memperlihatkan kejayaan yang memberangsangkan dan pelancaran rasmi projek berkenaan dijadual dilakukan awal bulan depan. Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia terhadap laman web CyberSecurity Malaysia mendapati, projek Cyber999 memberikan respons terhadap kejadian seperti pencerobohan, penafian perkhidmatan, ancaman godam, gangguan, penipuan, spam dan kod bahaya. Menurut laman web itu, aduan boleh dibuat melalui pelbagai kaedah iaitu melalui sistem pesanan ringkas (SMS), aduan dalam talian, faks, telefon talian tetap dan telefon bimbit serta beberapa kaedah lain.

0 Response to "Khidmat kecemasan Cyber999 diwujud"

Post a Comment