Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Teknologi ‘bunuh’ minat membaca?

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/09/28

Dakwaan ini ditolak dua sarjana universiti tempatan. 

BUKAN sesuatu yang luar biasa dan aneh apabila minat membaca di kalangan masyarakat terutama generasi muda semakin menurun, malahan terdengar suara sumbang yang mengatakan bahawa kebanjiran teknologi moden seperti internet, video, permainan siber dan televisyen menjadi faktor penyebab masalah itu.

Kesan teknologi memang tidak boleh dipandang ringan malah, generasi muda lebih cenderung menggunakan bahan yang datangnya daripada teknologi berbanding medium lain kerana mereka menghabiskan banyak waktu melayari internet.

Namun, sejauh mana teknologi berfungsi untuk menarik minat membaca di kalangan masyarakat terutama bagi generasi muda atau kecanggihannya membuatkan masyarakat semakin leka hingga tanpa disedari minat terhadap membaca semakin terhakis dan terbunuh ekoran kesan penggunaan teknologi.

Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Arbaie Sujud, berkata beliau tidak bersetuju jika teknologi dijadikan punca terhakisnya minat membaca di kalangan masyarakat sebaliknya, teknologi adalah alat yang mampu meningkatkan budaya membaca.

Menurut Dr Arbaie, individu yang tidak mahu membaca bukanlah disebabkan teknologi, tetapi kerana sikap mereka sendiri yang tidak suka mendapatkan maklumat lanjut atau mencari inisiatif berkenaan cara terbaik untuk memupuk minat membaca kerana lebih mementingkan hiburan.

“Sebenarnya antara faktor yang menyebabkan seseorang itu tidak suka membaca adalah kerana bahan bacaan yang dijual di negara ini juga sangat mahal berbanding negara lain berasakan nisbah pendapatan, Selain itu, faktor lain adalah sikap masyarakat sendiri yang sering menyalahkan sesuatu seperti teknologi sebagai punca kurangnya minat membaca sedangkan itu semua tidak tepat.
“Teknologi sebenarnya bukan membunuh tetapi alat yang membantu kepada peningkatan minat membaca di kalangan masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat lebih selesa menggunakan teknologi seperti internet untuk mencari bahan bacaan dengan mudah, selesa dan terkini,” katanya kepada Sastera di Serdang, baru-baru ini.

Dr Arbaie berkata, mengehadkan penggunaan teknologi bukan penyelesaian muktamad bagi meningkatkan minat membaca terutama di kalangan generasi muda kerana pelbagai alternatif boleh dilakukan melalui teknologi bagi menarik minat membaca seperti mencipta bahan bacaan di internet berdasarkan minat masyarakat.

“Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, kita harus membuka ruang supaya orang boleh memilih apa yang mereka suka malah, teknologi harus dimanfaatkan. Tetapi, pada masa sama kita perlu ada strategi supaya pengguna teknologi menggunakan alat itu untuk menambahkan lagi minat membaca selain, mampu membezakan penggunaan bahasa yang betul dan salah dalam setiap pembacaan mereka di ruang siber,” jelasnya.

Ketua Program Sains Maklumat, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Juhana Salim, pula berkata teknologi membantu masyarakat memperoleh maklumat dengan kadar yang cepat seperti laporan berita berkenaan apa yang berlaku di sekitar mereka.

“Ini juga adalah satu daripada proses pembacaan sekali gus, membuktikan teknologi sebenarnya menyokong kepada pembentukan budaya di kalangan masyarakat. Malah, membaca di ruang siber dilihat lebih membantu masyarakat untuk peka dengan keadaan semasa kerana ia tidak mengambil masa yang terlalu lama.

“Sebenarnya tanpa kita sedari, masyarakat hari ini membaca lebih daripada apa yang mereka baca sebelum ini kerana kecanggihan teknologi. Minat menjadi meningkat kerana segala maklumat dan bacaan boleh diperoleh secara mudah melalui internet dan juga televisyen,” ujarnya.

Prof Juhana berpandangan, negara memerlukan teknologi bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju kerana masyarakat dan ekonomi tidak akan membangun dengan pantas tanpa bantuan teknologi selain, ia berfungsi sebagai alat penghubung untuk semua bidang.

“Kita perlu lihat secara teliti yang mana dulu semua bahan bacaan perlu dibeli malah, ada kalanya sukar untuk diperoleh pada kadar waktu yang diinginkan tetapi, melalui teknologi semua maklumat berjaya diperoleh secara padat, mudah dan cepat dengan hanya menggunakan hujung jari.

“Sebenarnya, masyarakat perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi dengan memperbanyakkan bacaan melalui kemudahan itu, bukannya leka mengejar hiburan dan mencari maklumat yang tidak berfaedah. Teknologi sebenarnya bukan menjadi penyumbang utama kepada perkara negatif tetapi, semuanya berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab masyarakat,” katanya.

0 Response to "Teknologi ‘bunuh’ minat membaca?"

Post a Comment