PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf
begitu signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang
diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai
pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas
kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru
yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui
mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan
kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang,
guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara
terbilang.
2. Pada tahun ini, tema “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi
Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan
inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun
Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi
para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di
dalam dan di luar bilik darjah.
3. Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai
perubahan, kita perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi
guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep
atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam
menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga
berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan
sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang
memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yang
tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara
perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan
baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang
berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan
teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan
seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.Warga pendidik yang diraikan
sekalian,
4. Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui
transformasi yang berbentuk dinamik dan progresif yang akan
direalisasikan oleh para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi,
dan berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan
profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi
pendidikan secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan
Profesionalisme
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat
melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan
berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.
Warga pendidik sekelian,
5. Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh
pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru
terjamin.Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha,
misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti
dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa
penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan
kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu
inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan
yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang
pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
6. Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban
tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula
pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas
Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi
menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi latihan
tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan
untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di
peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan
meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan
sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.
7. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga
pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan
terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak
pernah meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan oleh
kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus
gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas
tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri,
berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama
serta mengamalkan nilai sejagat.Anak-anak murid yang disayangi sekelian,
8. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para
guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa
kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di
hadapan murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran murid ke
sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan
mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang guru
adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri.
Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya akhirnya mereka dapat
menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran
kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan kepentingan
amalan berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid
yang
ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang
disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah
yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.
9. Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang
dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh
dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan.
Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses
transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai
kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap
kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada
kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.Sebagai
penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad Abduh,
seorang tokoh pendidikan di Mesir, “Kemuliaan ialah membangun umat yang
telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan
petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan
kemuliaan yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka,
serta menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah”.
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!
DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia