Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Pembelajaran Berbentuk Multimedia

Teknologi multimedia mempunyai potensi untuk meningkatkan mutu proses pengajaran dan pembelajaran sains. Melalui pengintegerasian perkakasan computer dan perisian pembelajaran, elemen multimedia digunakan untuk mempersembahkan video bergerak, animasi yang canggih dan grafik berwarna yang beresolusi tinggi mengenai sesuatu topik sains yang sebelum ini pelajar hanya mungkin belajar dengan menggunakan buku teks sahaja. Dengan itu, Halimah dalam Rosni (2000) menyatakan bahawa teknologi multimedia mampu melibatkan sebanyak mungkin pancaindera seperti deria penglihatan, pendengaran dan deria sentuhan lalu menghasilkan pembelajaran yang lebih menyeluruh.

Robyler (1988) dalam penelitiannya ke atas literatur berkenaan keberkesanan mikrokomputer dalam pendidikan mendapati Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) dapat memberi kesan yang signifikan dan positif terhadap pembelajaran pelajar. Unsur multimedia di dalam pakej perisian PBK pula membolehkan pencapaian maklumat baru dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan (Hofstetter 1995).

Oleh itu pembelajaran berbantukan multimedia (PBM) dalam konteks pembelajaran kendiri dapat menarik minat pelajar dalam proses pembelajaran dan proses pembelajaran adalah berpusatkan pelajar. Dalam konteks pendidikan sains, PBM mungkin dapat membantu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sains agar subjek sains diminati pelajar dan seterusnya dapat mempertingkatkan penglibatan pelajar dalam jurusan sains yang mana usaha mempertingkatkan bilangan pelajar dalam jurusan sains merupakan salah satu agenda utama pendidikan sains di Malaysia.

Namun begitu, perlu diingatkan bahawa PBM tidak menggantikan guru tetapi membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya menjadi lebih tersusun dan efektif. Pada masa yang sama, pembangunan sesuatu perisian multimedia juga perlu berlandaskan dan menepati sukatan pelajaran agar ia berupaya menghasilkan pembelajaran yang lebih tersusun.

Sumber: http://www.penerbit.utm.my/onlinejournal/36/E/JT36E2.pdf

0 Response to "Pembelajaran Berbentuk Multimedia"

Post a Comment