Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Kadar penembusan jalur lebar negara lepasi sasaran


KUALA LUMPUR: Kadar penembusan jalur lebar bagi isi rumah di negara ini sudah melepasi 55 peratus sehingga 8 Disember lalu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, jumlah itu melebihi lima peratus daripada sasaran ditetapkan pada tahun lalu iaitu 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Rais berkata, pelanggan telefon selular pula melebihi 32 juta atau 109 peratus dari segi kadar penembusan manakala pelanggan telefon bimbit 3G pula berjumlah 3.9 juta pada masa ini.

“Justeru itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti ada satu kerjasama lebih hebat supaya kita dapat mencapai semua perjuangan kita melalui telekomunikasi,” katanya kepada pemberita pada Malam Penghargaan Jalur Lebar 1Malaysia di sini, malam tadi.

Antara syarikat telekomunikasi yang memenangi anugerah pada majlis berkenaan ialah Telekom Malaysia bagi kategori Pakej Jalur Lebar Terbaik, Celcom bagi Bilangan Langganan Jalur Lebar Tertinggi dan DiGi bagi Iklan TV Jalur Lebar Terbaik.

Mengenai pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh sebuah laman web antarabangsa Wikilleaks, Rais memberi amaran kepada pengusaha internet supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat atau mengeluarkan perkara yang rahsia atau sulit.

“Penting untuk kerajaan khasnya untuk berhati-hati dan perkembangan ini yang telahpun memalukan beberapa pihak termasuk di Singapura, Australia, India dan ia mungkin sampai ke negara kita.

“Jika ia berlaku, masyarakat perlu hati-hati dan tidak menerima hakikatnya seratus peratus lantaran apa yang disalurkan ini adalah perkara-perkara yang tidak lagi ditapis kenyataan atau kebenarannya,” katanya. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian

0 Response to "Kadar penembusan jalur lebar negara lepasi sasaran"

Post a Comment