Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Ibu bapa berperanan didik anak mengenai IT

ARKIB : 31/08/2010
Utusan Online

BERA 30 Ogos - Ibu bapa perlu berperanan dan bertanggungjawab dalam menggalakkan anak-anak menguasai ilmu teknologi maklumat (IT) sebagai penggerak evolusi pada abad ini.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan kerajaan membangunkan prasarana seperti pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC) untuk memastikan peningkatan dalam perkembangan penyelidikan dan kreativiti.

Menurut beliau, kerajaan tidak mahu rakyat ketinggalan bagi bidang tersebut dan diberikan peluang meningkatkan kemahiran mereka dalam ICT.

"Kerajaan tidak mahu apabila negara mencapai tahap negara maju pada tahun 2020 tetapi masih ada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar tercicir dan tidak tahu menguasai IT.

"Untuk itu, kerajaan akan terus merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar bagi memastikan tidak ada rakyat yang tercicir dan ketinggalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Netbook 1 Malaysia daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada 1,500 pelajar daripada enam buah sekolah menengah daerah ini, di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, kerajaan membelanjakan RM1.2 billion bagi mengagihkan 1.2 juta netbook percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dan juga pelajar.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 65 peratus diagihkan kepada para pelajar yang tidak berkemampuan dengan keutamaannya diberikan kepada sekolah menengah dan pelajar universiti yang masih tiada langganan Internet jalur lebar.

Tambahnya, manakala 35 peratus lagi diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan kurang liputan dan sedia ada perkhidmatan dengan sasaran pengagihan meliputi kampung tradisional, kampung baru dan pusat penempatan setempat.

Katanya, penerima perlu mendaftar dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) untuk mendapatkan pakej jalur lebar WIFI TM selama setahun sebagai syarat penerimaan netbook percuma tersebut.

"Langkah yang dilaksanakan kerajaan di bawah Skim Pemberian Perkhidmatan Sejagat ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang bertujuan meluaskan penembusan akses Internet jalur lebar kepada umum," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,500 netbook diperuntukkan di bawah tiga PJK yang terdiri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, SMK Seri Bera, SMK Bandar Kerayong, SMK Felda Purun, SMK Triang dan SMK Bukit Mendi membabitkan pelbagai kaum.

"Setakat ini SKMM sudah mengagihkan 18,500 netbook kepada para pelajar sekolah menengah di seluruh Pahang," katanya.

0 Response to "Ibu bapa berperanan didik anak mengenai IT"

Post a Comment