Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

TM lancar pakej jalur lebar dan netbook kos rendah

Sumber: Utusan Online - www.utusan.com.my
28/05/2010 6:30pm

KUALA KLAWANG 28 Mei - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengambil inisiatif memperkenalkan pakej jalur lebar dengan netbook khusus untuk isi rumah berpendapatan rendah.

Pakej baru itu yang dipanggil pakej jalur lebar TM dengan komputer 1Malaysia akan menawarkan keluarga berpendapatan rendah gabungan netbook dan akses jalur lebar Streamyx dari hanya RM38 sebulan untuk tempoh 24 bulan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, inisiatif jalur lebar negara akan memastikan semua rakyat Malaysia sama ada di kawasan pinggir bandar, pedalaman atau terpencil, mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

Katanya, kerajaan sedang cuba mengatasi isu kemampuan dengan menawarkan perkhidmatan jalur lebar yang mampu dimiliki kepada segmen masyarakat yang memerlukannya.

"Dengan jalur lebar, rakyat mempunyai akses kepada Internet, maklumat dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi dan sosialnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pakej jalur lebar dan netbook di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.

Katanya, ini bagi memastikan penduduk kawasan pedalaman tidak ketinggalan daripada arus teknologi komunikasi maklumat nasional.

"Saya memang teruja dengan pengenalan pakej kos rendah yang menarik ini, dengan komputer peribadi dan langganan untuk individu dan isi rumah yang dibekalkan oleh TM.

"Dengan ini, komuniti pedalaman di kawasan yang sukar dicapai sebelum ini, kini sudah boleh menggunakan jalur lebar untuk mendapatkan maklumat berguna dan mengakses kepada perkhidmatan di hujung jari mereka,” katanya. - Bernama

Disk Cleanup

Imbasan cakera harus dilakukan dengan kerap sekurang-kurangnya sekali setiap bulan kerana ia berupaya memastikan kelompok "cluster" pada cakera keras berada di dalam keadaan baik. Anda juga boleh menggunakan fungsi Disk Cleanup apabila anda melihat penurunan persembahan dalam sistem PC.

Kegunaannya adalah membuang fail-fail yang tidak diperlukan dalam sistem komputer berdasarkan kehendak pengguna.

Cara melakukan Disk Cleanup adalah:-

1. Dwi klik ikon My Computer anda dan klik pada drive C dan klik kanan seperti paparan skrin dibawah

2. Pilih Properties, Skrin dibawah akan dipaparkan

3. Klik Disk Cleanup di General

4. Anda dikehendaki tandakan fail-fail yang anda hendak bersihkan dan klik OK untuk memulakan proses pembersihan.

5. Satu mesej pengesahan akan dipaparkan. Jika anda hendak meneruskan proses pembersihan, sila klik Yes. Jika sebaliknya klik No.

Jika Yes, menu di bawah akan dipaparkan iaitu menunjukkan proses pembersihan sedang dijalankan.

SELAMAT MENCUBA....

Masalah Kata Laluan Tidak Berfungsi

Apabila anda berada di internet semasa menggunakan e-mel atau akaun lain; ada beberapa sebab kenapa anda boleh mendapat mesej ralat “Kata Laluan Tak Sah”.

Cara yang sebaiknya anda lakukan ialah:-

* Tetapkan kekunci CAPS LOCK anda dengan betul. Kata laluan peka huruf besar/kecil (bermakna “KATA LALUAN,” “KaTa LaLuan,” dan “kata laluan” adalah tidak sama), jadi pastikan anda ingat ini ketika anda memasukkan kata laluan anda.

* Tunggu sehingga 24 jam. Jika anda baru meminta kata laluan baru atau menukar kata laluan anda, ini membolehkan akaun anda dikemaskinikan.

* Daftar masuk dengan ID yang betul. Pastikan anda menggunakan ID yang betul apabila mendaftar masuk ke akaun anda. Jika anda terlupa ID anda, anda boleh meminta semula ID anda secara dalam talian.

* Hapuskan fail cookie anda. Cookie adalah sebahagian kecil maklumat yang disimpan oleh penyemak anda yang membantu mengenal pasti anda. Jika cookie tidak diterima dengan betul, anda akan dilog keluar daripada akaun anda sebaik sahaja beralih ke laman lain. Hal ini mungkin menyekat keupayaan anda pada sesuatu masa untuk log masuk atau kekal log masuk.
Untuk menghapuskan cookie, tutup semua tetingkap penyemak imbas, cari direktori “cookie”, dan hapuskan fail cookie di dalamnya. Seperti lazimnya, pastikan yang anda memilih fail yang wajar sebelum menghapuskan.

* Kosongkan cache penyemak imbas anda. Kadang kala perlu cache penyemak imbas anda dikosongkan. Cache adalah memori yang penyemak imbas anda gunakan untuk menyimpan kandungan laman web yang anda kunjungi. Dengan menyimpan kandungan ini, penyemak imbas dapat memuat turun laman yang sama dengan lebih cepat apabila anda mengunjunginya lagi pada masa akan datang.

Jika masih menghadapi masalah, sila minta kata laluan baru. Sebaik sahaja anda menerima kata laluan baru anda, anda boleh mengubahnya.

Pintasan Papan Kekunci (Keyboard Shortcut)

Dengan menggunakan pintasan papan kekunci, kita dapat menjimatkan masa dengan melancarkan arahan–arahan yang biasa digunakan.

Pintasan yang biasanya digunakan adalah:-

Shortcut Keys ---> Description
Alt + F ---> File menu options in current program.
Alt + E ---> Edit options in current program
F1 ---> Universal Help in almost every Windows program.
Ctrl + A ---> Select all text.
Ctrl + X ---> Cut selected item.
Shift + Del ---> Cut selected item.
Ctrl + C ---> Copy selected item.
Ctrl + Ins ---> Copy selected item
Ctrl + V ---> Paste
Shift + Ins ---> Paste
Home ---> Goes to beginning of current line.
Ctrl + Home ---> Goes to beginning of document.
End ---> Goes to end of current line.
Ctrl + End ---> Goes to end of document.
Shift + Home ---> Highlights from current position to beginning of line.
Shift + End ---> Highlights from current position to end of line.
Ctrl + Left arrow ---> Moves one word to the left at a time.
Ctrl + Right arrow ---> Moves one word to the right at a time.

Salam Hari Guru 2010

Tema: Guru Pembina Negara Bangsa

Pengorbanan guru
17 Mei 2010 (Berita Hariam)
Pelbagai insentif bukti jasa golongan pendidik dihargai

SUKAR mengukur nilai pengorbanan seorang guru terutama bagi mereka yang diamanahkan bertugas di luar bandar apatah lagi di kawasan pedalaman.

Pengorbanan mereka yang sedia mengajar di kawasan berkenaan tiada tolok bandingnya kerana masing-masing sanggup berkorban bagi memastikan anak bangsa di sana turut mendapat hak sama rata dengan rakan mereka di bandar.

Sejajar tema Hari Guru 2010, `Guru Pembina Negara Bangsa’, guru di kawasan luar bandar dan pedalaman menjadi harapan negara dan rakyat untuk melahirkan generasi berilmu, bermaruah dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata peranan guru membentuk insan berkualiti berpaksikan tiga fokus iaitu memberi ilmu, mendidik dan membimbing.

Justeru itu, katanya, ketika menerima amanah mengajar, mereka harus sedia berkorban dan sanggup berkhidmat di mana saja termasuk di pedalaman.

“Merujuk tema yang disifatkan relevan dengan tugas utama guru sebagai pendidik, apatah lagi dalam konteks membentuk keharmonian dalam negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan keturunan.

“Alasan bertugas di pedalaman yang serba kekurangan tidak wajar dijadikan alasan mereka hilang semangat dan motivasi mengajar. Sebaliknya, kekurangan ini perlu dilihat sebagai cabaran untuk terus berjuang,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Mohd Puad berkata, pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan dilaksanakan bagi keselesaan dan kemudahan guru berkenaan.

Beliau berkata, satu demi satu insentif dan keistimewaan disalurkan kepada mereka termasuk berusaha menaik taraf dan membina kuarters guru di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

Kementerian katanya, akan memastikan kemudahan penginapan guru selamat diduduki. Kemudahan itu penting bagi memastikan guru terutama wanita mendapat perhatian dan kemudahan wajar sejajar pengorbanannya sebagai pendidik anak bangsa.

“Selain itu, Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) diberikan. Sehingga kini, sejumlah 12,687 guru menikmati elaun ini dengan kos pembiayaan bernilai RM116.4 juta setahun.

“Pemberian Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) turut disalurkan, selain peluang kenaikan pangkat dan tawaran pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“BIP contohnya diberikan kepada guru mengikut kawasan dikategorikan sebagai pedalaman 1 (P1) dengan bayaran berjumlah RM500, pedalaman 2 (RM1,000) dan pedalaman 3 (RM1,500),” katanya.

Puad berkata, beberapa pendekatan baru bagi mengatasi masalah kekurangan guru di pedalaman akan dilaksanakan tahun ini. Pendekatan itu termasuk menetapkan kuota pengambilan 40 peratus guru Semenanjung dan masing-masing 30 peratus guru dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, pelaksanaan itu bertujuan mengelakkan masalah pertukaran atau penghijrahan guru secara berterusan. Penetapan kuota sekali gus memenuhi keperluan guru di negeri berkenaan.

Selain itu, Mohd Puad berkata, usaha pengagihan semula penempatan guru mengikut opsyen dilaksanakan khususnya guru bahasa Inggeris, Sejarah dan Kemahiran Hidup. Beberapa sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman berhadapan masalah guru daripada opsyen berkenaan.

“Usaha menyeimbangkan pengambilan guru lelaki dan perempuan dengan menetapkan nisbah 50:50 juga akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi memastikan lebih ramai guru lelaki ditempatkan di kawasan pedalaman.

“Tidak timbul soal kita mengenepikan kualiti calon guru semata-mata ingin memenuhi nisbah ini kerana setiap tahun, bilangan pemohon lelaki yang memenuhi merit kelayakan mencukupi dan mereka bersaing,” katanya.

Apa itu Virus?

Sebenarnya virus komputer adalah merupakan sebuah program yang dicipta oleh manusia. Program virus komputer ini sama seperti program-program yang lain iaitu membenarkan ianya melekat (attach) kepada perisian-perisian lain bertujuan untuk mengganggu serta membinasakan perisian yang ditumpanginya.

Pada peringkat awal, program virus dicipta untuk melindungi sesuatu program yang dicipta dari disalin oleh orang lain. Mengikut undang-undang, pencipta virus komputer boleh dianggap sebagai satu perbuatan jenayah tetapi tiada peruntukkan atau akta yang boleh mendakwa pencipta virus ini.

Virus komputer terbahagi kepada dua bahagian asas iaitu bahagian kulit (shell) dan bahagian tubuh (body).

Di dalam bahagian kulit, terkandung kod-kod yang digunakan untuk melipat-gandakan bilangan virus didalam sesebuah sistem komputer.

Bahagian tubuh pula, mengandungi kod-kod yang digunakan untuk mengaktifkan virus pada masa tertentu(pre set time).

Apabila virus telah diaktifkan, virus akan memperlihatkan pelbagai isyarat seperti memadamkan fail-fail, merosakkan FAT, mencampuradukkan fail-fail di dalam partition table,membesarkan saiz fail dan sebagainya.

Virus boleh menyebabkan keseluruhan sistem komputer tidak dapat berfungsi dengan sempurna dan kehilangan fail atau data-data yang tersimpan di dalam hard-disk.

Jenis-jenis virus.
1. Asalnya virus komputer boleh dibahagi kepada dua iaitu boot virus dan file virus.
2. Boot virus adalah virus yang akan menyerang pada boot sector iaitu tempat di mana pemacu memulakan bacaan.
3. Virus ini akan merebak apabila suis komputer dihidupkan, ia akan berpindah memasuki memori dimana setiap komputer atau disket yang berkongsi dengan komputer tersebut akan secar automatik dijangkiti oleh virus.
4. Virus fail tidak begitu merbahaya kerana ia hanya akan melekat pada 'extension' failnama seperti .COM, .EXE, .SYS dan lain-lain.
5. Selain daripada virus, terdapat juga beberapa program yang hampir sama dengan virus iaitu :-

* Worms dimana ianya sama seperti virus tapi ia tidak boleh melekat pada program lain dan juga tidak boleh mengubah program tersebut.
* Worms ini akan beroperasi sendiri dengan melalui sesuatu program dan meninggalkan kesan pada laluannya.
* Worms hanya terdapat pada komputer besar seperti main dan mini sahaja.
* Trojan Horse adalah program atau kod program yang membawa virus atau worms kepada program yang sedang digunakan.
* Logic Bomb ialah program alat jangka (timing device) yang membolehkan virus disimpan sehingga virus disebarkan untuk memusnahkan sebarang program. Ianya mungkin berupa tarikh atau masa virus itu akan diaktifkan.

Bagaimana Virus Dikesan.
* Virus boleh dihalang dengan membuat scan terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang disket dengan menggunakan pengesan virus.
* Memulakan sistem komputer dari HDD atau boot dari pemacu C: juga merupakan salah satu cara bagi menghalang virus.
* Memastikan disket yang digunakan sentiasa dalam keadaan 'write-protected'.
* Memastikan program yang diterima dari internet di simpan ke dalam disket terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam HDD.
* Virus juga boleh terhalang dengan memastikan hanya e-mail yang dikenali sahaja diterima untuk dibaca.

Mengesan Dan Menghapuskan Virus.
1. Sebenarnya tiada teknik yang benar-benar dapat menghalang dan menghapuskan virus 100%.
2. Perisian anti-virus dicipta untuk mengesan dan menghapuskan virus dan perisian ini dicipta berasaskan beberapa ciri iaitu :-

* Pengesan yang akan bertindak memeriksa saiz fail-fail sama ada berubah atau sebaliknya kerana perubahan pada fail-fail merupakan satu tanda serangan virus.
* Penyembuh dicipta bagi menyelamatkan dan memulihkan fail selepas diserang virus dengan menyusun semula program kepada asal. Juga berupaya untuk membinasakan virus yang terdapat didalam komputer.
* Penahan adalah untuk menyekat virus daripada menyerang komputer dengan memeriksa perubahan yang berlaku pada boot sector. Terdiri daripada dua jenis iaitu perisian anti-virus yang boleh dimasukkan kedalam HDD dan yang berasaskan BIOS.

Langkah-Langkah Yang Perlu Diambil Jika Terdapat Serangan Virus.
1. Tentukan sejauh mana serangan terhadap sistem komputer dan pastikan sama ada virus boot atau virus file.
2. Gunakan disket yang boleh 'boot up' ( disket boot ) dan pastikan pada kedudukan sekatan tulisan dan boot menggunakan FDD.
3. Dengan menggunakan program anti-virus, kesan dan musnahkan virus yang terdapat di dalam komputer.
4. Jika terdapat serangan yang begitu teruk, cara terbaik adalah dengan menghapuskan kesemua fail yang terkena serangan virus dan kemudian menggantikan dengan fail yang baru.
5. Jika serangan yang dikenalpasti adalah begitu kritikal, cara terbaik adalah dengan cara memformatkan semula pemacu yang terkena serangan virus tersebut. Tetapi sebelum pemacu tersebut diformat, pastikan anda membuat back-up terlebih dahulu fail-fail yang penting kemudian musnahkan virus dengan menggunakan cara terawal sebelum memasukkan semula fail-fail tersebut ke dalam pemacu yang telah di format.
6. Selain daripada itu, bagi memastikan pemacu benar-benar selamat untuk digunakan semula, adalah lebih baik pemacu tersebut menjalankan proses LLF(Low Level Format) kerana dengan menggunakan LLF, cylinder, head, sector didalam pemacu berkenaan akan dibersihkan sepenuhnya.

Dipetik dari: Tips Komputer.blogdrive

Kegunaan Aplikasi ICT

Faedah menggunakan aplikasi ICT dalam tugas-tugas harian

* Mempercepatkan tugas-tugas rutin;
* Memudahkan pelaksanaan tugas;
* Mengurangkan kesilapan-meningkatkan mutu kerja;
* Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.


APLIKASI

- Membuat slaid untuk pembentangan => Microsoft Powerpoint

- Membuat dokumen berjadual, pengiraan => Microsoft Excel

- Membuat surat, laporan, artikel => Microsoft Word

- Membuat kad, brosur, pamplet => Microsoft Publisher

- Menyimpan data / pangkalan data => Microsoft Access

- Merancang projek (gantt chart, budget, sumber) => Microsoft Project

- Membuat diagram, pelan, carta => Microsoft Visio

Gangguan Perkakasan Komputer

Sekiranya komputer anda lumpuh (crash) dan bunyi cakera kerasnya kedengaran luar biasa, ini mungkin bermakna komputer tersebut berpotensi untuk mengalami kerosakan yang tidak diduga.

Jadi simpanlah (save) maklumat di dalam program yang sedang dibuka dan mulakan pengenalpastian punca masalahnya dari peringkat paling asas. Berikut adalah beberapa contoh masalah/gangguan biasa pada perkakasan komputer dan cara untuk menanganinya.

Bekalan kuasa : Apabila skrin monitor anda secara tiba-tiba gelap (blank) dan tiada sebarang paparan antaramuka aplikasi yang sedang berfungsi, maka langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memeriksa bekalan kuasa untuk kesemua perkakasan sistem komputer anda. Misalnya, sesetengah kabel bekalan kuasa monitor dipalamkan pada bahagian belakang komputer dan ada pula dipalam kepada outlet AC. Jadi, palam (palam) bekalan kuasa itu boleh jadi longgar dan anda perlu memastikan semua palam dipalamkan dengan baik.

Sekiranya kabel bekalan kuasa komputer anda dihubungkan kepada sebuah ‘strip’ (soket sambungan) bekalan kuasa, maka pastikan setiap soketnya mempunyai suis. Lihat juga pada lampu yang menandakan suis kuasa untuk semua peralatan telah dibuka, di mana suisnya perlu berada pada kedudukan ‘on’ (buka). Jika ia masih tidak berfungsi, maka soket kuasa itu mungkin bermasalah – misalnya fius terbakar. Bagi menguji sesebuah palam kabel kuasa yang dirasakan rosak, anda boleh memalamkannya kepada soket lain yang boleh berfungsi.

Sambungan : Satu lagi masalah yang biasa pada perkakasan komputer ialah kabelnya yang dipasangkan dengan tidak kemas. Semua peralatan komputer biasanya memiliki kabel kuasa dan data yang dihubungkan kepada komputer dan anda perlu memastikan penyambungannya tidak longgar. Kadangkala ada pengguna yang cuba memasangkan jenis kabel yang berbeza secara tidak sengaja atau memang tidak tahu. Sekiranya anda mendapati kabel tersebut tidak secocok, maka jangan cuba untuk memaksanya kerana ia boleh merosakkan.

Teknik Penjagaan Komputer

Teknik penjagaan komputer merangkumi beberapa topik utama yang perlu menjadi perhatian. Diantaranya :

Masalah Habuk

Musuh yang paling utama bagi komputer ini adalah habuk. Habuk ini sentiasa berada disekeliling kita. Ianya berbentuk partikel-partikel halus yang terapung-apung di udara. Setiap komponen elektronik yang terdapat pada PC amat sensitif pada habuk. Habuk ini terdapat berbagai jenis dan termasuklah asap rokok. Partikel-partikel asap boleh mengakibatkan jangka hayat komputer akan kurang. Jenis-jenis habuk yang lain pula termasuklah habuk dari udara dan habuk dari serangga-serangga yang masuk ke dalam komputer kita.

Cara pencegahannya, kita perlu tutup komputer kita jika tidak di gunakan, dengan plastik komputer. Cara rawatannya pula , ialah gunakan vacum cleaner yang berkuasa rendah dan berus cat yang kering untuk menyedut habuk-habuk yang terdapat pada PC anda (jangan gunakan yang berkuasa tinggi kerana ia boleh merosakkan komponen-komponen komputer tersebut).

Pastikan kipas di bahagian dalam CPU di bersihkan. Habuk boleh menyebabkan udara dari kipas tidak bergerak dengan sempurna dan

mengurangkan kesejukan. Kipas perlu di bersihkan ialah pada bahagian bekalan kuasa dan kipas di atas chip CPU.

Masalah Suhu

Letakkan komputer anda di kawasan yang sejuk. Tempat sejuk yang dimaksudkan disini adalah kering. Sekiranya lembab, ia boleh merosakkan komponen di dalam komputer. Suhu memang menjadi penentu utama dalam menentukan jangka hayat sesebuah komputer. Jangan biarkan komputer anda terkena air dan kelembapan. Air mungkin akan menjadi punca kemalangan yang tidak di ingini. Komputer yang terkena air bukan sahaja boleh rosak, tetapi akan mengakibatkan bahaya kepada penggunaannya.

Cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan meletakkan komputer anda jauh dari pancaran matahari.

Pastikan komputer anda sentiasa mendapat peredaran udara yang baik. Pasang kipas dengan kuat sekiranya anda menggunakannya lebih dari 2 jam. Jika anda menggunakan penghawa dingin adalah lebih baik di aktifkan ketika anda menggunakan komputer. Kepanasan membolehkan komputer anda mengalami kerosakan komponen.

Masalah Cara Penggunaan

Penggunaan PC bergantung kepada sikap. Terdapat beberapa komponen komputer yang mempunyai jangka hayat yang rendah. Komponen-komponen ini terdiri daripada keyboard dan mouse. Keyboard dan mouse mudah rosak dan perlu diganti bila perlu. Cuba dapatkan keyboad atau mouse pada harga yang mahal sedikit kerana keyboard dan mouse jenis ini lebih tahan lama dan selesa untuk di gunakan.

Ujian Permata Pintar

Ujian PERMATApintar UKM1 adalah ujian IQ berbentuk ujian dalam talian yang boleh dicapai melalui lawan web http://www.permatapintar.edu.my Ujian ini mengukur kebolehan verbal melalui pembendaharaan kata dan penaakulan (reasoning) secara logikal. Ia dibina oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ujian saringan pertama PERMATApintar UKM1 ini adalah dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Ujian PERMATApintar UKM1 bermula dari 1 Mac 2010 hingga 31 Mei 2010. Ujian ini adalah untuk pelajar-pelajar Malaysia yang berumur 8 hingga 15 tahun sahaja. Ujian ini boleh dilakukan sama ada di sekolah, rumah, cybercafé atau dimana sahaja terdapat capaian internet. Ujian UKM1 merupakan saringan pertama untuk pelajar menyertai program-program.

1. Perkhemahan PERMATApintar Negara di UKM (untuk pelajar berusia 9-15 tahun)
2. Perkhemahan PERMATA Insan yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (untuk pelajar berusia 8-12 tahun)
3. Akademi PERMATApintar UKM iaitu sekolah khas pintar cerdas (untuk pelajar tingkatan 3 pada tahun 2010 yang akan memasuki tingkatan 4 Akademi pada tahun 2011).

Perlu diingatkan bahawa pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain, kamus, media elektronik dan sebagainya semasa mengambil ujian saringan ini, dan setiap pelajar hanya dibenarkan mengambil ujian saringan ini sekali sahaja. Pelajar akan diminta memasukkan biodata mereka sebelum memulakan ujian saringan ini.

*Nota:
1. Ibubapa, penjaga atau guru dibenarkan membantu pelajar untuk memasukkan maklumat pelajar, sekolah dan ibubapa/penjaga sahaja.
2. Ujian ini boleh diberhentikan dan disambung semula ke mukasurat terakhir anda.
3. Jika talian internet anda terputus anda akan dibawa ke mukasurat permulaan dan anda perlu memasukkan MYKAD/MYKID/Surat Beranak# untuk ke mukasurat terakhir anda.


KLIK DI SINI UNTUK MEMULAKAN UJIAN ATAU MENYAMBUNG UJIAN SARINGAN PERTAMA UKM1

Semakan Tawaran Kemasukan Ke Tingkatan Enam Bawah 2010

Sukacita dimaklumkan Semakan Tawaran Kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah Sesi 2010 boleh disemak melalui laman sesawang www.moe.gov.my mulai 3 Mei 2010 hingga 1 Jun 2010.

Harap maklum.


http://apps.emoe.gov.my/form6/semakan2010/index.cfm

Kami mengucapkan TAHNIAH kepada pelajar SMK Simpang Bekoh yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6.

Guru Pembina Negara Bangsa

HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN 2010 YANG KE-39

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin akan merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 yang ke-39 pada 16 Mei 2010 pada pukul 9.30 pagi di Universiti Malaysia Pahang, Sri Gambang, Pahang Darul Makmur.

Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Universiti Malaysia Pahang, Sri Gambang ini, beberapa aktiviti akan diadakan seperti Forum Pendidkan dan juga Pameran Pendidikan.

Anugerah yang berprestij seperti Tokoh Guru Kebangsaan 2010 akan diserahkan kepada tokoh-tokoh guru yang telah berkorban dan berbakti di dalam bidang perguruan.

Puncak Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 ini adalah penyerahan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2010 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2010.

Tema Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2010 yang ke-39 ini adalah “Guru Pembina Negara Bangsa”. Tema ini akan dibincangkan secara mendalam di dalam Forum Pendidikan yang akan berlangsung pada pukul 2.45 petang pada 15 Mei 2010 bertempat di Kolej Shah Putra, Kuantan, Pahang.

Majlis Pelancaran PRS SMKSB

Al-hamdulillah pada pagi tadi telah berlangsung Majlis Pelancaran Pembimbing Rakan Sebaya SMK Simpang Bekoh yang telah dirasmikan oleh Tuan Hj. Hamzah bin Mohd Taib (Penolong PPD - Pegawai KGSK), PPD Jasin Melaka.

Dalam ucapan perasmian, beliau telah menyampaikan kata-kata azimat dan peringatan penting buat pelajar-pelajar SMKSB.
Ubahlah mentaliti supaya menjadi orang yang berjaya. Rajin berusaha dan cintakan ilmu melalui budaya rajin membaca.


Semoga PRS SMKSB yang telah dilantik akan menjadi model terbaik dan pembimbing kepada rakan-rakan pelajar yang lain.

Jalur lebar SchoolNet dipertingkat

Utusan Malaysia @ 30 April 2010

KUALA LUMPUR 29 April - Rangkaian jalur lebar, SchoolNet yang disediakan di 9,884 sekolah seluruh negara akan dipertingkatkan dengan teknologi tanpa wayar, WiFi dan WiMAX yang lebih pantas.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, langkah itu akan dilaksanakan kerana rangkaian jalur lebar ke sekolah sekarang yang menggunakan satelit gagal mencapai sasaran kelajuan satu megabit sesaat (Mbps).

''Pancaran menerusi satelit tidak begitu memuaskan dari segi kejelasan bahan yang diterima, kualiti saluran yang dipakai dan kelajuannya," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd. Khalid Ahmad pada sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut Rais, rangkaian jalur lebar WiMAX dan WiFi yang akan diperkenalkan di sekolah menjelang hujung tahun ini adalah murah dan mempunyai kualiti perkhidmatan lebih baik.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Idris Buang, beliau berkata, kadar penembusan jalur lebar di negara ini sekarang adalah 35.4 peratus.

''Ini bermakna sebanyak enam juta isi rumah telah menggunakan rangkaian jalur lebar dan kita meletakkan sasaran 50 peratus isi rumah akan menikmati kemudahan sama menjelang akhir tahun ini," ujarnya.

Menurut beliau, sasaran itu hanya boleh dicapai sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan kerjasama dengan mempercepatkan proses kelulusan untuk syarikat swasta memasang infrastruktur jalur lebar.

''Kerajaan negeri dan PBT juga harus memastikan kadar sewaan tapak yang disediakan kepada syarikat terbabit tidak terlalu mahal," katanya.

Khidmat jalur lebar ke sekolah perlu dipertingkat: Rais

Berita Harian @ 29 April 2010

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa perkhidmatan jalur lebar di 9,884 sekolah yang menyertai program SchoolNet perlu dipertingkatkan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata ini kerana sasaran satu Mbps (megabits sesaat) dari segi kelajuannya di sekolah berkenaan masih belum dapat dicapai.
"Dengan lain perkataan, kelajuan khidmat jalur lebar di sekolah perlu kita tingkatkan dan peningkatan ini memerlukan beberapa prasarana baru, salah satu daripadanya ialah penggunaan sistem wimax atau wifi tanpa wayar. Pada masa ini ialah pancaran menerusi satelit dan ini pada keseluruhannya, didapati tidak begitu memuaskan dari segi keterangan bahan yang diterima atau integriti saluran yang diterima, kualiti salurannya yang dipakai, juga kelajuannya," katanya ketika menjawab soalan Senator Mohd Khalid Ahmad.

Bagaimanapun, Rais berkata pihaknya berharap menjelang hujung tahun ini, penambahbaikan dalam khidmat jalur lebar akan dapat dilakukan di sekolah berkenaan dalam tiga aspek iaitu penurunan kos, kualiti penerimaan dari segi integriti dan saluran bebas rintangan.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,089 Perpustakaan Desa di seluruh negara sedang dilengkapi dengan peralatan perkhidmatan jalur lebar yang membabitkan Telekom Malaysia selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Terdahulu, Rais berkata kementeriannya telah menggunakan pelbagai pendekatan untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat di negara ini termasuk menyediakan Pusat Internet Desa, Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), Pusat Jalur Lebar Komuniti dan rangkaian SchoolNet.
"Selain itu, orang ramai turut didedahkan dengan latihan dan kemahiran ICT serta diberikan sijil selepas menamatkan sesi pembelajaran.

"Seramai 250,000 orang terdiri daripada pelajar sekolah, suri rumah dan warga emas telah dilatih di bawah projek USP sehingga kini," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Idris Buang di Dewan Negara di sini.

Idris meminta Rais menyatakan taraf penguasaan pembelajaran komputer dan IT di kalangan masyarakat Malaysia mengikut negeri dan cara untuk mengurangkan jurang digital yang ada.

Beliau berkata, pelbagai kandungan tempatan dan aplikasi turut disediakan seperti e-Government, e-learning dan e-banking untuk meningkatkan penguasaan ICT dan pengetahuan serta memberi manfaat kepada komuniti setempat melaksanakan urusan dengan kerajaan dari segi pembayaran cukai, permohonan kerja ataupun perbankan.

Katanya, kajian impak yang dijalankan beberapa institusi pengajian tinggi jelas menunjukkan bahawa terdapat kesan positif terhadap penguasaan pembelajaran ICT di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar.

"Sebanyak 76.5 peratus responden bersetuju bahawa pelaksanaan projek berkenaan telah meningkatkan tahap kemahiran dan penguasaan ICT," katanya.

Bagaimanapun, Rais berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat atau data khusus berkaitan tahap penguasaan pembelajaran ICT bagi setiap negeri.

Kepada soalan lain, beliau berkata semua lapisan masyarakat perlu menerima hakikat bahawa ICT adalah satu elemen tamadun baru atau kaedah dan pendekatan hidup yang baru.

"Setelah diteliti dalam keadaan sejagat dan juga setempat, didapati bahawa perubahan ini sedang menular dan ia diterima baik di seluruh negara, cuma yang menimbulkan masalah kini ialah tentang pensajian atau pemberian khidmat jalur lebar, atau dalam ertikata lain, bagaimana jalur lebar itu dapat menembusi keluarga, individu, sekolah, jabatan-jabatan kerajaan dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, ketika ini kadar penembusan jalur lebar di negara ini ialah 35.4 peratus daripada enam juta isi rumah.

"Ertinya kepada Malaysia ialah bahawa setakat ini, proses wifi dan wimax misalnya, sudahpun mencapai tahap tempat ketiga di dunia.

"Justeru, apa yang telah digariskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam sektor ICT kita tampaknya Malaysia adalah melangkah ke depan dengan cara yang positif sekali," katanya.

Rais berkata, dalam penyediaan infrastruktur kemudahan itu, kerajaan menghadapi masalah di beberapa negeri, antaranya lewat mendapat kebenaran daripada kerajaan tempatan dan pengenaan sewa yang tinggi.

Bagaimanapun, katanya, usaha sedang dijalankan bagi membolehkan kadar sederhana dan mampu dikenakan terhadap pengguna perkhidmatan jalur lebar di negara ini. - Bernama