KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Inisiatif jalur lebar negara bakal menjadi pemacu proses tranformasi sosial dan ekonomi ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.
Beliau berkata ia juga akan membantu negara menjana pertumbuhan kompetitif berasaskan inovasi, kreativiti, nilai tinggi dan aliran ide bebas maklumat.
"Selain dari itu, kita ingin menguar-uarkan juga usaha kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan jalur lebar kepada orang ramai termasuklah yang tinggal di kampung-kampung," katanya pada sesi taklimat kepada pengarang berkaitan inisiatif jalur lebar negara di sini Rabu.
Rais berkata jalur lebar bukan lagi sesuatu yang mewah malah ia merupakan satu keperluan.
Beliau berkata inisiatif jalur lebar negara adalah satu strategi yang menyeluruh yang mana komponen jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) adalah satu aspek penawaran jalur lebar.
"HSBB ini kita laksanakan di kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan ekonomi dan perniagaan dan satu lagi adalah jalur lebar untuk orang awam," katanya.
Menurut Rais Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyempurnakan majlis pelancaran Inisiatif Jalur Negara dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) pada 24 Mac ini di Dataran Merdeka.
Beliau berkata pada majlis pelancaran itu, Perdana Menteri dijangka mengumumkan beberapa perkara penting berkaitan kemajuan dan pencapaian HSBB dan mengenai kemudahan mendapatkan perkhidmatan jalur lebar di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, kata Rais, kerajaan akan menyusun semula pelan spektrum nasional bagi menambah nilai kepada industri dengan pengurangan kos penyediaan liputan dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih.
Ia juga bagi memperluas liputan jalur lebar mudah alih dengan lebih pantas lagi, katanya.
Katanya penjimatan kos ini dijangka dapat dinikmati oleh pengguna.
Bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak, kerajaan akan membina banyak menara telekomunikasi dan pusat jalur lebar komuniti.
"Ini semua bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan dari arus perdana penggunaan ICT," katanya.
-- BERNAMA
Post a Comment