Sumber: Utusan Online - 07 Jun 2010
MUAR 6 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mahu pembangunan kandungan kreatif digital diperluaskan di seluruh negara bagi meningkatkan penjanaan pendapatan yang tinggi kepada rakyat dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana pasaran dan permintaan dari dalam dan luar negara terhadap kandungan kreatif dan inovatif digital kian meningkat serta berpotensi besar membantu negara mencapai objektif Model Baru Ekonomi (MBE).
Katanya, setakat ini industri berkenaan berjaya menyumbang 1.6 peratus kepada KDNK negara melalui rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi.
"Secara purata industri kandungan kreatif digital di negara maju menyumbang antara satu dan lima peratus kepada KDNK, ini bermakna masih terdapat ruang besar untuk kita memperkembangkan industri ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Digital Pagoh-Muar 1Malaysia di Dewan Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli.
Muhyiddin berkata, kandungan kreatif adalah bahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam bentuk suara, video, animasi dan data yang dapat disalurkan melalui rangkaian jalur lebar kepada pengguna ICT di seluruh dunia.
Jelas beliau, pembangunan kandungan kreatif digital itu membuka peluang luas untuk syarikat-syarikat tempatan terlibat secara serius, manakala rakyat pula mendapat manfaat besar menerusi penggunaan kemudahan jalur lebar secara optimum.
"Suka saya menyarankan supaya tumpuan awal kepada generasi muda, terutamanya pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk berkecimpung dalam bidang pembangunan kreatif dan pembangunan aplikasi inovatif," katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Muhyiddin menambah, rakyat tiada pilihan melainkan menyedari kepentingan dan memahami pembangunan jalur lebar termasuk kandungan kreatif itu kerana ia menjadi sebahagian daripada pembangunan struktur sosio-ekonomi masyarakat.
Katanya, ia membolehkan rakyat menyelesaikan pelbagai urusan dengan segera dengan kos yang murah selain mewujudkan jaringan bisnes yang menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih berkesan.
Justeru, beliau berkata, semua pihak diminta bekerja keras bersama kerajaan bagi memastikan matlamat penembusan jalur lebar di isi rumah seluruh negara berjaya mencapai tahap 50 peratus pada akhir tahun ini berbanding statistik terkini sebanyak 36.1 peratus.
"Mengikut laporan kajian ke atas negara-negara ASEAN, adalah didapati bagi setiap peningkatan 10 peratus penembusan jalur lebar, ia boleh menyumbang kepada satu peratus KDNK.
"Oleh itu, adalah penting kita menyedari betapa besarnya impak jalur lebar ke atas pertumbuhan ekonomi negara dan kita juga harus mengambil segala langkah bagi memperluaskan penggunaan serta mempertingkatkan kualiti penyampaian," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jalur Lebar.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pelaksanaan projek daerah digital yang dijalankan di Pagoh hari ini dan sebelum ini di Pekan, Pahang akan diperluaskan di beberapa daerah lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Melalui projek Digital Pagoh, saya berharap kita dapat memperkukuhkan dan menjayakan inisiatif yang dicadangkan untuk menubuhkan hab pendidikan di kawasan Pagoh selaras dengan pendekatan 'Satu Daerah, Satu Industri," katanya.
Post a Comment