Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Bendung kesan negatif ICT

GUADALAJARA (Mexico) 8 Okt. - Tindakan Malaysia membangkitkan isu keselamatan Internet, termasuk keperluan membendung pornografi kanak-kanak, serta kesan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terhadap nilai budaya disambut baik oleh pelbagai pihak terutama pemimpin dan badan telekomunikasi dunia.

Usul yang dibangkitkan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-18 pada Selasa dilihat oleh pelbagai pihak sebagai perlu diberi perhatian memandangkan kini tumpuan adalah lebih kepada pembangunan infrastruktur informasi teknologi maklumat daripada kesan dan impaknya kepada tamadun manusia.

"Isu ini akan terus dibangkitkan di persada antarabangsa supaya perkara itu tidak diremehkan oleh mana-mana pihak dan bagi memastikan pelbagai langkah susulan diambil," katanya sebelum berlepas pulang ke tanah air pada petang ini.

Rais yang diiringi isterinya Datin Seri Masnah Rais, telah berada di sini sejak Isnin lepas bagi menghadiri persidangan ITU yang diadakan empat tahun sekali. Beliau turut meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari beberapa negara.

Rais berkata bahawa selepas membentangkan cadangan Malaysia supaya ITU mengkaji semula peranan dan perlembagaannya untuk memastikan kemajuan ICT tidak menghakis budaya, nilai serta tradisi masyarakat pada sidang pleno ITU pada Selasa lepas, beliau akan menyusulnya dengan menghantar surat kepada Setiausaha Agung ITU, Dr. Hamadoun Toure.

Ini bagi memastikan cadangan yang dikemukakan oleh Malaysia itu diambil tindakan oleh Toure, yang baru dilantik semula mengetuai agensi berkenaan yang terletak di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu. ITU bertanggungjawab antara lainnya menetapkan piawaian teknikal untuk semua jaringan ICT dan membangun serta melaksanakan strategi untuk mengurangkan jurang digital.

Malah Toure dalam pertemuannya dengan wartawan Malaysia mengakui isu itu harus digalas oleh semua negara dengan sama-sama meletakkan rangka kerja perundangan untuk menanganinya, dan setiap kerajaan dari seluruh dunia harus memberi keutamaan terhadap isu itu.

Malah, katanya, ITU sedang bekerja keras untuk menjalin kerjasama dan membiayai projek untuk menyediakan ruang siber yang selamat dan terjamin untuk semua.

Toure menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi utama ITU dalam menangani ancaman siber melalui Usaha Sama Multilateral Antarabangsa Menentang Ancaman Siber (IMPACT).

Semasa berucap pada majlis resepsi Malaysia pada Rabu lepas, Toure turut menyifatkan Malaysia sebagai negara yang komited dan menjadi anggota yang aktif mempromosi ICT.

Katanya, wakil Malaysia dalam Lembaga Kawal Seli Radio ITU, Dr. Ali Ebadi, merupakan seorang yang banyak memberi sumbangan.

Rais berkata beliau tidak akan berhenti pada persidangan ITU dalam usaha membangkitkan isu-isu itu, malah akan terus dibangkitkannya pada pelbagai platform termasuk pada mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (Telmin) Asean bersama rakan dialognya Korea, China, Jepun dan India yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada penghujung tahun ini.

Mengenai pencapaian Malaysia dalam bidang ICT, beliau berkata, maklumat balas yang diperolehnya daripada pelbagai pemimpin luar mengenai pembangunan ICT di Malaysia adalah sesuatu yang amat membanggakan.

"Mereka turut melahirkan pandangan positif terhadap usaha gigih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan ICT sebagai agenda utama pembangunan negara," katanya.

Pada persidangan hari ini, beliau turut mengambil bahagian dalam pemilihan jawatan Setiausaha Agung dan Timbalan Setiausaha Agung ITU di mana Dr. Hamadoun Toure mengekalkan jawatannya dan Zhou Houlin kekal sebagai timbalan.

Walaupun kedua-dua mereka tidak dicabar, proses pengundian tetap diteruskan.

Toure dari Mali mendapat 151 undi daripada 157 negara yang hadir manakala Zhou dari China mendapat 155 undi. - BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1009&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm&arc=hive

0 Response to "Bendung kesan negatif ICT"

Post a Comment