Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Demokrasi pembangunan maklumat negara

Oleh SHAHARUDIN IDRUS (Utusan Online)

TAHAP capaian jalur lebar Internet yang lebih baik merupakan kunci yang akan membawa negara kepada masa depan lebih baik sekali gus meletakkan negara di landasan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Tahap jalur lebar yang tinggi ini akan membawa pula kepada perluasan dan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seiring dengan program Transformasi Ekonomi Negara (ETP) yang telah dilancarkan.

Sehubungan itu, Sistem Maklumat Spatial Negara kini berada di landasan yang menjadikannya sebahagian daripada rutin kehidupan harian masyarakat. Sistem Maklumat Spatial terdiri daripada rangkaian beberapa entiti utama yang membentuk lingkaran keseluruhan maklumat tersebut. Salah satu yang terpenting ialah Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang dipadankan dengan Sistem Letakan Global (GPS), imej satelit, sistem komputer serta rangkaian internet yang kesemuanya membentuk satu rangkaian sistem maklumat spatial (reruang).

Apa yang lebih penting sejak kewujudan sistem maklumat spatial di persada maklumat negara ialah mempertahan dan memperteguhkan kedudukannya seiring dengan kepesatan pembangunan negara yang turut melibatkan pembangunan spatial negara.

Selaras dengan proses globalisasi yang berlangsung dengan membuka ruang maklumat agar dapat dikongsi bersama, pendemokrasian maklumat spatial negara wajar diberikan perhatian sepenuhnya. Melalui pendemokrasian maklumat spatial yang dimiliki oleh negara akan membawa kepada perencanaan dan penggunaan yang lebih berkesan dalam meneruskan kehidupan harian masyarakatnya dan seterusnya membawa kepada kualiti dan kesejahteraan kehidupan masyarakat pada masa depan.

Pendemokrasian maklumat itu berdiri atas beberapa prinsip utama yang antara lainnya ialah setiap orang berhak memperolehi maklumat yang sewajarnya. Dua perkara penting yang menyentuh tentang pendemokrasian maklumat ini, pertamanya ialah hak dan peluang yang sama rata kepada semua warga untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Kedua ialah hak kesampaian kepada maklumat yang diperlukan itu.

Maklumat wajar dan boleh didapati secara bebas, tanpa sebarang sekatan tertentu atau setidak-tidaknya pada peringkat asas dan peringkat dasar. Pendemokrasian maklumat bersabit dengan memberikan peluang seluas-luasnya kepada setiap warga untuk mendapat maklumat yang diperlukan tanpa mengira kelas sosial, kaum dan juga gender.

Ia juga akan menjadi asas kepada proses untuk mencapai masyarakat yang bermaklumat serta mampu bersaing pada peringkat global dan sentiasa kemaskini dengan maklumat-maklumat baru yang diperoleh menerusi sistem maklumat terbuka, seterusnya mampu membawa kepada peningkatan pendapatan negara.

Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan jalur lebar yang mampu mencapai kelajuan tinggi telah membawa kepada revolusi maklumat yang dapat membawa kepada ilmu pengetahuan yang lebih baik. Maklumat dan perbincangan bersifat ilmiah yang pada ketika dahulu hanya dimonopoli oleh golongan tertentu, kini boleh diakses oleh masyarakat awam yang telah mempunyai darjah celik komputer yang agak baik.

Begitu juga maklumat berkenaan dengan aspek pembangunan fizikal yang bakal dijalankan akan dipaparkan dalam ruang maya mahupun yang bercetak untuk tatapan umum. Maklumat sebegini akan memberikan kesan kepada masyarakat jika sekiranya kawasan atau tanah milik mereka akan terlibat dengan proses pembangunan tersebut.

Rakyat yang kini lebih matang pemikirannya akan dapat menilai kesesuaian atau ketidaksesuaian pembangunan yang akan dilangsungkan. Bantahan berbentuk tulisan, aduan dan sebagainya akan disalurkan jika difikirkan pembangunan yang bakal dilangsungkan itu tidak menjamin masa depan mereka yang terlibat dengan pembangunan tersebut. Maklumat spatial yang baik dan berkesan boleh menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Proses globalisasi dan googlelisasi (googlesation) yang kini sering mendominasi sistem maklumat global dengan kemudahan google maps, menyatukan pangkalan data teks dan peta oleh pembangun perisian berasaskan web, meneliti keadaan guna tanah semasa, e-mel dan pelbagai lagi sarana yang disediakan secara percuma demi memudahkan semua pihak yang menginginkan maklumat yang lebih cepat, pantas dan lengkap dalam mengejar suasana kehidupan yang dimampatkan oleh ruang masa.

Kesemua maklumat yang menjadi keperluan kepada semua pihak ini tidak mengira peringkat umur, sosio-ekonomi, budaya malahan merentasi sempadan etnik dan kaum telah menggunakan maklumat sama yang diperoleh daripada pangkalan data yang kita sendiri tidak mengetahui dengan tepat di mana data tersebut disimpan.

Keterserlahan maklumat yang dimiliki oleh pencetus google kini seolah-olah hampir tidak ada satu pun pesaing yang mampu menyaingi kudratnya dalam menguasai teknologi maklumat global. Lantaran sinonim perkataan globalisasi maklumat dan googlelisasi.

Maklumat yang sahih, tepat dan jitu yang terbina akan menjadi penyalur dan pembangunan budaya dan ilmu, penyalur kemahiran dan keterampilan, penyalur kepercayaan dan jati diri serta maruah tetapi seharusnya berasaskan pemahaman dan budaya setempat yang dibina secara berterusan dengan sokongan kewangan yang kukuh.

Pembangunan maklumat negara perlu seiring dengan pangkalan maklumat yang telah tersedia di pasaran maya. Orang ramai kini lebih mudah dan selesa mendapatkan maklumat berkait dengan perkara yang ingin diketahui dan diselidikinya dari laman maya berbanding dengan yang bersifat bercetak atau yang tersimpan secara fizikal di perpustakaan yang memerlukan pula masa untuk pergi ke tempat tersebut dan perlu mencari tempat meletak kenderaan berbanding dengan masa yang diambil untuk melayari bahtera maya maklumat yang tersedia dengan begitu meluas dan mempunyai darjah kejituan yang tinggi.

Nampaknya yang hadir daripada googlelisasi ini ialah merubah seluruh wajah kehidupan masyarakatnya, dari pola pekerjaan, corak pendidikan sehinggalah kepada kebiasaan pada waktu lapangnya. Kesemua itu turut mengalami perubahan yang bukan sedikit kesannya ke atas kehidupan masyarakat seluruhnya. Lantaran, sistem maklumat spatial yang perlu diperteguhkan kehadirannya perlu dilihat dalam lingkaran teknologi maklumat yang sedia wujud di persada maya ini.

Beberapa halangan bersifat struktural, institusi dan pemikiran perlu diruntuhkan untuk memastikan sistem maklumat spatial negara ini betul-betul dapat diperkasakan dan seterusnya membawa negara ke persada dunia seiring kepesatan maklumat global.

Shaharudin Idrus
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia.

0 Response to "Demokrasi pembangunan maklumat negara"

Post a Comment