Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

'Jangan jual komputer riba'

Utusan Online
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Julai - Setiap penerima komputer riba di bawah program Komputer 1Malaysia diingatkan agar tidak menjual kemudahan yang diberikan secara percuma oleh kerajaan itu.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, pemberian komputer itu akan direkodkan dan penerima yang menjualnya akan dikenakan tindakan.

"Kerajaan berharap setiap penerima komputer riba itu tidak menjualnya dan sekiranya ingkar kerajaan akan mengambil tindakan ke atas perbuatan tersebut," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) mengenai terdapat penerima komputer riba yang ditawar RM700 oleh pihak tertentu untuk membeli kemudahan itu kerana ada kalangan mereka tidak mempunyai bekalan elektrik dan kemahiran untuk menggunakannya.

Salang berkata, kawasan yang tidak mempunyai liputan jalur lebar dan kemudahan elektrik, komputer berkenaan tidak akan diagih buat sementara waktu.

Menjawab soalan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) mengenai sistem pengagihan komputer percuma itu, jelasnya, pemberian kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 bagi kawasan luar bandar dan bawah RM5,000 bagi kawasan bandar adalah berdasarkan nisbah yang ditetapkan.

Menurutnya, 65 peratus komputer itu akan diagih kepada pelajar dengan keutamaan diberi kepada pelajar sekolah menengah kerajaan serta bantuan kerajaan yang masih tiada komputer dan langganan jalur lebar.

"Sebanyak 35 peratus dibahagikan kepada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan kurang liputan serta kawasan yang mempunyai perkhidmatan itu dengan sasaran pengagihan meliputi kampung tradisi, kampung-kampung baru dan pusat penempatan masyarakat setempat di seluruh negara," katanya.

Jelasnya, setiap isi rumah hanya layak menerima satu unit komputer riba dan program pengagihan kemudahan itu dilaksana secara berfasa bermula Jun lalu sehingga akhir tahun ini.

"Bagi fasa pertama, sebanyak 123,000 unit komputer telah dan akan diagih ke seluruh negara melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pihak penyedia perkhidmatan," katanya.

0 Response to "'Jangan jual komputer riba'"

Post a Comment