Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

e-alQamus Online


e-alQamus merupakan ensiklopedia bahasa moden pertama di Malaysia.
http://alqamus.moe.edu.my/ealqamus/


PENGENALAN

* e-alQamus Online adalah perkhidmatan maklumat secara online mengenai perisian perkamusan dwibahasa iaitu Bahasa Melayu- Bahasa Arab- Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab-Bahasa Melayu- Bahasa Inggeris.
* Laman web ini menyediakan kemudahan pencarian makna perkataan secara online atau kamus online untuk sekolah rendah dan sekolah menengah. Pengguna boleh melayari laman web ini sebagai sumber rujukan kamus online.

APLIKASI BAHAN

* Melihat kepentingan kepada penggunaan kamus ketika ini, Kementerian Pelajaran Malaysia perkenalkan e-alQamus Online untuk kemudahan guru dan pelajar. e-alQamus Online adalah perisian perkamusan dwibahasa yang dibangunkan khusus untuk memudahkan pengguna komputer yang sentiasa merujuk kepada kamus buku sebagai bahan rujukan bahasa.
* e-alQamus Online diperkenalkan bagi membolehkan golongan pelajar dan individu menguasai bahasa Arab dengan mudah dan singkat. e-alQamus Online bukan sahaja boleh digunakan untuk mencari makna perkataan dengan lebih berkesan dan cepat, malah ia lebih interaktif dan bermanfaat.
* e-alQamus Online adalah teknologi perkamusan yang diinspirasikan daripada kemajuan penggunaan teknologi diperingkat Kementerian Pelajaran Malaysia. Perkembangan pesat terhadap penggunaan ICT di sekolah-sekolah Malaysia serta perlaksanaan projek Pembestarian Sekolah oleh Kementerian Pelajaran Malaysia memerlukan sistem yang pantas untuk memperoleh sesuatu maklumat.
* Kemudahan ini juga sangat membantu pelajar-pelajar di semua peringkat terutamanya yang terlibat dengan program j-QAF sekolah rendah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama serta sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
* e-alQamus Online amat sesuai sebagai sumber rujukan di Pusat Sumber sekolah, makmal komputer dan Pusat Akses sekolah kerana e-alQamus Online dapat membantu pengguna mencari makna dengan lebih cepat dan tepat.

KEISTIMEWAAN

* Berapa lama masa yang pengguna ambil untuk mencari makna perkataan dengan menggunakan kamus buku? Jika pengguna telah biasa menggunakan kamus buku, mungkin paling cepat mereka akan memerlukan masa 1 minit untuk mendapatkan makna perkataan di dalam kamus buku tersebut.
* Biasa terjadi kita tidak jumpa perkataan yang dicari bukan disebabkan perkataan tersebut tidak ada di dalam kamus, tetapi disebabkan kita keletihan dan kebosanan membelek kamus yang berat dan tebal.
* Kini dengan e-alQamus Online pengguna memperoleh cara lebih mudah dan pantas untuk mencari makna perkataan dalam tempoh 5 saat. Penggunaan teknologi komputer berinternet dalam bidang perkamusan begitu mudah dan berkesan.

KONSEP REKA BENTUK

* Sistem carian e-alQamus Online begitu mudah bagi membolehkan pengguna mencari makna perkataan dengan hanya memasukkan perkataan di dalam kotak carian. Bantuan ‘on screen keyboard’ rumi & jawi disediakan bagi mendapatkan makna perkataan. Fungsi "on screen keyboard" ini menjadikan e-alQamus Online sangat efektif digunakan bersama dengan aplikasi yang berasaskan teks bahasa Arab.
* Fungsi "kotak gambar" membolehkan pengguna e-alQamus Online lebih memahami perkataan yang dicari kerana sesuatu makna perkataan tersebut disertakan dengan gambar.
* Senarai perkataan cadangan terkumpul dalam satu kotak senarai. Pengguna e-alQamus Online juga boleh menggunakan arrow ke atas dan ke bawah untuk melihat setiap makna yang terdapat pada tetingkap senarai.
* Format kandungan e-alQamus Online sangat mudah di mana penjelasan makna perkataan dipaparkan dalam format yang menarik dan senang untuk dibaca.

WIKIPEDIA ~ ensiklopedia percuma di internet


Wikipedia merupakan sebuah ensiklopedia bebas, yang dimulakan pada tahun 2001 (versi bahasa Melayu dimulakan pada tahun 2003). Rencana-rencana dalam Wikipedia merupakan hasil kerjasama para penyumbang dari seluruh dunia. Laman web ini merupakan laman web jenis wiki, yang bererti sesiapapun dibenarkan menyunting, memperbaiki, dan menambahkan informasi dalam sesebuah rencana dengan menekan pautan sunting yang terdapat pada sudut atas setiap laman.

Wikipedia merupakan salah satu projek Wikimedia Foundation, Inc. yang juga telah mencipta keseluruhan projek Wikipedia, antara lain seperti Wikiquote, Wiktionary, Wikisource, Wikibooks dan Wikinews.

Wikipedia dimulakan pada 15 Januari 2001 oleh Jimmy Wales, Larry Sanger, dan beberapa penyumbang laman Wikipedia bahasa Inggeris. Kini terdapat 13,000 penyumbang aktif yang menyumbang dalam 7,000,000 rencana dalam lebih daripada 260 bahasa. Ketika ini terdapat 63,216 rencana bahasa Melayu; setiap hari ratusan ribu pengunjung dari seluruh dunia melakukan puluhan ribu suntingan dan mencipta ribuan rencana baru di seluruh Wikipedia.

Semua teks dalam Wikipedia, dan kebanyakan gambar serta teks lainnya, dilindungi oleh lesen Lesen Dokumentasi Bebas GNU (GFDL). Sumbangan tetap merupakan hak penciptanya, sementara keizinan lesen GFDL memastikan isi kandungannya akan tetap dapat diagihkan secara bebas dan mungkin untuk diterbitkan.

Adik-adik boleh mendapatkan pelbagai informasi seperti Biografi, Falsafah, Geografi, Sejarah, Matematik, Masyarakat, Sains, Sastera, Teknologi, Undang-Undang, Budaya dan lain-lain lagi di dalam ensiklopedia bebas ini serta ianya terdapat di dalam pelbagai bahasa.

EduWebTv ~ Pendidikan Digital untuk semua

Selaras dengan perkembangan ICT terkini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengorak langkah untuk menyiarkan TV Pendidikan melalui internet. Siaran TV Pendidikan yang sebelum ini dipancarkan melalui saluran televisyen terestrial kini disalurkan melalui internet . Usaha ini adalah sejajar dengan usaha KPM untuk merapatkan jurang digital dalam bidang pendidikan.

Web TV KPM yang dikenali sebagai EduWebTV telah dimulakan pada 1 Mac 2008, boleh diakses oleh umum melalui portal www.eduwebtv.com pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Pada masa ini kandungan EduWebTV mencakupi pelbagai bidang yang boleh diakses melalui lapan saluran iaitu berita, akademik, wawancara, rencana, kurikulum, interaktif, siaran langsung, dan panduan.

Adik-adik dan guru-guru digalakkan memanfaatkan EduWebTV ini sebagai saluran pembelajaran (learning channel) dalam meningkatkan mutu pendidikan.


SchoolZone sebagai portal berteraskan pendidikan

Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) di Malaysia telah lama mengamalkan penggunaan buku teks sebagai bahan rujukan utama di sekolah-sekolah. Namun, dunia pendidikan kini mengalami perubahan yang memberangsangkan dengan adanya inisiatif-inisiatif dari pihak swasta seperti GITN Sdn. Berhad (GSB) dengan sokongan padu dari Kerajaan Malaysia untuk memperkasakan ICT dalam sektor pendidikan melalui rangkaian SchoolNet serta portal SchoolZone.

SchoolNet merupakan rangkaian internet yang diberikan secara percuma kepada hampir 10,000 buah sekolah di seluruh Malaysia, manakala SchoolZone merupakan portal yang diperkenalkan sebagai medium perkongsian ilmu secara maya di kalangan komuniti sekolah.

Antara objektif utama SchoolZone diperkenalkan adalah:-
  • untuk menggalakkan penggunaan ICT dalam P&P
  • memperkayakan kandungan secara digital
  • membuka ruang komunikasi secara maya yang merentasi sempadan bilik darjah.
Kandungan yang terdapat di dalam SchoolZone adalah tidak terhad kepada topik-topik yang berkaitan dengan kurikulum sahaja seperti subjek Sains, Matematik dan lain-lain. Sebaliknya, pengguna juga boleh menyediakan artikel atau bahan bacaan yang bersesuaian mengikut citarasa mereka.

Layari: Portal SchoolZone <---- Klik disini

Apakah Schoolnet?


Tahukah adik-adik, pusat akses sekolah kita menggunakan talian SchoolNet untuk capaian internet? Apa itu SchoolNet?

SchoolNet ialah pendekatan baru dalam sistem pembelajaran di sekolah dalam abad ke 21 ini. Prasarana SchoolNet menyediakan kemudahan belajar tanpa sempadan yang melangkaui bilik darjah biasa. Ia melibatkan penyediaan akses Internet untuk 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
Pelaksanaan SchoolNet telah diilhamkan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan GITN Sdn. Berhad (GSB). GSB menandatangani perjanjian dengan KTAK pada 25 Februari 2004.

SchoolNet memoden dan mempertingkatkan keberkesanan sistem pendidikan negara ini. Pelaksanaannya mencerminkan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan tenaga kerja berilmu demi kemajuan negara pada masa hadapan.

Kegunaan SchoolNet
SchoolNet membentuk suasana pembelajaran interaktif yang pasti menyeronokkan untuk para pelajar dan juga guru. Antara aplikasi-aplikasi yang digunapakai melalui SchoolNet ialah:

Aplikasi Komunikasi e-mel
Aplikasi capaian jauh – telnet
Aplikasi pemindahan fail – ftp
Aplikasi penyebaran maklumat – www
Aplikasi pencarian maklumat

SchoolNet menggunakan tiga teknologi komunikasi termaju:
Talian Langganan Digital Asimetrik (ADSL)
Teknologi Wayarles
Terminal Bukaan Amat Kecil (VSAT)

Untuk pengetahuan adik-adik, sekolah kita menggunakan teknologi ADSL.

Manfaat SchoolNet
Pengalaman belajar menjadi bertambah menarik dengan adanya SchoolNet. Rangkaian Internet jalur lebar SchoolNet membolehkan pelajar:
  • menimba ilmu dari seluruh dunia
  • menggunakan komputer untuk mendapatkan maklumat dari sumber di dalam mahupun luar negara
  • mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif
  • membolehkan para pelajar berkenalan dengan kawan-kawan baru menerusi e-mel dan bertukar-tukar maklumat
  • para guru berpeluang mencuba pelbagai kaedah mengajar yang baru
  • prasarana SchoolNet adalah untuk semua pelajar di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara

Majlis Perlantikan Pengawas Sekolah & Pengawas PSS

Isnin, 19 April 2010; telah diadakan Majlis Perlantikan Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan Pengawas Sekolah bagi sesi 2010. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Sarjan Mejar Mohd Yusof Bin Keling, Ketua Balai Polis Simpang Bekoh merangkap Penolong Pegawai Perhubungan Sekolah. Majlis diadakan bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Simpang Bekoh pada jam 7.30 pagi.



Bacaan ikrar Pengawas Sekolah diketuai oleh Adik Nurul Ain Bt Abd Razak dan Adik Norhanisah Bt Mohd Jasni pula mengetuai bacaan ikrar Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Diucapkan tahniah kepada semua Pengawas Sekolah dan Pengawas PSS yang telah menerima watikah perlantikan. Semoga segala tanggungjawab yang telah diamanahkan dipikul dengan penuh disiplin.

Sistem Pemantauan Penggunaan ICT Sekolah (SPPICTS) 2010

Sistem Pemantauan Penggunaan ICT di Sekolah (SPPICTS) telah ditambah baik menjadikan pemantauan semakin menyeluruh. Beberapa dimensi baru telah dimasukkan ke dalam sistem pemantauan ini. Dimensi pemantauan kini meliputi:

1. Pusat Akses Sekolah
2. Makmal Komputer
3. Capaian Internet
4. Perisian Kursus Pendidikan
5. Peralatan PPSMI
6. Perkongsian Pintar
7. EduWebTV
8. ICT dalam Pengurusan dan Pentadbiran

Cuti Umum Hari Bandaraya Melaka Bersejarah 2010

15 April 2010 merupakan ulangtahun ke-7 sambutan Bandaraya Melaka Bersejarah.

Selamat bercuti diucapkan kepada semua warga SMK Simpang Bekoh.

Kerajaan Yakin Capai Sasaran Penembusan Perkhidmatan Jalur Lebar

MStar Online @ Khamis 25 Mac 2010

KUALA LUMPUR: mencapai sasaran penembusan perkhidmatan jalur lebar sebanyak 50 peratus sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata dengan penembusan 50 peratus ini akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak kurang dari satu peratus.

Menurutnya, jalur lebar kini bukan lagi satu kemewahan atau sesuatu yang perlu diletakkan pada tahap yang mahal ataupun yang sukar diperolehi oleh rakyat.

"Mengikut nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kita harus melangsungkan misi dan perjuangan kita mengenai jalur lebar ini di pusat ekonomi bandar dan luar bandar," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara dan Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di Dataran Merdeka di sini Rabu malam.

Kadar penembusan jalur lebar sekarang adalah 33.3 peratus.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Najib di Dataran Merdeka di sini dan turut hadir ialah Muhyiddin. Sambil menyifatkan malam ini sebagai malam bersejarah dengan pelancaran tersebut,

Rais berkata kerajaan melalui kementerian berhasrat meningkatkan kemajuan teknologi jalur lebar dalam usaha membudayakan teknologi ke peringkat yang paling sesuai untuk masyarakat, sama ada di bandar atau luar bandar.

Menurutnya adalah perlu untuk menjayakan visi dan perjuangan kerajaan dalam pembangunan perkhidmatan jalur lebar dalam dua tahap iaitu tahap kelajuan yang tinggi di tempat-tempat dan pusat ekonomi tertentu serta kawasan luar bandar juga perlu ditembusi.

"Memandangkan bahawa kemampuan penduduk luar bandar begitu terhad termasuklah para penuntut, maka tentu sekali kementerian perlu memberi perhitungan dan tumpuan dengan nasihat jawatankuasa kabinet (mengenai Pelan Pelaksanaan Jalur Lebar Nasional) untuk menentukan apakah yang harus kita lakukan bersama," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi merupakan satu usaha sama antara pihak swasta dan kerajaan.

"Dan oleh itu perseimbangan dan faedah yang akan diterima haruslah juga dapat dilihat. Pencapaian ini dapat melonjakkan daya capaian ekonomi negara, komunikasi negara, budaya negara dan tamadun negara," kata Rais.- BERNAMA

Inisiatif Jalur Lebar Bakal Jadi Pemacu Transformasi Sosial Dan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Inisiatif jalur lebar negara bakal menjadi pemacu proses tranformasi sosial dan ekonomi ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata ia juga akan membantu negara menjana pertumbuhan kompetitif berasaskan inovasi, kreativiti, nilai tinggi dan aliran ide bebas maklumat.

"Selain dari itu, kita ingin menguar-uarkan juga usaha kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan jalur lebar kepada orang ramai termasuklah yang tinggal di kampung-kampung," katanya pada sesi taklimat kepada pengarang berkaitan inisiatif jalur lebar negara di sini Rabu.

Rais berkata jalur lebar bukan lagi sesuatu yang mewah malah ia merupakan satu keperluan.

Beliau berkata inisiatif jalur lebar negara adalah satu strategi yang menyeluruh yang mana komponen jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) adalah satu aspek penawaran jalur lebar.

"HSBB ini kita laksanakan di kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan ekonomi dan perniagaan dan satu lagi adalah jalur lebar untuk orang awam," katanya.

Menurut Rais Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyempurnakan majlis pelancaran Inisiatif Jalur Negara dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) pada 24 Mac ini di Dataran Merdeka.

Beliau berkata pada majlis pelancaran itu, Perdana Menteri dijangka mengumumkan beberapa perkara penting berkaitan kemajuan dan pencapaian HSBB dan mengenai kemudahan mendapatkan perkhidmatan jalur lebar di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kata Rais, kerajaan akan menyusun semula pelan spektrum nasional bagi menambah nilai kepada industri dengan pengurangan kos penyediaan liputan dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih.

Ia juga bagi memperluas liputan jalur lebar mudah alih dengan lebih pantas lagi, katanya.

Katanya penjimatan kos ini dijangka dapat dinikmati oleh pengguna.

Bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak, kerajaan akan membina banyak menara telekomunikasi dan pusat jalur lebar komuniti.

"Ini semua bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan dari arus perdana penggunaan ICT," katanya.

-- BERNAMA

Penguasaan guru dalam ICT diutamakan - TPM

ARKIB : 13/01/2010
Utusan Malaysia

LONDON 12 Jan. - Malaysia yakin penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah mudah dilaksanakan dengan penumpuan kepada penguasaan di kalangan guru-guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendedahan melalui kursus berterusan kepada pentadbir sekolah, pengetua dan guru-guru dalam mewujudkan golongan celik komputer telah menunjukkan kesan ketara kepada perkembangan ICT di Malaysia.

Menurutnya, kajian British Commonwealth Group (BCG) 2008 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkaitan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menunjukkan wujudnya peningkatan kesedaran dan kreativiti di kalangan guru dan murid dalam penguasaan ICT.

"Malaysia mempunyai banyak inisiatif termasuk video pendidikan melalui web, EduWeb TV, dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada lapan saluran projek School-Net melalui jalur lebar bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar.

"Makmal komputer juga dibina di 6,633 sekolah. Pusat akses Internet sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi kemudahan murid mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar bandar," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan ucaptama di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II di sini hari ini.

Seramai 73 Menteri Pelajaran dan juga pemimpin serta pegawai-pegawai pendidikan dunia menghadiri forum tersebut yang membincangkan mengenai pembelajaran dalam bidang ICT.

Ia forum pendidikan terbesar di dunia yang memfokuskan pembangunan dan integrasi ICT dalam pembelajaran di sekolah-sekolah.

Forum ini memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, pegawai kanan kerajaan dan pihak berkaitan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman mengenai pengunaan ICT di negara masing-masing.

Tambah Muhyiddin, gabungan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan Malaysia telah memperlihatkan banyak kerjasama antara sektor swasta dan awam dalam membentuk perkongsian pintar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kini menjadi cabaran kepada guru berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan penggunaan ICT yang membawa kepada pelbagai bentuk kemajuan itu dapat dicapai.

"Pada masa sama, kita juga sentiasa mengingatkan para guru bahawa teknologi itu hanyalah alat.

"Interaksi di dalam kelas dengan murid-murid juga perlu diutamakan di samping penggunaan ICT dalam pembelajaran. Tiada teknologi yang boleh menggantikan guru," jelasnya.

Katanya, cabaran lain adalah kos yang tinggi dalam melaksanakan ICT terutama ketika negara menghadapi krisis ekonomi,

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan mendapat kerjasama baik daripada komuniti sekitar dan sektor swasta dalam menjayakan program ICT di sekolah.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai keperluan menjadikan pendidikan sebagai pertahanan paling utama negara bagi keselamatan ekonomi dan memberi jaminan kesihatan termasuk membantu dunia memerangi kebuluran.

"Selain menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian kemahiran mengenai teknologi, jadikan ia untuk menjalinkan kerjasama erat bagi keamanan dunia melalui komunikasi dan informasi teknologi yang lebih baik dalam ikatan persaudaraan pendidikan," katanya. - utusan

Peraturan Penggunaan PuAS

Pengguna Pusat Akses Sekolah mesti mematuhi peraturan bagi menjamin keselamatan diri dan peralatan komputer. Antara peraturan yang perlu dipatuhi ialah:

  • Dilarang membawa beg, makanan atau minuman ke dalam Pusat Akses Sekolah.
  • Dilarang membawa masuk sebarang cakera perisian milik persendirian kecuali dengan kebenaran guru bertugas.
  • Dilarang membawa keluar sebarang perkakasan atau perisian komputer daripada Pusat Akses Sekolah.
  • Dilarang sama sekali mengusik sebarang pendawaian atau sambungan kabel yang terdapat di belakang komputer.
  • Dilarang memasukkan sebarang perisian luar dan mengubah konfigurasi komputer.
  • Dilarang menyimpan semua hasil kerja dalam cakera keras komputer.
  • Pengguna hendaklah merekod penggunaan komputer dalam buku log.

Aktiviti

Murid boleh menggunakan Pusat Akses Sekolah ini untuk:
  • Mencari maklumat daripada Internet untuk pembelajaran.
  • Mengakses sumber maklumat seperti buku-buku, bahan bercetak atau bahan digital yang berkaitan (e-Learning).
  • Menyediakan tugasan dan slaid persembahan berkaitan dengan pembelajaran.
  • Berkomunikasi dengan guru dan murid lain melalui e-mel.
  • Berkolaborasi dengan murid lain.

Carta Jawatankuasa PuAS SMKSB

PENASIHAT
Puan Hjh. Faridah Bte Dol
(Pengetua)

PENGERUSI
En. Abd. Ghani Bin Ahmad
(GPK I)

SETIAUSAHA
Cik Siti Nor Bte Omar
(Guru Perpustakaan & Media)

PENOLONG SETIAUSAHA
En. Abdul Samad Bin M. Taib
(Guru Penyelaras Bestari)

FASILITATOR SCHOOLNET
Puan Fazaliyah Bt Abdullah

JURUTEKNIK KOMPUTER
En. Mohd. Asri Bin Ismail

AJK BIRO PUSAT AKSES
Nur Nabila Syahira (Ketua)
Siti Nur Kiah
Nur Suzifinah Ismail
Muhammad Aidil Syafik
Muhd Fazrul Roslee
Nava Priya



Matlamat & Objektif PuAS

Matlamat PuAS ialah untuk:
  • Membudayakan penggunaan ICT di sekolah
  • Mengurangkan nisbah komputer dengan murid
  • Meningkatkan masa penggunaan (contact hours) komputer oleh murid
Objektif PuAS ialah untuk:
  • Meningkatkan kemahiran murid dalam mencapai maklumat.
  • Membolehkan murid melaksanakan pembelajaran kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri dengan lebih berkesan.
  • Meningkatkan penggunaan dan penguasaan kemahiran ICT murid untuk pembelajaran.

Apakah PuAS?

Pusat Akses Sekolah (PuAS) merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif Kementerian Pelajaran dalam menyediakan Infrastruktur ICT yang mencukupi bagi menjayakan pembestarian sekolah. PuAS berfungsi sebagai pemangkin pembudayaan ICT di sekolah.

PuAS merupakan satu bentuk sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Ia membolehkan warga sekolah khasnya murid mendapatkan maklumat dan berkomunikasi melalui penggunaan teknologi maklumat.

PuAS mengamalkan konsep ala "cyber cafe" tetapi lebih menjurus kepada pembelajaran. Ia merupakan satu ruang pembelajaran yang disediakan bagi membolehkan murid membuat pembelajaran secara kendiri (self learning) dan mempelbagaikan gaya pembelajaran mereka. Murid boleh mencari dan memilih sumber pembelajaran secara sendiri mengikut kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri.

PuAS memenuhi gaya pembelajaran murid yang pelbagai dan mempertingkatkan mutu pendidikan ke arah pembentukan masyarakat celik maklumat dan berdaya maju menerusi pendidikan sepanjang hayat.

Penggunaan PuAS diharap dapat meningkatkan kemahiran ICT pelajar untuk tujuan pembelajaran.

Selamat Datang ke Blog PuAS SMKSB

Selamat Datang ke blog Pusat Akses Sek. Men. Keb. Simpang Bekoh.

Blog ini dibangunkan untuk memperkasakan lagi penggunaan Pusat Akses Sekolah agar dapat menjadi wadah perkembangan ICT di peringkat sekolah.

Semoga blog ini mampu menarik lebih ramai pelajar dan guru menggunakan PuAS SMKSB dalam meningkatkan mutu pendidikan.