Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Menyediakan rakyat celik IT

Selari dengan usaha Kerajaan untuk meluaskan penembusan akses jalur lebar kepada seluruh rakyat di bawah program Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) selain mempersiapkan generasi akan datang celik teknologi maklumat (ICT), sebanyak 1.2 juta unit komputer riba akan diagihkan secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah termasuk pelajar dengan syarat mereka perlu melanggan pakej perkhidmatan jalur lebar dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Seperti yang diumumkan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini, pemberian komputer secara percuma itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat. Pada fasa pertama sebanyak 200,000 unit akan diagihkan dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Sementara sebanyak satu juta lagi akan diagihkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebaik sahaja peringkat fasa pertama selesai diagihkan.

Beberapa syarat telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi mereka yang layak memohon. Antaranya, pemohon mestilah di kalangan mereka yang mempunyai pendapatan isu rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan, pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Setiap individu yang layak diwajibkan melanggan perkhidmatan jalur lebar dengan TM secara kontrak selama 24 bulan.

Mereka yang berjaya diwajibkan membayar yuran langganan sebanyak RM38 sebulan selama dua tahun kepada TM sementara golongan pelajar sekolah hanya dikenakan yuran langganan sebanyak RM20 sahaja.

Bagi memastikan setiap rakyat memperoleh akses kepada internet, TM kini sedang giat memasang Pusat Akses (AP) bagi meningkatkan isyarat penerimaan jalur lebar di mana dengan adanya AP ini orang ramai boleh mengakses Wifi – iaitu akses internet tanpa wayar dengan radius sejauh dua kilometer dari pusat AP.

Selain memberikan komputer riba secara percuma dengan yuran langganan yang murah, Kerajaan turut memberikan tumpuan untuk melonjakkan teknologi maklumat di negara ini secara berterusan dari semasa ke semasa. Antara yang diberikan penekanan termasuklah mengukuhkan prasarana komunikasi negara dengan penggunaan gentian optik di mana jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi itu akan membolehkan lebih 1.2 juta isi rumah dan premis perniagaan disambungkan dengan internet berkelajuan tinggi antara 10 megabait sesaat hingga satu gigabait sesaat.

Jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi itu bakal menyediakan platform bagi membangunkan aplikasi ICT untuk masa depan selain memberi peluang kepada rakyat, ahli perniagaan dan agensi Kerajaan meningkatkan daya saingnya. Penyediaan prasarana itu penting kerana Kerajaan menyedari tidak ada negara yang boleh dimajukan tanpa mempunyai komponen teknologi utama.

Sebagai contoh, Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) yang diwujudkan 13 tahun lalu kini muncul sebagai hab ICT bertaraf dunia apabila lebih 2,000 syarikat beroperasi dengan perolehan sebanyak AS$5 bilion setahun selain menyediakan 9,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan bernilai AS$1.6 bilion setahun.

MSC Malaysia yang akan memasuki pembangunan fasa ketiga mulai 2011bukan sahaja perlu memberikan sumbangan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara malah menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh dunia pada masa ini. Kerajaan juga berusaha untuk menetapkan strategi-strategi supaya MSC Malaysia dilibatkan dengan Model Baru Ekonomi (MBE) bagi mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kita dapat lihat negara-negara maju dan kaya seperti Amerika Syarikat, Jepun, Switzerland, Sweden, Kanada, Australia bukan mencapai tahap kemajuan tinggi secara kebetulan sebaliknya negara-negara ini memiliki dan membangunkan teknologi tinggi sedangkan negara yang gagal mencipta inovasi dalam ekonomi akan ketinggalan.
Aspek lain yang diberikan tumpuan oleh Kerajaan melonjakkan teknologi maklumat di negara ini ialah melalui perancangan mewujudkan sebuah pusat praktikal teknologi maklumat mirip model perisian Infosys ternama di Bangalore , India. Melalui pusat ini, siswazah lepasan IT akan dapat mengikuti latihan kemahiran tinggi sebelum menceburi bidang pekerjaan dengan gaji lumayan.

Pengasas Infosys Technology Ltd, N.R. Narayana Murty memulakan syarikatnya pada 1981 dengan modal RM865 (AS$250) dan menukarkannya menjadi sebuah syarikat teknologi maklumat dan perundingan berbilion dolar. Kejayaan Infosys merupakan satu kisah kejayaan klasik India dengan pendapatan tahunan bagi tahun kewangan 2007 melebihi RM10.72 bilion dan permodalan pasaran sebanyak RM103.8 bilion sekali gus menjadikannya salah sebuah syarikat IT terbesar di India.

Syarikat-syarikat IT India pada hari ini berupaya mewujudkan 11.3 juta pekerjaan setahun dan ini sukar ditandingi baik oleh China yang menjadi saingan India. Malah Bangalore pada hari ini dirujuk sebagai Lembah Silikon India yang menyumbang sebanyak 30 peratus daripada eksport perisian India.

Usaha meningkatkan penembusan jalur lebar ini di lihat cukup penting dan berdasarkan laporan Bank Dunia, setiap 10 peratus peningkatan jalur lebar akan menyumbang kepada penambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.3 peratus dan ini lah yang dilakukan oleh negara seperti Korea Selatan.

Sumber: http://kpkkblog.blogspot.com/2010/08/menyediakan-rakyat-celik-it.html

0 Response to "Menyediakan rakyat celik IT"

Post a Comment