Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Manfaatkan Facebook

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 29 Sept. – Ketua Polis negeri, Datuk Zulkifli Abdullah hari ini mahu masyarakat memanfaatkan saluran medium baru, laman sosial, Facebook sebagai media interaktif yang boleh membantu polis mengurangkan aktiviti serta kadar jenayah.

Beliau berkata, ini kerana penggunaan Facebook kini dianggap saluran penting untuk masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah melalui Internet.

“Penggunaan Facebook, inisiatif baru polis untuk mendekati masyarakat di samping memantapkan lagi keselamatan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini malam tadi.

Wakil Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abd. Rahman Hashim antara lebih 5,000 tetamu hadir pada majlis yang diadakan untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan mengekalkan perpaduan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kata Zulkifli, telah melancarkan penggunaan Facebook pada 1 September lalu yang bertujuan menggalakkan pegawai termasuk ketua polis negeri memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

“Facebook ini menjadi saluran penting untuk polis menyampaikan perkhidmatan di samping menjadi platform mendekati masyarakat.

“Ia juga memberi maklumat mengenai pencegahan dan aktiviti pencegahan jenayah untuk hebahan umum,” katanya.

Mengenai Rakan Cop, katanya, Perak merupakan negeri teramai menjadi ahli di negara ini iaitu melebihi 95,000 orang.

Katanya, banyak kejayaan membanteras jenayah dan gejala sosial dicapai menerusi kerjasama Rakan Cop, kebelakang ini.

Justeru Zulkifli berharap, kerjasama tersebut akan berterusan dalam usaha membantu matlamat pihak polis memastikan persekitaran tempat tinggal dan suasana yang lebih selamat.

“Sokongan padu masyarakat perlu dalam membanteras jenayah di negeri ini terutama di kawasan-kawasan ‘panas’,” katanya.

0 Response to "Manfaatkan Facebook"

Post a Comment