Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Jadikan subjek Sejarah wajib lulus

Utusan Online - 23/10/2010

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Mata pelajaran Sejarah perlu disyaratkan wajib lulus di sekolah bagi mendidik generasi muda untuk memahami situasi sebenar penubuhan negara ini yang berbilang kaum.

Wakil Puteri UMNO, Fahariyah Md. Nordin berkata, semakin ramai generasi muda enggan menerima sejarah hingga sanggup mempersoalkan bantuan kepada golongan memerlukan yang dianggap berat sebelah dan tidak adil.

Sikap seperti itu katanya, secara tidak langsung membuatkan mereka sukar memahami program transformasi kerajaan dan ekonomi yang giat diusahakan sekarang.

“Golongan ini sukar memahami mengapa Malaysia perlu mengikut acuan pemerintahannya tersendiri. Mereka lupa masih ada saudara sebangsa dan senegara yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

“Disebabkan itu, Puteri UMNO mencadangkan subjek Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus di sekolah agar generasi muda pelbagai kaum dapat saling menghormati serta tidak meletakkan kepentingan puak melebihi kepentingan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Fahariyah menambah, kerajaan serta golongan dewasa juga perlu mencari pendekatan berbeza bagi mendidik generasi muda mengenai sejarah termasuk dengan memanfaatkan teknologi.

“Kefahaman sejarah boleh diberi dalam bentuk pengkisahan atau penceritaan. Selain itu terapkan juga elemen sejarah menerusi filem, animasi atau permainan komputer bagi menjadikan sejarah sesuatu yang ingin diketahui dan menangkap imaginasi mereka,” ujarnya.

Beliau turut menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan Puteri UMNO sewaktu ‘meminta izin’ para pemimpin dan ahli UMNO untuk berjuang mengikut acuan pergerakan itu sendiri.

“Kami mahu berjuang sejajar dengan usia muda kami dan selari dengan generasi kami,” katanya.

0 Response to "Jadikan subjek Sejarah wajib lulus"

Post a Comment