Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

DBP tubuh jawatankuasa martabatkan bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memartabat serta memperkasakan bahasa Melayu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, jawatankuasa itu juga diberi tanggungjawab untuk menguruskan hal-hal berkaitan bahasa kebangsaan serta melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan.

Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menubuhkan jawatankuasa tersebut.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan yang mahu rakyat Malaysia memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Perbincangan untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut sedang berjalan dan kami berharap ia akan dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ia boleh menjadi ejen terbaik untuk mempromosikan bahasa Melayu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sepetang di Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan.

Turut hadir Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaafar; Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd. Bakke Salleh serta Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian pantun, sajak, syair serta puisi daripada tokoh-tokoh sastera terkemuka negara seperti A. Samad Said, Zaen Kasturi, Dr. Asiah Sarji dan Lim Fheng Fheng.

Menurut Termuzi, Bulan Bahasa Kebangsaan yang bermula pada 1 Oktober lalu sehingga 31 Oktober ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, sebanyak 260 aktiviti memartabatkan bahasa Melayu telah dianjurkan di seluruh negara sepanjang tempoh kempen itu berlangsung.

“Sambutan yang diterima pada tahun ini cukup menggalakkan dan ini menunjukkan sudah ada kesedaran dalam diri rakyat Malaysia tentang pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi identiti negara kita,’’ jelasnya.

Sumber: Utusan Online - 26/10/2010
-----------------------------------------------------

Komen FS SMKSB:  Adik-adik patut memartabatkan Bahasa Melayu dalam pertuturan dan penulisan harian. Kini kebanyakkan pengguna internet gemar menggunakan bahasa-bahasa ringkas yang tidak mencerminkan keunggulan Bahasa Melayu.

0 Response to "DBP tubuh jawatankuasa martabatkan bahasa kebangsaan"

Post a Comment