Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Keputusan PMR

KEPUTUSAN PMR 2012.Calon PMR boleh mengambil keputusan masing-masing selepas jam 10.00 pagi di sekolah.Harap maklum.Calon juga boleh menyemak secara khidmat pesanan ringkas (sms) dengan cara Taip PMR [angka giliran] dan hantar ke 15888 atau semakan secara online http://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/index.php

Mohon restu PMR 2012

Pelajar tingkatan tiga beratur bagi mohon restu sebelum bermulanya peperiksaan PMR. Turut hadir dalam majlis mohon restu YDP PIBG SMKSB.Program MOHON RESTU PMR 2012 dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan murid tentang pentingnya Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Implikasinya dalam menentukan hajatuju masa hadapan mereka . Program ini juga dilaksanakan sebagai satu strategi dalam usaha memotivasikan murid agar mereka dapat menghadapi peperiksaan dengan kesedaran bahawa mereka tidak bersendirian. Sebaliknya banyak harapan disandarkan kepada mereka disamping keperihatinan pihak sekolah dan para pendidik terhadap kejayaan mereka dalam peperiksaan yang diharungi.









aktiviti hari guru smksb 2012

Pada hari guru 2012 yang lepas pihak SMKSB telah menjalankan beberapa aktiviti . Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan tenpin bowling yang telah diadakan di MIBC. Semasa hari guru pula aktiviti membawa belon air, membawa bola menggunakan kayu hoki, boling padang dan pertandingan bola jaring guru vs pelajar.pihak admin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru.
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

PERUTUSAN HARI GURU 2012

PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan  murid-murid yang dikasihi sekalian,

1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan  dan diabadikan menerusi ungkapan  tema Hari Guru yang diraikan  pada  16 Mei setiap tahun.  Guru  dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara,  pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara  di samping memacu kejayaan rakyat.  Guru yang  melengkapi diri dengan kualiti dan  Standard  Guru Malaysia diakui mampu menjamin  keberhasilan negara, antaranya guru  yang inovatif dan kreatif  teras  kejayaan wawasan,  guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.
2. Pada tahun  ini, tema “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.
3. Sebagai  golongan profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu peka dan bersedia  memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan  dalam menyampaikan  ilmu kepada generasi  anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan  atau modifikasi  menggunakan unsur dan sumber sedia ada  serta menjelmakannya sebagai elemen  sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif  juga  mempunyai  tahap  ketekunan yang tinggi,  belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.Warga pendidik yang diraikan sekalian,
4. Kesinambungan sistem pendidikan negara  dimanifestasi melalui transformasi  yang berbentuk dinamik dan progresif  yang  akan direalisasikan oleh  para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi,  dan berdaya saing. Sehubungan itu,  Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan  program  bina upaya  untuk  meningkatkan  amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi pendidikan secara keseluruhan.  Objektif  Pelan Pembangunan
Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan  secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik  yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.
Warga pendidik sekelian,
5. Pelbagai ganjaran  disediakan  dan inisiatif  direncana  oleh pihak kerajaan  bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.Keprihatinan kerajaan ini disalurkan  menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui  pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan  cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
6. Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi  menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan meningkatkan  penggunaan ICT dalam pengurusan
sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.
7. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat  agar warga pendidik terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab  melahirkan  generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab,  berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.Anak-anak murid yang disayangi sekelian,
8. Saya  yakin  bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan murid-murid semua adalah guru penyayang.  Kehadiran murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan  mempertingkat kualiti diri.  Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya  akhirnya mereka dapat menjadi  individu  dan warganegara  yang berdaya saing, berfikiran  kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan  sedar akan kepentingan  amalan  berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid
yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah
yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.
9. Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi  penuh dedikasi,  bertunjangkan integriti dan  berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku  pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik  mempunyai kedudukan tersendiri,  disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk  melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.Sebagai penutup,  ingin saya titipkan mutiara kata  Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir, “Kemuliaan ialah membangun umat yang telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah”.

WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN

TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!

DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Majlis Pelantikan Pengawas & Sistem Penalti Merit Demerit

Majlis Pelantikan Pengawas sekolah dan pss serta Sistem Penalti Merit Demerit SMK Simpang bekoh



Upacara pelantikan Pengawas Sekolah dan Pusat Sumber Sekolah sesi 2012 telah dijalankan pada hari isnin lalu 19 mac 2012.Turut dijalankan pada pagi itu juga Sistem Penalti Merit Demerit yang baru diperkenalkan diSMKSB.
Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Perumal A/L Raju Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian kawasan Asahan.Dalam majlis itu Yb Datuk Perumal telah menyampaikan Sijil pelantikan pengawas dan Sijil Pelantikan ketua tingkatan.Penambahbaikan telah dilakukan dengan ketua tingkatan dikehendaki memakai tali leher .
Semoga semua yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berhemah.
Terima kasih juga kepada JK yang terlibat dalam menguruskan majlis dengan baik.