Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

ICT bukan alat sembang sosial semata-mata - Tengku Azlan

JERANTUT 20 Dis. - Pelajar luar bandar di daerah ini diingatkan supaya tidak menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai alat untuk bersembang menerusi laman sosial semata-mata.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menegaskan, sebaliknya, pelajar perlu menggunakan kemudahan itu untuk meneroka pengetahuan dan kemahiran supaya tidak terpinggir dalam arus pembangunan global.

''Mungkin ketika dulu kita terlepas satu gerakan revolusi ICT dan hari ini kita tidak boleh lagi ketinggalan.

''Justeru, pelajar perlu seiring dengan perkembangan ICT agar kita dapat melonjakkan pencapaian negara dalam semua bidang yang diperakui di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Beg Sekolah dan Hamper Makanan Kesihatan di bawah Program Gempur Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee dan Ketua Wanita UMNO Jerantut, Norhelan Mahmud.

Pada majlis itu, Tengku Azlan menyumbangkan bantuan peribadi beg sekolah kepada seramai 200 pelajar dan makanan kesihatan bernilai RM300 kepada penduduk miskin.

Katanya, kemahiran dalam ICT boleh membantu mencorakkan negara dalam semua bidang penyelidikan di sektor kerajaan dan swasta.

Sehubungan itu, katanya, pelajar perlu bersyukur dan berbangga kerana Malaysia mempunyai kemudahan pendidikan bertaraf dunia, berkualiti dan murah.

''Kerajaan prihatin dengan memberi kemudahan komputer dan jalur lebar dan mengagihkan netbook di bawah penyeliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), malah, sebanyak 51,000 unit netbook lagi akan diagihkan pada tahun depan.

Mudah dan pelbagai guna

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Utusan Online
Fungsi PointDraw membenarkan pengguna menconteng atau melukis sejauh lapan meter dari papan putih interaktif.

Bagi meningkatkan pembelajaran, syarikat pengeluar bahan multimedia terkemuka, BenQ memperkenalkan projektor yang sesuai dengan persekitaran pembelajaran masa kini.

Justeru, menerima projektor BenQ MP780 ST untuk diuji guna memang sesuatu mengujakan bagi penulis mengalami sendiri kelebihan projektor PointDraw berkenaan.

Projektor berkenaan istimewa dengan sistem PointDraw dengan pen interaktif, dilePublish Postngkapi dengan papan interaktif, pembesar suara yang memaksimumkan penggunaan ruang di dinding bilik darjah dengan membenarkan pengguna untuk menunjukkan, melukis dan menulis apa saja di permukaannya.

Pihak BenQ ada mengatakan projektor MP780 ST pasti mendapat tempat di hati bukan saja menarik perhatian pelajar untuk belajar malah memudahkan guru mengajar.

BenQ MP780 ST menggunakan antara muka ultra-intuitive, tidak seperti sistem pen interaktif tradisional kerana pennya tidak perlu ditentu ukur sebelum digunakan semula.

Pemasangan pantas secara plug-and-play membolehkan sambungan antara BenQ MP780 ST dengan komputer riba atau komputer meja.

Selepas itu pengguna boleh terus menggunakannya sama ada untuk melukis atau menulis pada permukaan licin tanpa memerlukan papan putih atau skrin berasingan.

BenQ MP780 ST dan sistem PointDraw sesuai dengan apa saja sistem operasi yang menyokong tetikus USB standard.

Selain itu ia juga membolehkan paparan skrin besar, integrasi dan berkongsi hampir semua perisian atau kandungan digital yang boleh dilihat di monitor komputer.

Fungsi pen PointDraw dalam projektor BenQ MP780 ST menunjukkan ciri butang yang berfungsi sama seperti butang tetikus sebelah kiri.

Ini akan membolehkan pengguna untuk memberikan kesan yang sama sebagaimana yang ditawarkan oleh butang tetikus sebelah kiri.

Selain itu sistem PointDraw membenarkan pengguna menconteng sejauh lapan meter daripada permukaan.

BenQ MP780 ST juga mempunyai Q Draw Interactive Software yang meningkatkan fungsi dengan beberapa pilihan melukis termasuk jenis pen yang berlainan, empat warna dakwat, beberapa ketebalan garisan, jadual dan keupayaan carta, pemilihan bentuk, senario skrin lawak dan beberapa widget yang berguna.

Ia akan membenarkan pengguna merekodkan seluruh pembelajaran yang ditulis atau dilukis dengan pen PointDraw.

BenQ MP780 ST membenarkan pengguna mencipta sendiri ruang projektor interaktif bermula dengan 48 inci sehingga 300 inci bagi memaksimumkan ruang dinding bilik darjah.

Berat hanya 2.6 kg ditambah dengan beberapa ciri projektor BenQ MP780 ST dam pembaca USB bersepadu bagi projektor PC, fungsi komputer meja mudah alih dan dua pembesar suara bina dalam berkuasa 10Watt.

BenQ MP780 ST PointDraw juga menawarkan pilihan sambungan HDMI v1.3, Composite, S-Video, D-Sub, mikrofon USB, L/R audio, stereo mini jack, port RJ45 dan RS232.

Selain itu projektor berkenaan juga dilengkapi dengan keupayaan 3D stereoskopik serta ciri-ciri kos penyelenggaraan rendah termasuk teknologi penapis bebas DLP bagi warna yang konsisten, kawalan satu kabel LAN dan paparan bagi tinjauan produk.

Penulis tempatan perlu manfaat ICT promosi karya sendiri

PERIBAHASA Inggeris ada menyebut, ‘buku bukanlah barang hiasan tetapi sebaik-baik hiasan di rumah adalah buku’. Ini menunjukkan betapa masyarakat di Barat menghargai buku sebagai sumber ilmu.

Pada 10 Disember lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan akan mengaktifkan semula dasar membeli terus hasil penulisan daripada penulis bagi melindungi kepentingan mereka.

Dasar itu diperkenalkan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2006 bagi melindungi penulis daripada penerbit dan pengedar yang cuba mengaut keuntungan tinggi daripada karya mereka.

Isu penulis dengan penerbit yang mengaut laba dari perahan jus minda kreatif penulis dengan bayaran yang tidak sepadan sepatutnya tidak menjadi isu jika penulis sendiri tahu hak mereka di sisi undang-undang.

Hari ini dunia siber di blog persendirian dan blog badan bukan kerajaan kita boleh melayari karya penulis yang menyumbang artikel sama ada di majalah dan akhbar yang dipetik oleh pemilik blog terbabit.

Ada yang memaklumkan sudah mendapat keizinan syarikat penerbitan akhbar dan ada yang terus menyiarkan karya penulis itu tanpa menyatakan sama ada mereka sudah mendapatkan keizinan atau sebaliknya daripada penerbit mahupun penulis. Penulisan sebegini juga perlu dilindungi oleh pihak berkuasa dan penerbit asal itu sendiri.

Soalnya, penulisan minda kreatif bentuk buku mahupun rencana bukan seperti penulisan bongkar terus seperti Wikileaks dan segala blog yang menjadi medan pertempuran ideologi paling sengit era pasca millennium.

Jika di Barat penulis seperti John Grisham, J.K Rowling dan Michael Crichton menjadi jutawan kerana menulis kisah berdasarkan pengalaman hidup dan minda fantasi bercampur-baur dengan sains dan teknologi.

Tulisan mereka menjadi filem pecah panggung seperti siri Harry Potter (J.K Rowling).

Penulis tempatan perlu keluar dari kepompong minda mengharapkan penerbit mencetak karya mereka dan mempromosikannya. Dalam dunia ICT, penulis perlu menjadikan dunia siber sebagai tapak mereka menguar-uarkan karya mereka sendiri.

AZIANA MOHAMAD ARIPIN,
MORIB, Selangor.

Sumber: Berita Harian Online
www.bharian.com.my

UPM bantu bangunkan IT Orang Asli

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
kampus@utusan.com.my
Sumber: Utusan Online

Dr. Lili Nurliyana Abdullah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan komputer kepada masyarakat Orang Asli di Tanah Rata dan Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

PERKEMBANGAN teknologi maklumat (IT) di negara ini terus pesat dengan sistem-sistem perkakasan komputer berteknologi tinggi.

Teknologi tinggi itu telah menjadikan rakyat Malaysia celik IT dalam kehidupan seharian.

Namun perkembangan teknologi itu juga tidak menghalang masyarakat Orang Asli di negara ini menikmati kemudahan yang sama untuk menjadi rakyat Malaysia yang celik IT walaupun tinggal di kawasan pendalaman.

Menyedari hakikat itu, pensyarah dan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang prihatin terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli mengenai IT telah menganjurkan aktiviti khidmat masyarakat di Tanah Rata dan Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) telah menjalankan program ITNITI iaitu bantuan khidmat komuniti teknologi maklumat kepada Orang Asli Islam Suku Semai di Sungai Ruil, Temerloh, Pahang.

Penasihat program, Dr. Lili Nurliyana Abdullah berkata FSKTM telah menyumbang dua set komputer kepada makmal komputer penduduk kampung, makanan dan pakaian serta mengadakan sesi dialog untuk meningkatkan pengetahuan IT.

"Kami berhasrat untuk meningkatkan aktiviti khidmat masyarakat dalam bidang teknologi maklumat supaya Orang Asli di negara ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara," katanya yang juga Ketua Jabatan Multimedia UPM.

Sementara itu, Wakil Tok Batin, Aswot Zainal menyifatkan sumbangan UPM wajar dicontohi pelbagai pihak yang prihatin kepada masyarakat Orang Asli yang kekurangan infrastruktur komputer dan tidak tercicir daripada kemajuan teknologi maklumat.

Dalam pada itu, pada program yang sama pelajar dari Jabatan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia juga telah menjalankan aktiviti dua hari interaksi mengenai tahap kemajuan masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong di Temerloh, Pahang.

Robot pembantu rumah dan dunia 3D

Wartawan diberi penerangan mengenai penggunaan robot oleh pegawai Festo AG.

SESUAI dengan tarafnya sebagai wilayah sains dan teknologi, aplikasi robotik dan automasi merupakan antara tarikan utama di Baden-Wurttemberg.

Robot-robot itu dicipta oleh institut-institut penyelidikan untuk kegunaan industri bagi membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti.

Universiti Stuttgard misalnya, mempunyai dua ciptaan robot yang mampu melakukan kerja-kerja yang sukar dibuat oleh manusia.

Ia sesuai digunakan untuk melakukan kerja-kerja di pelantar minyak, malah sebuah syarikat di Malaysia turut menempah robot berkenaan.

Satu lagi ialah robot dicipta khas untuk membantu kerja-kerja rumah.

Robot berkenaan sesuai digunakan oleh warga emas yang tinggal sendirian. Ia boleh bergerak mengambil dan menyerahkan barang-barang termasuk membuka peti sejuk untuk mengambil makanan dan minuman.

Tujuan robot itu dicipta ialah bagi membolehkan warga emas tinggal lebih lama di rumah sendiri dan tidak perlu terlalu awal masuk ke rumah orang tua kerana ada robot menjaga mereka.

Robot dikawal menggunakan komputer itu juga boleh menghubungi ahli keluarga terdekat, jika 'tuannya' tiba-tiba dia jatuh sakit dan tidak sedarkan diri.

Selain kajian robotik, penyelidikan dalam bidang optik tidak kurang menarik apabila kami dibawa melawat ke makmal realiti maya yang mempunyai bilik maya dinamakan '6-sided CAVE HyPI-6'.

Di situ pelawat perlu memakai cermin mata tiga dimensi (3D) untuk meneroka persekitaran alam maya iaitu berjalan-jalan dalam sebuah bangunan yang tidak wujud.

Bangunan maya ini boleh menyerupai model bangunan yang mahu dibina atau sedia ada.

Semasa berada di alam maya itu, pengubahsuaian boleh dibuat pada reka bentuk bangunan terbabit seperti menukar kedudukan bilik, dinding atau perabot mengikuti pilihan masing-masing.

Di Festo AG pula, memperlihatkan kecanggihan pusat latihan dan kilang pengeluaran teknologinya di samping mendapat maklumat menarik mengenai proses pembelian kereta di Jerman.

Menurut Ketua Perkhidmatan Pelawat Antarabangsanya, Christoph Kogler, proses membeli kereta di Jerman berbeza dengan negara-negara Asia yang kebiasaannya menempah secara terus kereta siap dipasang di pusat pameran dan jualan kereta.

Kogler memberitahu, kereta yang dimiliki oleh pemandu di Jerman adalah istimewa.

Pembeli dikehendaki memilih sendiri peralatan yang mahu dipasang pada kenderaan mereka.

Ia menjadikan kereta itu eksklusif kepada pemiliknya kerana tidak sama dengan kereta orang lain walaupun perlu menunggu selama tiga bulan untuk siap dipasang.

Melihat betapa Baden-Wurttemberg maju ke hadapan dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi, sudah tentu tidak rugi jika Malaysia menjalinkan kerjasama rapat dengannya.

Terutama kerjasama dalam industri dan pendidikan sekiranya ingin mencapai tahap negara maju menjelang 2020.

Integrasikan ICT dalam P&P

Kota Samarahan - Selepas berkunjung ke empat buah negeri, Program Jerayawara Pembestarian Sekolah Bestari (MSC) diteruskan ke destinasi terakhir di Sarawak bagi memberi pendedahan pemahaman tentang transformasi yang harus dilakukan oleh pentadbir sekolah ke arah men- capai tahap yang cemerlang dalam proses penarafan Sekolah Bestari.

Manakala para guru pula didedahkan dengan konsep pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Seramai 150 orang pengetua, guru besar dan guru telah berpeluang menyertai program anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Sarawak baru-baru ini.

Bagi mencapai objektif penganjuran, MDeC dan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) telah menjemput Pensyarah Jabatan Teknologi Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain untuk mengendalikan dua sesi taklimat yang dijalankan.

Terdahulu, Pegawai BTPN Sarawak, Munawwar Ismail telah memberikan taklimat tentang Piawaian Kelaya-kan Sekolah Bestari (SSQS) dan kaedah untuk membestarikan semua sekolah.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sambir, Latif Jem, program tersebut telah memberikan satu pengalaman yang menarik dan membuka mindanya mengenai penarafan SSQS dan cara-cara mengintegrasikan ICT dalam bilik darjah.

"Kemudahan jalur lebar yang akan digunakan dalam sesi pengajaran diharapkan akan membantu serta memudahkan para guru dan murid-murid untuk mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran," katanya.

Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak, Abd. Wahed Rosli berkata, aspek pengintegrasian ICT dalam P&P perlu diberi penekanan yang lebih serius kerana kebanyakan guru sudah mengetahui cara mengaplikasi ICT tetapi masih kurang mahir mengintegrasikannya.

Sementara itu Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Muara Tuang, Adelina Alos berkata, program yang disertainya ini banyak memberi motivasi kepada dirinya untuk mengintegrasikan ICT dalam P&P.

"Saya percaya, pengintegrasian ICT mampu menarik minat murid-murid untuk memberi tumpuan kepada proses P&P yang tidak lagi hanya terbatas di dalam bilik darjah sahaja," katanya.

Sumber: Utusan Online

Kadar penembusan jalur lebar negara lepasi sasaran


KUALA LUMPUR: Kadar penembusan jalur lebar bagi isi rumah di negara ini sudah melepasi 55 peratus sehingga 8 Disember lalu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, jumlah itu melebihi lima peratus daripada sasaran ditetapkan pada tahun lalu iaitu 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Rais berkata, pelanggan telefon selular pula melebihi 32 juta atau 109 peratus dari segi kadar penembusan manakala pelanggan telefon bimbit 3G pula berjumlah 3.9 juta pada masa ini.

“Justeru itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti ada satu kerjasama lebih hebat supaya kita dapat mencapai semua perjuangan kita melalui telekomunikasi,” katanya kepada pemberita pada Malam Penghargaan Jalur Lebar 1Malaysia di sini, malam tadi.

Antara syarikat telekomunikasi yang memenangi anugerah pada majlis berkenaan ialah Telekom Malaysia bagi kategori Pakej Jalur Lebar Terbaik, Celcom bagi Bilangan Langganan Jalur Lebar Tertinggi dan DiGi bagi Iklan TV Jalur Lebar Terbaik.

Mengenai pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh sebuah laman web antarabangsa Wikilleaks, Rais memberi amaran kepada pengusaha internet supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat atau mengeluarkan perkara yang rahsia atau sulit.

“Penting untuk kerajaan khasnya untuk berhati-hati dan perkembangan ini yang telahpun memalukan beberapa pihak termasuk di Singapura, Australia, India dan ia mungkin sampai ke negara kita.

“Jika ia berlaku, masyarakat perlu hati-hati dan tidak menerima hakikatnya seratus peratus lantaran apa yang disalurkan ini adalah perkara-perkara yang tidak lagi ditapis kenyataan atau kebenarannya,” katanya. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Demokrasi pembangunan maklumat negara

Oleh SHAHARUDIN IDRUS (Utusan Online)

TAHAP capaian jalur lebar Internet yang lebih baik merupakan kunci yang akan membawa negara kepada masa depan lebih baik sekali gus meletakkan negara di landasan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Tahap jalur lebar yang tinggi ini akan membawa pula kepada perluasan dan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seiring dengan program Transformasi Ekonomi Negara (ETP) yang telah dilancarkan.

Sehubungan itu, Sistem Maklumat Spatial Negara kini berada di landasan yang menjadikannya sebahagian daripada rutin kehidupan harian masyarakat. Sistem Maklumat Spatial terdiri daripada rangkaian beberapa entiti utama yang membentuk lingkaran keseluruhan maklumat tersebut. Salah satu yang terpenting ialah Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang dipadankan dengan Sistem Letakan Global (GPS), imej satelit, sistem komputer serta rangkaian internet yang kesemuanya membentuk satu rangkaian sistem maklumat spatial (reruang).

Apa yang lebih penting sejak kewujudan sistem maklumat spatial di persada maklumat negara ialah mempertahan dan memperteguhkan kedudukannya seiring dengan kepesatan pembangunan negara yang turut melibatkan pembangunan spatial negara.

Selaras dengan proses globalisasi yang berlangsung dengan membuka ruang maklumat agar dapat dikongsi bersama, pendemokrasian maklumat spatial negara wajar diberikan perhatian sepenuhnya. Melalui pendemokrasian maklumat spatial yang dimiliki oleh negara akan membawa kepada perencanaan dan penggunaan yang lebih berkesan dalam meneruskan kehidupan harian masyarakatnya dan seterusnya membawa kepada kualiti dan kesejahteraan kehidupan masyarakat pada masa depan.

Pendemokrasian maklumat itu berdiri atas beberapa prinsip utama yang antara lainnya ialah setiap orang berhak memperolehi maklumat yang sewajarnya. Dua perkara penting yang menyentuh tentang pendemokrasian maklumat ini, pertamanya ialah hak dan peluang yang sama rata kepada semua warga untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Kedua ialah hak kesampaian kepada maklumat yang diperlukan itu.

Maklumat wajar dan boleh didapati secara bebas, tanpa sebarang sekatan tertentu atau setidak-tidaknya pada peringkat asas dan peringkat dasar. Pendemokrasian maklumat bersabit dengan memberikan peluang seluas-luasnya kepada setiap warga untuk mendapat maklumat yang diperlukan tanpa mengira kelas sosial, kaum dan juga gender.

Ia juga akan menjadi asas kepada proses untuk mencapai masyarakat yang bermaklumat serta mampu bersaing pada peringkat global dan sentiasa kemaskini dengan maklumat-maklumat baru yang diperoleh menerusi sistem maklumat terbuka, seterusnya mampu membawa kepada peningkatan pendapatan negara.

Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan jalur lebar yang mampu mencapai kelajuan tinggi telah membawa kepada revolusi maklumat yang dapat membawa kepada ilmu pengetahuan yang lebih baik. Maklumat dan perbincangan bersifat ilmiah yang pada ketika dahulu hanya dimonopoli oleh golongan tertentu, kini boleh diakses oleh masyarakat awam yang telah mempunyai darjah celik komputer yang agak baik.

Begitu juga maklumat berkenaan dengan aspek pembangunan fizikal yang bakal dijalankan akan dipaparkan dalam ruang maya mahupun yang bercetak untuk tatapan umum. Maklumat sebegini akan memberikan kesan kepada masyarakat jika sekiranya kawasan atau tanah milik mereka akan terlibat dengan proses pembangunan tersebut.

Rakyat yang kini lebih matang pemikirannya akan dapat menilai kesesuaian atau ketidaksesuaian pembangunan yang akan dilangsungkan. Bantahan berbentuk tulisan, aduan dan sebagainya akan disalurkan jika difikirkan pembangunan yang bakal dilangsungkan itu tidak menjamin masa depan mereka yang terlibat dengan pembangunan tersebut. Maklumat spatial yang baik dan berkesan boleh menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Proses globalisasi dan googlelisasi (googlesation) yang kini sering mendominasi sistem maklumat global dengan kemudahan google maps, menyatukan pangkalan data teks dan peta oleh pembangun perisian berasaskan web, meneliti keadaan guna tanah semasa, e-mel dan pelbagai lagi sarana yang disediakan secara percuma demi memudahkan semua pihak yang menginginkan maklumat yang lebih cepat, pantas dan lengkap dalam mengejar suasana kehidupan yang dimampatkan oleh ruang masa.

Kesemua maklumat yang menjadi keperluan kepada semua pihak ini tidak mengira peringkat umur, sosio-ekonomi, budaya malahan merentasi sempadan etnik dan kaum telah menggunakan maklumat sama yang diperoleh daripada pangkalan data yang kita sendiri tidak mengetahui dengan tepat di mana data tersebut disimpan.

Keterserlahan maklumat yang dimiliki oleh pencetus google kini seolah-olah hampir tidak ada satu pun pesaing yang mampu menyaingi kudratnya dalam menguasai teknologi maklumat global. Lantaran sinonim perkataan globalisasi maklumat dan googlelisasi.

Maklumat yang sahih, tepat dan jitu yang terbina akan menjadi penyalur dan pembangunan budaya dan ilmu, penyalur kemahiran dan keterampilan, penyalur kepercayaan dan jati diri serta maruah tetapi seharusnya berasaskan pemahaman dan budaya setempat yang dibina secara berterusan dengan sokongan kewangan yang kukuh.

Pembangunan maklumat negara perlu seiring dengan pangkalan maklumat yang telah tersedia di pasaran maya. Orang ramai kini lebih mudah dan selesa mendapatkan maklumat berkait dengan perkara yang ingin diketahui dan diselidikinya dari laman maya berbanding dengan yang bersifat bercetak atau yang tersimpan secara fizikal di perpustakaan yang memerlukan pula masa untuk pergi ke tempat tersebut dan perlu mencari tempat meletak kenderaan berbanding dengan masa yang diambil untuk melayari bahtera maya maklumat yang tersedia dengan begitu meluas dan mempunyai darjah kejituan yang tinggi.

Nampaknya yang hadir daripada googlelisasi ini ialah merubah seluruh wajah kehidupan masyarakatnya, dari pola pekerjaan, corak pendidikan sehinggalah kepada kebiasaan pada waktu lapangnya. Kesemua itu turut mengalami perubahan yang bukan sedikit kesannya ke atas kehidupan masyarakat seluruhnya. Lantaran, sistem maklumat spatial yang perlu diperteguhkan kehadirannya perlu dilihat dalam lingkaran teknologi maklumat yang sedia wujud di persada maya ini.

Beberapa halangan bersifat struktural, institusi dan pemikiran perlu diruntuhkan untuk memastikan sistem maklumat spatial negara ini betul-betul dapat diperkasakan dan seterusnya membawa negara ke persada dunia seiring kepesatan maklumat global.

Shaharudin Idrus
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada kesan negatif pada pengguna

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN (Utusan Online)

RADIASI yang dihasilkan gelombang daripada stesen pemancar oleh ketiga-tiga pengendali telekomunikasi iaitu Maxis, Celcom dan DiGi adalah kurang daripada tahap yang ditetapkan.

Kajian yang dilakukan dari semasa ke semasa oleh Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mendapati gelombang yang dipancarkan tidak mendatangkan kesan negatif kepada pengguna.

Pengarah Pusat Penyelidikan Radiasi Frekuensi Radio Uniten, Prof Madya Dr. Md. Zaini Jamaludin berkata, ujian radiasi mendapati nilai bacaan yang diambil di kawasan aduan tidak pernah melebihi tahap bahaya, walaupun berada berhampiran menara.

"Tanggapan masyarakat mengenai menara telekomunikasi hanyalah kesan psikologi dan maklumat tidak benar dari faktor sekeliling," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada program taklimat Agenda Radio Frekuensi (RF) antara Media dan Industri di Pulau Pangkor, Perak baru-baru ini.

Katanya, Uniten telah menjalinkan kerjasama dengan SKMM terutama dalam program berkaitan radiasi RF.

"Ini melibatkan pelbagai ujian bagi memastikan keselamatan penduduk serta menangkis tanggapan negatif mengenai tahap radiasi frekuensi radio (RF) yang dikeluarkan oleh menara pemancar serta peralatan yang berkaitan," katanya.

Setiap kali SKMM menerima aduan, ujian akan dijalankan di lokasi berkenaan menggunakan peralatan terkini dan termaju mengikut standard antarabangsa.

Bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, Dr. Md Zaini menegaskan audit tahunan mesti dilaksanakan serta ujian mestilah dijalankan ke atas lebih banyak stesen pangkalan.

Pada program yang sama, Profesor Dr Kwan-Hoong Ng, dari Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Universiti Malaya, berkata, terdapat dua jenis radiasi iaitu radiasi berion dan tak berion.

"Radiasi berion memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan dan memberi kesan kepanasan melampau seperti sinaran Gama dan sinaran X (X-ray).

"Radiasi tak berion tidak memiliki tenaga yang cukup untuk menyebabkan pengionan dalam jirim hidup dan tidak mendatangkan kesan buruk pada manusia," katanya.

Contoh radiasi RF adalah daripada pemancar televisyen, radio dan telekomunikasi.

Spektrum medan elektromagnet (EMF) bagi elektrik statik dan medan magnetik ialah 0 Hertz (Hz) dan medan frekuensi paling rendah ialah di antara 0 Hz hingga 300 Hz.

Manakala radiasi RF dan gelombang mikro (MW) ialah antara 300Hz hingga 300GHz.

"Setiap pancaran RF akan menghasilkan medan elektromagnet (EMF) yang dikira dalam bentuk voltan semeter persegi (Vm2).

"Apabila RF melalui badan kita, sebahagian tenaga akan diserap, sementara jumlah tenaga yang terkumpul di dalam tisu badan bergantung ke atas frekuensi radiasi.

"Misalnya kadar radiasi 1GHz, hampir semua tenaga diserap ke lapisan pertama dua hingga tiga sentimeter tisu badan," katanya lagi ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Apakah Had Dedahan RF? - Standard Tempatan dan Antarabangsa.

Paras selamat yang ditetapkan ICNIRP adalah ketumpatan kuasa tidak boleh melebihi 4.5 watt semeter persegi (W/m2) untuk 900Mhz, 9 W/m2 untuk 1900MHz dan 10 W/m2 untuk 2000MHz.

Ujian Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) membuktikan purata bacaan radiasi di kawasan sekitar pemancar telekomunikasi di Semenanjung Malaysia ialah 0.000093 W/m2 bersamaan 0.002 peratus daripada jumlah pendedahan minimum yang dibenarkan ICNIRP.

Menurut beliau negara sedang membangunkan standard pendedahan RF yang kebanyakannya mengikut standard ICNIRP.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Keselamatan Sinaran, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr. Pirunthavany Muthuvelu berharap orang ramai mengambil langkah berhati-hati dengan pelbagai peralatan komunikasi terutama telefon bimbit.

"Jangan dedahkan kanak-kanak dengan telefon bimbit kerana mereka memiliki sel tisu yang sedang berkembang terutamanya di bahagian otak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan tumbesaran," katanya yang ditemui pada program yang sama.

Menyentuh kaitan telefon bimbit dengan kanser otak, Dr Piruthavany berkata, saintis belum memberikan kata putus kerana ia masih memerlukan lebih banyak penyelidikan.

"Kita boleh mendapatkan banyak maklumat mengenainya di Internet, ada yang menyarankan supaya kurangkan tempoh penggunaan telefon bimbit, gunakan kit bebas tangan dan jangan letakkan di dalam poket," katanya.

Penyelesaian cekap era maya

Pelanggan dalam era maya memerlukan penyelesaian teknologi maklumat (IT) yang menjana kecekapan, meningkatkan nilai bisnes selain menjana inovasi tanpa mengganggu teknologi sedia ada.

Berpengalaman lebih 25 tahun dalam memenuhi keperluan pengguna, Dell mengumumkan teknologi baru, perkhidmatan, peralatan pengurusan dan penyelesaian bisnes sedia ada.

Ia memberikan pilihan dan membantu pelanggan mengurangkan masa untuk membina, menguruskan dan mengekalkan keupayaan pusat data.

Membina kekuatan dalam industri dengan menjalinkan kerjasama dalam penyimpanan, pelayan, jaringan rangkaian dan perkhidmatan, Dell perkenalkan penyelesaian bersepadu produk perkakasan dan sistem keupayaan pengurusan kritikal.

Ia bagi mengatur kedudukan dan menjana beberapa elemen pusat data sebagai penyelesaian holistik.

Pendekatan berkenaan direka memberikan keberkesanan yang signifikan pada kedua-dua OPEX dan CAPEX dan menjalankan misi syarikat terbabit bagi mengurangkan bajet dengan mengekalkan status quo dan meningkatkan pelaburan dalam projek inovatif.

Ketika pelanggan melihat kepada operasi pusat data yang kemas, kombinasi platform penyimpanan generasi baru dan model infrastruktur pintar menjadi bertambah penting.

Produk penyimpanan baru Dell EqualLogic, rangkaian penyelesaian Dell PowerConnect dan pelayan Dell Power Edge, semua dibina pada piawai industri, ditambah dengan Dell Storage, Virtualization and Support Services menjana organisasi dan ketangkasan aplikasi bagi membantu pelanggan memberikan tumpuan kepada inovasi sebagai asas.

Bagi membantu pelanggan mengatur penyelesaian pusat data integrasi maya-sedia, Dell memperkenalkan enam Dell Business Ready Configuration yang terkini.

Ini boleh membantu pelanggan mengurangkan kompleksiti dan percubaan yang terlibat dalam mengatur projek maya.

Ini dilakukan dengan membawa pelayan terbaik, penyimpanan, rangkaian dan teknologi maya dalam pra konfigurasi dan pengesahan bagi memastikan penyusunan yang pantas.

Penyelesaian berkenaan bersepadu dengan infrastruktur pelanggan sedia ada selain membenarkan mereka mendapat faedah menggunakan sama ada hypervisors VMware® atau Microsoft®.

Pelanggan hanya perlu memulakan pengatur infrastruktur bagi penggabungan bagi pelanggan yang lebih matang dan mencari keupayaan pemulihan bencana dan Dell ada jalan penyelesaiannya.

sumber: Utusan Online