Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Kaedah baru tangani pornografi di Internet

Utusan Online
26/07/2010

BATU PAHAT 25 Julai - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menjadikan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan keperluan menapis bahan pornografi di Internet sebagai 'perisai baru' untuk menangani gejala negatif itu yang semakin berleluasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pandangan bekas Perdana Menteri itu akan memudahkan pihaknya untuk mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah itu tanpa disalahertikan oleh mana-mana pihak yang kononnya mengagungkan kebebasan maklumat tanpa batasan di Internet.

"Saya amat mengalu-alukan pandangan Tun (Mahathir) kerana selama ini kami keseorangan dalam hal menyajikan maklumat di Internet. Lebih ramai pemimpin menyuarakan hal ini, lebih mudah bagi kami.

"Dengan menggunakan tuntutan undang-undang (bagi menangani bahan pornografi), ada sahaja pihak yang cuba menyalah ertikan. Sebenarnya, kita ada Seksyen 265 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mengenang Tokoh Negarawan Allahyarham Tun Hussein Onn di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) anjuran Arkib Negara di sini hari ini.

Turut hadir pada program itu adalah balu Allahyarham Tun Hussein, Tun Suhailah Tan Sri Mohamed Noah, isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Media baru-baru ini melaporkan Dr. Mahathir menyuarakan pandangan supaya bahan pornografi di Internet ditapis kerana dibimbangi menjadi punca berlaku peningkatan jenayah seksual.

Rais berkata, masih terlalu awal untuk mewujudkan mekanisme bagi menangani penyebaran pornografi di Internet.

Namun, jelasnya, perbincangan secara halus dan objektif akan diadakan bagi menangani masalah itu supaya tidak disalahertikan oleh mana-mana pihak sebagai menyekat kebebasan.

''Jika sumber bahan pornografi itu dikesan diperoleh daripada pembekal perkhidmatan Internet di dalam negara, kita boleh mengambil tindakan namun buat masa ini kita tidak berkeupayaan menghalang penyebaran bahan itu yang dibekalkan dari luar negara,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, perlu ada mekanisme dalaman supaya pornografi tidak jadi bahan yang meluas di Internet.

Dalam masa sama, tegasnya, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya gejala ini dapat diatasi.

0 Response to "Kaedah baru tangani pornografi di Internet"

Post a Comment