Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Ucapan raya guna teknologi elektronik

Utusan Online
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN dan ASHRIQ FAHMY AHMAD

Selari dengan perkembanan teknologi Internet, laman web sosial dan laman sembang menjadi perantara untuk menyampaikan ucapan hari raya.

SETELAH berjaya mengharungi pelbagai dugaan sepanjang 30 hari berpuasa, ketibaan Syawal saban tahun pastinya disambut dengan penuh kesyukuran dan meriah.

Pelbagai persiapan dibuat seperti menghias dan mengemas rumah, membeli-belah serta menyediakan kuih-muih, semuanya adalah untuk memastikan keunikan tradisi perayaan Aidilfitri terus dikekalkan.

Sesuatu yang memang tidak pernah dilupakan adalah perutusan khabar lebaran kepada insan tersayang dan juga sahabat handai yang berada jauh di perantauan untuk mengeratkan silaturrahim.

Sama seperti amalan balik kampung dan juga kunjung mengunjung, berbalas kad ucapan untuk bertanya khabar dan mengutus salam kemaafan telah menjadi suatu kemestian.

Bagi mereka yang berada di seberang lautan atau tidak dapat pulang ke kampung atas urusan tertentu, amalan tersebut sedikit sebanyak akan dapat mengubat kerinduan setelah sekian lama tidak bertemu.

Dahulu, kebanyakan kita mengirim kad raya pelbagai corak dan saiz sebagai pengganti diri membawa perkhabaran lebaran.

Hari berganti hari, tradisi tersebut semakin kurang dilaksanakan kerana peranan kad raya kini telah diambil alih oleh pelbagai medium yang lebih canggih dan moden.

Itu merupakan kesan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin diterima baik oleh masyarakat kini.

Bermula dengan ucapan Aidilfitri yang dihantar menerusi kiriman sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS), perkembangan teknologi hari ini telah membolehkan ucapan raya dihantar secara dalam talian pula iaitu menerusi kad raya elektronik dan juga e-mel.

Kad raya elektronik mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Menerusinya, pengguna boleh memilih corak grafik yang diinginkan di mana mereka juga boleh memasukkan elemen animasi, muzik dan gambar mengikut kesukaan mereka.

Selain cantik dan menarik, menghantar ucapan dengan cara tersebut juga dikatakan lebih mudah dan pantas berbanding cara manual.

Teknologi terus berkembang, kini terdapat semakin banyak saluran teknologi disediakan untuk tujuan menghantar ucapan raya menerusi capaian Internet.

Terbaru, pengguna Internet boleh membuat ucapan secara dalam talian menggunakan laman web rangkaian sosial dan juga laman blog.

Antara yang semakin popular kini adalah laman web rangkaian sosial seperti Myspace, Facebook dan Tweeter.

Mungkin pengguna mempunyai alasan tersendiri mengapa medium tersebut menjadi pilihan berbanding menggunakan kad raya.

Ada yang berpendapat cara tersebut lebih cepat serta tidak melibatkan kos melainkan bayaran mengakses internet yang sangat minimum.

Bagi yang kreatif dan mempunyai pengetahuan dalam menggunakan pelbagai perisian komputer pula, mereka boleh mencipta kad ucapan sendiri mengikut rekaan kegemaran.

Apa yang menarik, pengguna laman tersebut juga boleh menghantar ucapan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang berada di dalam akaun laman sosial mereka secara serentak.

Cara tersebut dilihat lebih praktikal memandangkan kebanyakan individu sekarang telah mempunyai akaun laman berkenaan selain ia mudah untuk diakses dimana-mana sahaja yang mempunyai sambungan rangkaian Internet.

Tambahan pula, kesemua laman itu juga kini boleh diakses secara terus daripada telefon bimbit pintar moden hari ini.

Justeru, mereka boleh membalas segala ucapan yang diterima pada masa yang sama juga.

Selain kad raya, laman-laman berkenaan turut menawarkan ruang sembang sebagai pengantara untuk membolehkan ucapan raya disampaikan.

Dengan cara itu, kedua-dua pihak akan berasa dekat dan seronok berborak secara dalam talian walaupun dipisahkan dengan jarak yang sangat jauh.

Tidak cukup dengan itu, pengguna turut dihidangkan platform menghantar perutusan Aidilfitri menerusi video dan juga audio.

Biasanya, pengguna akan merakamkan video ucapan raya mereka terlebih dahulu sebelum dimuat naik pada laman web tertentu supaya dapat ditonton oleh pengguna lain.

Menerusi audio pula, pengguna boleh berbual panjang dengan orang yang tersayang menggunakan perkhidmatan suara.

Antara perkhidmatan itu yang popular adalah seperti Yahoo Messenger, Google Talk dan Skype.

Kecanggihan dunia teknologi hari ini juga telah membolehkan aplikasi tersebut mudah untuk dikendalikan, tidak mengalami gangguan, mempunyai kualiti suara terbaik dan yang paling penting ia murah.

Tidak kira bagaimana ucapan raya diungkapkan atau menggunakan medium apa sekalipun, apa yang menjadi kemestian, Aidilfitri harus di sambut secara sederhana dengan tidak melupakan saudara mara dan juga rakan taulan.

0 Response to "Ucapan raya guna teknologi elektronik"

Post a Comment