Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Showing posts with label Info Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Info Pendidikan. Show all posts

Mudah dan pelbagai guna

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Utusan Online
Fungsi PointDraw membenarkan pengguna menconteng atau melukis sejauh lapan meter dari papan putih interaktif.

Bagi meningkatkan pembelajaran, syarikat pengeluar bahan multimedia terkemuka, BenQ memperkenalkan projektor yang sesuai dengan persekitaran pembelajaran masa kini.

Justeru, menerima projektor BenQ MP780 ST untuk diuji guna memang sesuatu mengujakan bagi penulis mengalami sendiri kelebihan projektor PointDraw berkenaan.

Projektor berkenaan istimewa dengan sistem PointDraw dengan pen interaktif, dilePublish Postngkapi dengan papan interaktif, pembesar suara yang memaksimumkan penggunaan ruang di dinding bilik darjah dengan membenarkan pengguna untuk menunjukkan, melukis dan menulis apa saja di permukaannya.

Pihak BenQ ada mengatakan projektor MP780 ST pasti mendapat tempat di hati bukan saja menarik perhatian pelajar untuk belajar malah memudahkan guru mengajar.

BenQ MP780 ST menggunakan antara muka ultra-intuitive, tidak seperti sistem pen interaktif tradisional kerana pennya tidak perlu ditentu ukur sebelum digunakan semula.

Pemasangan pantas secara plug-and-play membolehkan sambungan antara BenQ MP780 ST dengan komputer riba atau komputer meja.

Selepas itu pengguna boleh terus menggunakannya sama ada untuk melukis atau menulis pada permukaan licin tanpa memerlukan papan putih atau skrin berasingan.

BenQ MP780 ST dan sistem PointDraw sesuai dengan apa saja sistem operasi yang menyokong tetikus USB standard.

Selain itu ia juga membolehkan paparan skrin besar, integrasi dan berkongsi hampir semua perisian atau kandungan digital yang boleh dilihat di monitor komputer.

Fungsi pen PointDraw dalam projektor BenQ MP780 ST menunjukkan ciri butang yang berfungsi sama seperti butang tetikus sebelah kiri.

Ini akan membolehkan pengguna untuk memberikan kesan yang sama sebagaimana yang ditawarkan oleh butang tetikus sebelah kiri.

Selain itu sistem PointDraw membenarkan pengguna menconteng sejauh lapan meter daripada permukaan.

BenQ MP780 ST juga mempunyai Q Draw Interactive Software yang meningkatkan fungsi dengan beberapa pilihan melukis termasuk jenis pen yang berlainan, empat warna dakwat, beberapa ketebalan garisan, jadual dan keupayaan carta, pemilihan bentuk, senario skrin lawak dan beberapa widget yang berguna.

Ia akan membenarkan pengguna merekodkan seluruh pembelajaran yang ditulis atau dilukis dengan pen PointDraw.

BenQ MP780 ST membenarkan pengguna mencipta sendiri ruang projektor interaktif bermula dengan 48 inci sehingga 300 inci bagi memaksimumkan ruang dinding bilik darjah.

Berat hanya 2.6 kg ditambah dengan beberapa ciri projektor BenQ MP780 ST dam pembaca USB bersepadu bagi projektor PC, fungsi komputer meja mudah alih dan dua pembesar suara bina dalam berkuasa 10Watt.

BenQ MP780 ST PointDraw juga menawarkan pilihan sambungan HDMI v1.3, Composite, S-Video, D-Sub, mikrofon USB, L/R audio, stereo mini jack, port RJ45 dan RS232.

Selain itu projektor berkenaan juga dilengkapi dengan keupayaan 3D stereoskopik serta ciri-ciri kos penyelenggaraan rendah termasuk teknologi penapis bebas DLP bagi warna yang konsisten, kawalan satu kabel LAN dan paparan bagi tinjauan produk.

Penulis tempatan perlu manfaat ICT promosi karya sendiri

PERIBAHASA Inggeris ada menyebut, ‘buku bukanlah barang hiasan tetapi sebaik-baik hiasan di rumah adalah buku’. Ini menunjukkan betapa masyarakat di Barat menghargai buku sebagai sumber ilmu.

Pada 10 Disember lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan akan mengaktifkan semula dasar membeli terus hasil penulisan daripada penulis bagi melindungi kepentingan mereka.

Dasar itu diperkenalkan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2006 bagi melindungi penulis daripada penerbit dan pengedar yang cuba mengaut keuntungan tinggi daripada karya mereka.

Isu penulis dengan penerbit yang mengaut laba dari perahan jus minda kreatif penulis dengan bayaran yang tidak sepadan sepatutnya tidak menjadi isu jika penulis sendiri tahu hak mereka di sisi undang-undang.

Hari ini dunia siber di blog persendirian dan blog badan bukan kerajaan kita boleh melayari karya penulis yang menyumbang artikel sama ada di majalah dan akhbar yang dipetik oleh pemilik blog terbabit.

Ada yang memaklumkan sudah mendapat keizinan syarikat penerbitan akhbar dan ada yang terus menyiarkan karya penulis itu tanpa menyatakan sama ada mereka sudah mendapatkan keizinan atau sebaliknya daripada penerbit mahupun penulis. Penulisan sebegini juga perlu dilindungi oleh pihak berkuasa dan penerbit asal itu sendiri.

Soalnya, penulisan minda kreatif bentuk buku mahupun rencana bukan seperti penulisan bongkar terus seperti Wikileaks dan segala blog yang menjadi medan pertempuran ideologi paling sengit era pasca millennium.

Jika di Barat penulis seperti John Grisham, J.K Rowling dan Michael Crichton menjadi jutawan kerana menulis kisah berdasarkan pengalaman hidup dan minda fantasi bercampur-baur dengan sains dan teknologi.

Tulisan mereka menjadi filem pecah panggung seperti siri Harry Potter (J.K Rowling).

Penulis tempatan perlu keluar dari kepompong minda mengharapkan penerbit mencetak karya mereka dan mempromosikannya. Dalam dunia ICT, penulis perlu menjadikan dunia siber sebagai tapak mereka menguar-uarkan karya mereka sendiri.

AZIANA MOHAMAD ARIPIN,
MORIB, Selangor.

Sumber: Berita Harian Online
www.bharian.com.my

UPM bantu bangunkan IT Orang Asli

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
kampus@utusan.com.my
Sumber: Utusan Online

Dr. Lili Nurliyana Abdullah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan komputer kepada masyarakat Orang Asli di Tanah Rata dan Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

PERKEMBANGAN teknologi maklumat (IT) di negara ini terus pesat dengan sistem-sistem perkakasan komputer berteknologi tinggi.

Teknologi tinggi itu telah menjadikan rakyat Malaysia celik IT dalam kehidupan seharian.

Namun perkembangan teknologi itu juga tidak menghalang masyarakat Orang Asli di negara ini menikmati kemudahan yang sama untuk menjadi rakyat Malaysia yang celik IT walaupun tinggal di kawasan pendalaman.

Menyedari hakikat itu, pensyarah dan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang prihatin terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli mengenai IT telah menganjurkan aktiviti khidmat masyarakat di Tanah Rata dan Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) telah menjalankan program ITNITI iaitu bantuan khidmat komuniti teknologi maklumat kepada Orang Asli Islam Suku Semai di Sungai Ruil, Temerloh, Pahang.

Penasihat program, Dr. Lili Nurliyana Abdullah berkata FSKTM telah menyumbang dua set komputer kepada makmal komputer penduduk kampung, makanan dan pakaian serta mengadakan sesi dialog untuk meningkatkan pengetahuan IT.

"Kami berhasrat untuk meningkatkan aktiviti khidmat masyarakat dalam bidang teknologi maklumat supaya Orang Asli di negara ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara," katanya yang juga Ketua Jabatan Multimedia UPM.

Sementara itu, Wakil Tok Batin, Aswot Zainal menyifatkan sumbangan UPM wajar dicontohi pelbagai pihak yang prihatin kepada masyarakat Orang Asli yang kekurangan infrastruktur komputer dan tidak tercicir daripada kemajuan teknologi maklumat.

Dalam pada itu, pada program yang sama pelajar dari Jabatan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia juga telah menjalankan aktiviti dua hari interaksi mengenai tahap kemajuan masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong di Temerloh, Pahang.

Integrasikan ICT dalam P&P

Kota Samarahan - Selepas berkunjung ke empat buah negeri, Program Jerayawara Pembestarian Sekolah Bestari (MSC) diteruskan ke destinasi terakhir di Sarawak bagi memberi pendedahan pemahaman tentang transformasi yang harus dilakukan oleh pentadbir sekolah ke arah men- capai tahap yang cemerlang dalam proses penarafan Sekolah Bestari.

Manakala para guru pula didedahkan dengan konsep pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Seramai 150 orang pengetua, guru besar dan guru telah berpeluang menyertai program anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Sarawak baru-baru ini.

Bagi mencapai objektif penganjuran, MDeC dan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) telah menjemput Pensyarah Jabatan Teknologi Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain untuk mengendalikan dua sesi taklimat yang dijalankan.

Terdahulu, Pegawai BTPN Sarawak, Munawwar Ismail telah memberikan taklimat tentang Piawaian Kelaya-kan Sekolah Bestari (SSQS) dan kaedah untuk membestarikan semua sekolah.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sambir, Latif Jem, program tersebut telah memberikan satu pengalaman yang menarik dan membuka mindanya mengenai penarafan SSQS dan cara-cara mengintegrasikan ICT dalam bilik darjah.

"Kemudahan jalur lebar yang akan digunakan dalam sesi pengajaran diharapkan akan membantu serta memudahkan para guru dan murid-murid untuk mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran," katanya.

Ketua Penolong Pengarah BTPN Sarawak, Abd. Wahed Rosli berkata, aspek pengintegrasian ICT dalam P&P perlu diberi penekanan yang lebih serius kerana kebanyakan guru sudah mengetahui cara mengaplikasi ICT tetapi masih kurang mahir mengintegrasikannya.

Sementara itu Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Muara Tuang, Adelina Alos berkata, program yang disertainya ini banyak memberi motivasi kepada dirinya untuk mengintegrasikan ICT dalam P&P.

"Saya percaya, pengintegrasian ICT mampu menarik minat murid-murid untuk memberi tumpuan kepada proses P&P yang tidak lagi hanya terbatas di dalam bilik darjah sahaja," katanya.

Sumber: Utusan Online

PERMOHONAN KEMASUKAN KE SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL DAN SEKOLAH MENENGAH TEKNIK TAHUN 2011

Pelajar-pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 adalah dipelawa untuk memohon ke Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) bagi sesi pengambilan tahun 2011.

Syarat-syarat Umum:

  • Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  • Pemohon hendaklah berada di Tingkatan 3 dan telah menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2010.
  • Dilahirkan dalam tahun 1995 atau selepasnya.
  • Sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal. Bebas dari penyakit lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy) yang serius dan sebagainya. (Penyakit-penyakit ini akan membahayakan terutama semasa menjalankan kerja amali).
  • Tidak rabun warna bagi semua program Teknikal, Vokasional dan Kemahiran yang berkaitan Elektrik dan Elektronik. 

Cara Memohon:

Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web: http://esptv.moe.gov.my/2010/ atau datang sendiri (walk-in) ke SMV/SMT berhampiran. Tarikh bermula permohonan pada 4 Oktober 2010.

Mengubahsuai Pilihan Permohonan: Setiap permohonan boleh diubahsuai sehingga 26 November 2010.

Rayuan Kemasukan: Sekiranya permohonan tidak berjaya, pemohon boleh membuat rayuan terus melalui online atau terus ke SMV/SMT yang berkenaan mulai 1 Disember 2010.
Kemudahan Asrama:

Kemudahan asrama disediakan di semua SMV/SMT kecuali SMV Kuching, Sarawak, tertakluk kepada had yang ditetapkan.

Muat Turun Borang
Bagi pemohon yang tidak dapat membuat permohonan secara online, sila muat turun Borang berkaitan Kemasukan ke SMV/SMT 2011 di bawah:
Borang Kemasukan - KLIK
Borang Rayuan Kemasukan ke SMV/SMT 2011 - KLIK

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke SMV/SMT berkenaan.
Tarikh akhir penghantaran Borang Kemasukan ialah 26 November 2010.

Muat Turun Dokumen Panduan
Panduan Kemasukan - KLIK
Kursus-kursus yang ditawarkan di SMV/SMT 2011 - KLIK
Senarai Sekolah - KLIK

Lanjutan Tempoh Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat

Dimaklumkan bahawa Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh ke Tingkatan Satu(1) dan Tingkatan Empat (4) Tahun 2011 dilanjutkan sehingga 22 Oktober 2010 (Jumaat) melalui Portal Kementerian Pelajaran Malaysia di http://www.moe.gov.my


Sekian, terima kasih.

Pelajar kita kurang akses sumber rujukan

JIKA kita bandingkan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) antara pelajar di Malaysia dan negara maju lain memang banyak bezanya. Sistem yang kita bina kini berasaskan acuan dan keadaan semasa di negara kita yang mempunyai banyak keunikan.

Namun, perbezaan yang ketara adalah dari segi akses kepada sumber rujukan yang menjadi antara elemen penting bagi membentuk pelajar bestari.

Pada peringkat universiti umpamanya, yuran perpustakaan yang naik mendadak sehingga RM100 satu semester kepada seorang pelajar bertujuan melanggan pangkalan data yang menempatkan jurnal antarabangsa dan maklumat pendidikan berkualiti.
Lebih daripada itu, pelbagai buku rujukan juga memudahkan mahasiswa menambah ilmu. Kemahiran Maklumat menjadi subjek wajib universiti bagi mendidik mahasiswa cara penggunaan dan akses kepada perpustakaan.

Dalam keadaan ini, mahasiswa mula terkapai-kapai kerana tidak tahu kemudahan disediakan dan baru hendak merangkak mencari bagaimanakah perpustakaan boleh digunakan secara maksimum.

Pada peringkat sekolah rendah dan menengah, kemudahan rujukan sangat terhad kerana kemudahan disediakan tertumpu kepada sistem pinjaman buku rujukan semata-mata. Di kebanyakan sekolah, sistem ini tidak berjalan lancar walaupun dengan pengawasan guru dilantik dan pustakawan.

Sumber rujukan terhad, capaian dan aspek pengurusan unit ini yang lemah antara masalah besar yang harus mendapat perhatian pihak berkaitan.

Bayangkan, sebuah sekolah yang mempunyai 800 pelajar tetapi hanya mempunyai sebilangan rak buku dan meja di pusat sumber. Selain itu, akses kepada akhbar dan majalah ilmiah amat kurang.
http://puassmksb.blogspot.com/
Bahan seperti ini hanya diletakkan di bilik guru dengan anggapan hanya guru layak untuk mengakses bahan bacaan berkenaan.

Kemudahan jalur lebar yang disediakan kerajaan amat dihargai. Penyediaan makmal komputer di setiap sekolah juga mampu membantu pelajar daripada bergantung sepenuhnya kepada bahan disediakan guru. 


Kedua-dua sistem ini, yakni pusat sumber dan makmal komputer harus digerakkan secara bersepadu dengan merangka kaedah pelaksanaan baru agar kemudahan yang disediakan tidak sia-sia dan boleh digunakan secara maksimum. 

Langkah ini mampu mengurangkan kebergantungan pelajar kepada bahan ilmiah daripada guru, sekali gus membendung masalah belajar untuk lulus periksa.

JEFFRY MEYER,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelajarkitakurangaksessumberrujukan/Article/

Dasar baru jadikan ICT peneraju pendidikan

Usaha lahir generasi berilmu bertaraf antarabangsa

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

“Dasar ini kesinambungan daripada inisiatif Sekolah Bestari yang menekankan penggunaan teknologi sebagai wahana menggalakkan perkembangan daya kreativiti, pembelajaran secara bekerjasama, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

“Dasar ini menggabung dan menyelaraskan semua inisiatif ICT sedia ada seperti SchoolNet, Makmal Komputer, EduWebTV, Pusat Akses dan apa jua inisiatif ICT yang dilaksanakan pada masa depan dengan tujuan meningkatkan pencapaian murid,” katanya ketika melancarkan dasar itu di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pela-jaran, Dr Rosli Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali.

Difahamkan, dasar itu dilancar berikutan kajian Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri yang melaporkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 tidak menyatakan secara khusus peranan ICT sebagai pengupaya proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

EPU turut menyifatkan pelaburan RM6.1 bilion bagi inisiatif ICT untuk tempoh 1999 hingga 2009 sebagai tidak memberikan pulangan setimpal kepada pembangunan modal insan negara.

Muhyiddin berkata, dasar itu akan menjadikan amalan di negara maju sebagai penanda aras untuk memastikan komponen ICT dalam pendidikan mampu mencapai piawaian antarabangsa.

Katanya, dengan menjadikan dasar itu sebagai rujukan, pelaksanaan semua program ICT di kementerian menjurus kepada sasaran yang sama iaitu mempertingkatkan pencapaian murid dan memastikan setiap murid mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Empat asas menjadi teras dasar iaitu pembangunan modal insan berterusan, penggunaan teknologi yang sesuai bagi mengintegrasikan inisiatif ICT sedia ada dalam pendidikan, proses pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan pendidikan menggunakan ICT.

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2010/10/13

Jadikan subjek Sejarah wajib lulus

Utusan Online - 23/10/2010

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Mata pelajaran Sejarah perlu disyaratkan wajib lulus di sekolah bagi mendidik generasi muda untuk memahami situasi sebenar penubuhan negara ini yang berbilang kaum.

Wakil Puteri UMNO, Fahariyah Md. Nordin berkata, semakin ramai generasi muda enggan menerima sejarah hingga sanggup mempersoalkan bantuan kepada golongan memerlukan yang dianggap berat sebelah dan tidak adil.

Sikap seperti itu katanya, secara tidak langsung membuatkan mereka sukar memahami program transformasi kerajaan dan ekonomi yang giat diusahakan sekarang.

“Golongan ini sukar memahami mengapa Malaysia perlu mengikut acuan pemerintahannya tersendiri. Mereka lupa masih ada saudara sebangsa dan senegara yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

“Disebabkan itu, Puteri UMNO mencadangkan subjek Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus di sekolah agar generasi muda pelbagai kaum dapat saling menghormati serta tidak meletakkan kepentingan puak melebihi kepentingan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Fahariyah menambah, kerajaan serta golongan dewasa juga perlu mencari pendekatan berbeza bagi mendidik generasi muda mengenai sejarah termasuk dengan memanfaatkan teknologi.

“Kefahaman sejarah boleh diberi dalam bentuk pengkisahan atau penceritaan. Selain itu terapkan juga elemen sejarah menerusi filem, animasi atau permainan komputer bagi menjadikan sejarah sesuatu yang ingin diketahui dan menangkap imaginasi mereka,” ujarnya.

Beliau turut menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan Puteri UMNO sewaktu ‘meminta izin’ para pemimpin dan ahli UMNO untuk berjuang mengikut acuan pergerakan itu sendiri.

“Kami mahu berjuang sejajar dengan usia muda kami dan selari dengan generasi kami,” katanya.

Tercicir tetapi berjaya

Utusan Online - 24/10/2010
Oleh HAFIZAHRIL HAMID

RAMAI yang beranggapan ilmu adalah kunci kejayaan dalam hidup. Telah terbentuk dalam pemikiran hampir semua kita untuk berjaya mesti belajar sampai ke universiti. Setelah menamatkan pengajian maka hidup mereka akan lebih terjamin dan masa depan yang lebih gemilang menanti untuk diterokai.

Oleh sebab itu kita tidak boleh salahkan sesiapa waima ibu bapa jika mereka menuntut anak-anak mereka supaya menamatkan pengajian.

Namun sehingga sekarang ramai yang masih keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ilmu. Apakah sekadar menamatkan pengajian sudah cukup untuk mendabik dada bahawa diri mereka sudah terlalu bijak dan berjaya.

Ramai juga yang masih terumbang ambing setelah menamatkan pengajian sama ada dalam mencari pekerjaan, membina kerjaya mahupun mencari matlamat hidup.

Sesungguhnya ilmu yang diperoleh ketika di universiti adalah sekadar landasan kukuh untuk menempa hidup yang lebih baik namun tidak semestinya ia mampu melakar yang terbaik.

Sementelah pengalaman hidup yang diperoleh sama ada melalui kejayaan mahupun kegagalan adalah ilmu paling baik pernah diterima manusia dalam membentuk diri menjadi lebih sempurna.

Jika tidak kenapa begitu ramai manusia yang berjaya malah ada yang sehingga menjadi antara manusia terkaya dunia sebenarnya tidak menamatkan pengajian di peringkat universiti mahupun sekolah menengah.

Lihat saja barisan manusia terkaya dunia ramai di antara mereka sebenarnya tidak menamatkan pengajian atau persekolahan seperti mana yang dilalui oleh Bill Gates, Steve Jobs, Richard Branson. Keadaan ini juga berlaku kepada mereka yang lebih senior seperti Walt Disney, Henry Ford, Ingvar Kamprad atau generasi muda sekarang seperti Mark Zuckerberg, dan beberapa nama lagi.

Melihat kepada barisan generasi yang menempa nama dalam dunia perniagaan sehingga ada yang bergelar bilionair, pastinya kisah bagaimana mereka bermula adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Apatah lagi mereka ini bermula tanpa sebarang sijil ditangan malah "hanyut" ketika disekolah lagi.

Generasi terawal ini seperti Walt Disney, Henry Ford mahupun taikun perjudian Malaysia, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong semuanya memiliki satu persamaan tidak menamatkan persekolahan atas faktor kemiskinan.

Melihat kepada apa yang berlaku kepada Henry Ford yang menawan dunia dengan penciptaan kereta murah Model T, beliau sememangnya mencipta kejayaan dari bawah.

Tidak menamatkan persekolahan apabila mencecah usia 16 tahun, lelaki yang dilahirkan pada 30 Julai 1863, kemudian bekerja sebagai jurumesin dan sebelum berhijrah menjadi mekanik yang pakar dalam enjin stim.

Beliau membuktikan tanpa pelajaran yang tinggi namun berjaya menjadi jurutera di Edison Illuminating Company yang dimiliki oleh pencipta terkenal, Thomas Edison.

Dengan sokongan kewangan dari beberapa jutawan seperti Alexander Y. Malcomson, John dan Horace E. Dodge Ford mula membina model kereta Ford 999. Namun impak besar mula dirasai setelah Model T dikeluarkan pada 1908.

Kejayaan yang dicipta oleh beliau ini juga mencatat sejarah bermulanya pengeluaran kereta secara besar-besaran. Ini kemudian membolehkan beliau menjadi antara bilionair terawal dunia sebelum kematiannya pada 1947 dengan aset dan wang tunai mencecah AS$188.1 bilion (RM601 bilion), jumlah berdasarkan tahun 2008.

Begitu juga kisah yang berlaku pada pengarah, penerbit dan pengasas taman tema Disneyland, Walter Elias "Walt" Disney yang tidak menamatkan sekolah apabila mencecah usia 16 tahun.

Bagi lelaki yang mempunyai susur galur dari Ireland ini, kejayaan yang diraih tidak mengubah imej dan karakter beliau yang senantiasa merendah diri.

Sebaik berhenti sekolah beliau mendaftarkan diri untuk menjadi tentera namun ditolak kerana bawah umur dan kemudian bekerja sebagai pemandu ambulans di Palang Merah.

Bankrap

Disney memulakan karier dalam bidang perfileman terutama dalam industri kartun dan animasi dari bawah. Bermula sebagai pelukis kartun untuk majalah dan suratkhabar, syarikat pengiklanan, malah pernah jatuh bankrap kerana gagal mengurus kewangan syarikat animasi miliknya Laugh-O-Gram Studio dengan baik.

Namun pengalaman yang dilalui ketika susah menjadi ilmu paling berharga sehingga membolehkan empayar perniagaannya berkembang seperti mana yang kita lihat sekarang.

Disney kemudiannya mencipta nama di Hoolywood melalui pelbagai animasi yang mencuit selera penonton antaranya Mickey Mouse, Snow White, Donald Duck dan pelbagai lagi.

Meneruskan legasi jutawan yang tidak menamatkan pendidikan, antara yang paling paling menonjol dalam generasi seterusnya adalah pengasas syarikat IKEA, Ingvar Kamprad.

Beliau yang kini berusia 84 tahun memulakan perniagaan pada usia muda dengan menjual pelbagai barangan yang dibeli pada harga yang murah kepada kenalan dan ahli keluarga.

Selepas berhenti sekolah pada usia 17 tahun, beliau telah membuka IKEA dengan pemberian wang oleh bapanya berikutan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Pada awalnya perniagaan tersebut telah menjual pelbagai barangan namun kemudian bertumpu kepada perabot sejak 1947.

Nama IKEA yang diambil dari cantuman namanya IK- Ingvar Kampard dan E-Elmtaryd nama ladang ketika kecil dan A-Agunnaryd, nama perkampungan asalnya, telah memberi tuah kepadanya sehingga membolehkan beliau menduduki tempat ke 11 orang terkaya dunia dengan aset sebanyak AS$23 bilion (RM73.6 bilion).

Begitu juga beberapa nama dari Asia seperti Li Ka-shing yang kini menduduki tempat ke 14 terkaya dunia.

Merantau pada usia yang muda ke Hong Kong walaupun dilahirkan di Guangdong, China, kemudian kematian bapa ketika berusia 15 tahun telah memaksa beliau berhenti sekolah dan bekerja di sebuah kilang plastik.

Hasil dari kepayahan hidup telah memberi beliau pengalaman luas dan kemudian memulakan perniagaan pertama, Cheung Kong Industri pada 1950 dalam bidang barangan plastik sebelum berkembang dalam pelbagai industri lain seperti hartanah, tenaga, telekomunikasi dan pelbagai lagi.

Bagi generasi seterusnya nama-nama mereka yang tercicir ketika pengajian tidak lagi perlu diperkenalkan. Antaranya Bill Gates dan rakannya Paul Allen yang berhenti belajar di Harvard untuk menumpukan perhatian dalam pembangunan perisian komputer pada 1975.

Pada tahun yang sama beliau menubuhkan Micro-soft dan kini syarikat tersebut telah membantu beliau menjadi antara orang paling kaya di dunia.

Membina

Begitu juga yang berlaku kepada seorang lagi tokoh industri teknologi maklumat Steve Jobs. Pada penghujung 1970-an, Jobs, dengan pengasas bersama Apple Steve Wozniak dan Mike Markkula telah mereka bentuk, membina dan memasarkan komputer peribadi pertama di dunia.

Setelah keluar dari Apple pada 1985 akibat perebutan kuasa dan masuk kembali pada 1996, beliau kini membuktikan tindakan meninggalkan pengajiannya satu ketika dahulu telah berjaya membuahkan hasil yang sangat lumayan.

Begitu juga yang berlaku kepada pengasas Virgin Records, Richard Branson. Walaupun bapa dan datuknya merupakan hakim-hakim terkenal dan berpengaruh di England namun jejak itu tidak terdapat pada Branson.

Beliau menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun dan kemudian menerbitkan majalah Student sebelum membuka syarikat rakaman Virgin Records pada 1982.

Jenama Virgin semakin mengembang pada 1980-an dengan tertubuhnya Virgin Atlantic Air dan kini sudah mula terlibat dalam pelancongan ke angkasa lepas untuk masa depan.

Bagi generasi yang lebih muda mungkin mereka mengagumi pemuda seperti Mark Zuckerberg yang kini menakluk dunia melalui facebook.

Beliau yang hanya berusia 26 tahun juga tidak menamatkan pengajian di Harvard kerana mahu mengembangkan potensi facebook.

Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika menuntut di Universiti Harvard pada Februari 2004 sebelum ia tersebar ke universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, New York University, Cornell, Brown dan Yale.

Melihat kepada kejayaan yang diperoleh kesemua tokoh yang dinyatakan, pastinya kejayaan mereka berlandaskan kepada kesungguhan usaha, kreativiti, sifat percaya kepada kebolehan dan keupayaan diri.

Mungkin ada yang berpandangan selepas ini tidak perlu lagi untuk belajar tinggi kerana semua orang boleh berjaya. Namun kita perlu bertanya balik dari berbilion penduduk dunia hanya beberapa kerat sahaja yang terpilih untuk berjaya tanpa pelajaran tinggi.

Mungkin satu ketika dulu akibat kemiskinan telah memaksa mereka ini berhenti belajar dan kemudian bekerja untuk menyara hidup.

Langsung tidak terlintas dalam fikiran Henry Ford dan Walt Disney bahawa mereka akan menjadi begitu berjaya.

Apa yang berlaku kepada mereka ini akibat minat yang begitu mendalam dalam bidang yang mereka minati, membuka ruang untuk ia dieksploitasi hingga ke tahap maksimum dan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan.

Mungkin jika kita sudah mengenalpasti minat dan kecenderungan yang boleh membuahkan hasil agak logik juga untuk berhenti belajar.

Tapi jika hanya sekadar mahu berhenti sebab malas dan kemudian berangan-angan untuk menjadi kaya pasti itu satu tindakan paling bodoh yang seseorang lakukan dalam hidupnya.

Soalan ulang kaji SPM 2010 percuma

Guru dan pelajar Tingkatan 5 SMKSB boleh mendapatkan e-buku soalan ulangkaji percuma melalui laman sesawang http://www.afterschool.my/guide2success/books.php?content=soalanulangkajispm2010&y=2010 .

Walaubagaimanapun, anda perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh memuat-turun e-buku soalan ulangkaji tersebut.

e-buku tersebut meliputi matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sains, Perdagangan dan Prinsip Akaun.

Selain e-buku yang berbentuk soalan dan jawapan untuk dimuat-turun, pelajar boleh menguji minda dengan menjawab soalan-soalan yang disediakan secara online (atas talian).

Bagi guru dan pelajar yang menghadapi bermasalah untuk memuat-turun soalan tersebut, boleh berjumpa Fasilitator Schoolnet - Pn. Fazaliyah di Makmal Komputer 1.

-------------------------
Petikan: Utusan Online - 18/10/2010

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini boleh memuat turun secara percuma soalan ulang kaji terbitan Times Guides Sdn. Bhd. melalui laman sesawangnya www.afterschool.my.

Soalan dalam bentuk e-buku itu melibatkan 13 mata pelajaran utama iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia, Fizik, Sains, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Perdagangan serta EST.

"Kertas-kertas soalan tersebut disediakan oleh panel guru yang berpengalaman," kata penerbit tersebut dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pada tahun ini seramai 20,000 pelajar tingkatan 5 dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Johor, Melaka dan Seremban telah mendapat buku Times Soalan Ulangkaji SPM 2010 secara percuma.

Bagaimanapun, ujarnya, disebabkan kos cetakan yang tinggi maka alternatif terbaik adalah dengan meletakkan soalan ulang kaji itu di Internet supaya pelajar boleh membuat latihan secara dalam talian atau memuat turun bahan berkaitan tanpa sebarang bayaran.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek komuniti tahunan Times Guides ini, sila hubungi penerbit di 03-77298120.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke e-mel: info@times.my.

ICT jadi pengupaya utama dalam pengajaran, pembelajaran

Utusan Online
12/10/2010 4:31pm

PUTRAJAYA 12 Okt. - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

"Dasar ini yang merupakan kesinambungan daripada inisiatif Sekolah Bestari sebelum ini menekankan penggunaan teknologi sebagai wahana untuk menggalakkan perkembangan daya kreativiti, pembelajaran secara bekerjasama, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

"Dasar ini akan menggabung dan menyelaraskan semua inisiatif ICT sedia ada seperti SchoolNet, Makmal Komputer, EduWebTV, Pusat Akses dan apa jua inisiatif ICT yang akan dilaksanakan pada masa hadapan dengan tujuan meningkatkan pencapaian murid,” katanya ketika melancarkan dasar itu di sini hari ini. - Bernama

Belajar Pelbagai Bahasa

Tahukah adik-adik yang kita boleh belajar pelbagai bahasa melalui internet. Google menyediakan laman web untuk kita mengalih bahasa juga mempelajari bahasa lain dengan hanya memilih pelbagai pilihan bahasa yang disediakan.
Di samping itu, kita guna boleh mendengar bunyi sesuatu perkatan atau ayat yang di alih bahasa supaya kita dapat menyebut dengan betul. Juga disediakan pilihan cara bacaan fonetik (mengikut bunyi).

Semoga adik-adik dapat menggunakan laman web http://translate.google.com/#ms|en| untuk mempelajari pelbagai bahasa ataupun mengalih bahasa artikel yang boleh membantu dalam pembelajaran.

Selamat mencuba.

Perlindungan Info (Maklumat Peribadi) di Internet



Berikut adalah tip berguna untuk menjadi selamat semasa berada dalam Internet:

  • Jangan berikan maklumat mengenai diri anda seperti nama, alamat dan nombor telefon anda kepada orang yang anda temui dalam internet.
  • Jangan hantar gambar anda sendiri, gambar rakan atau keluarga anda kepada seseorang yang anda temui atau berbual dalam talian.
  • Jika seseorang mengatakan sesuatu yang merisaukan anda atau mahu menghantarkan anda sesuatu, tanya ibu bapa anda atau orang yang lebih tua. Peka terhadap apa yang mereka katakan, terutamanya jika orang ini menanyakan terlalu banyak soalan peribadi
  • Jika anda merancang untuk menemui seseorang yang anda telah temui di Internet, bawa ibu bapa anda atau seorang rakan bersama. Orang di dunia sebenar mungkin berbeza daripada diri mereka dalam talian.
  • Jangan buka e-mel, fail atau pautan tapak web daripada orang yang anda tidak begitu kenal.
  • Jangan beri kata laluan anda kepada orang tidak dikenali.
  • Jangan sekali-kali memberi maklumat peribadi termasuk maklumat ibu bapa anda dalam laman web, e-mel, sistem permesejan segera, bilik bual atau pada papan mesej, terutamanya bila anda tidak pasti.
  • Ingat, rakan dalam talian mungkin bukan seperti yang mereka katakan tentang diri mereka. Seseorang boleh berkata bahawa dia budak perempuran "berusia 12 tahun" tetapi dalam dunia sebenar dia adalah lelaki dewasa.
Berikut adalah beberapa tip untuk perhubungan sosial yang selamat:
  • Anda tidak perlu mengepos terlalu banyak maklumat dalam profil anda dan berkomunikasi dengan orang yang anda baru sahaja temui dalam talian boleh mendedahkan anda kepada bahaya.
  • Pengeksploit berpotensi boleh dan memang menggunakan profil ini atau maklumat anda untuk mencari mangsanya.
  • Pengguna boleh menyamar menjadi orang lain dengan umur berbeza, tanpa pengetahuan anda atau membahayakan anda.
  • Teks dan imej yang dipos tidak boleh diambil semula.
  • Dilarang mengepos maklumat peribadi anda, seperti nombor telefon mudah alih anda, alamat atau nama sekolah atau pasukan sekolah.
  • Jangan berikan kata laluan anda kepada sesiapa.
  • Tambah orang sebagai rakan pada tapak anda hanya jika anda kenal siapa mereka .
  • Jangan berjumpa dengan orang yang anda "temui" buat pertama kali dalam tapak perhubungan sosial. Sesetengah orang mungkin bukan seperti yang mereka katakan tentang diri mereka.
  • Fikir dahulu sebelum mengepos gambar anda. Foto peribadi tidak boleh mengandungi maklumat yang nyata, seperti nama sekolah atau lokasi.
  • Jangan balas komen mengganggu yang dipos pada profil anda.
  • Padam sebarang mesej dari orang yang meninggalkan komen yang tidak sesuai.
  • Periksa tetapan privasi tapak perhubungan sosial yang anda gunakan:
  • Tetapkan privasi supaya orang hanya boleh ditambah sebagai rakan jika anda mempersetujuinya.
  • Tetapkan privasi supaya orang hanya boleh dapat melihat profil anda jika mempersetujuinya sebagai rakan.
  • Jangan mengepos maklumat mengenai rakan anda kerana anda boleh memberi risiko kepada mereka.
  • Ingat bahawa apa yang diposkan dalam talian adalah tidak peribadi. Ibu bapa, guru dan majikan, boleh berada dalam talian dan mengetahui perkara mengenai anda.



Sumber: http://www.esecurity.org.my/bm/kid.htm

Permohonan Atas Talian - Kemasukan Murid Ke Tingkatan Satu Dan Tingkatan Empat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Bagi Tahun 2011


Permohonan Atas Talian - Kemasukan Murid Ke Tingkatan Satu Dan Tingkatan Empat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Bagi Tahun 2011 telah dibuka. 

Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Oktober 2010. 

Permohonan serta panduan dan maklumat berkaitan boleh dicapai dengan melayari e-perkhidmatan KPM di laman web www.moe.gov.my


Penggunaan Internet oleh Guru

i.) meluaskan pengetahuan guru
Kemudahan Internet juga memberi peluang kepada guru mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan mereka melalui pelbagai maklumat yang berkaitan. Sebagai contoh para guru boleh mengakses bahan-bahan akedemik dan mencari maklumat pendidikan melalui perpustakaan siber universiti-universiti tempatan dan luar negara atau kemudahan USENET yang disediakan oleh Internet.

Di samping itu, para guru dapat membincangkan isu semasa pengajaran dengan guru-guru lain di seluruh negara mengenai program pendidikan yang telah berjaya.

ii.) sebagai Bahan Bantu Mengajar
Pendidikan berasaskan Internet juga boleh dikategorikan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran. Ini memandangkan kemudahan Internet bukan sahaja menawarkan komponen-komponen lain seperti laman-laman Web, malah menyediakan sumber pendidikan berbentuk teks yang diperkayakan dengan unsur-unsur lain seperti grafik, animasi atau audio visual.

Kaedah pendidikan melalui Internet ini memerlukan penglibatan aktif para penggunanya di samping mengetengahkan konsep interaktif. Konsep tersebut bukan sahaja sesuai menyampaikan sumber-sumber maklumat berbentuk pendidikan, malah sesuai digunakan untuk  menyampaikan program latihan dan perkhidmatan pendidikan dalam talian.

Program-program pendidikan dan latihan secara interaktif menerusi Internet sama ada yang dikendalikan oleh pihak sekolah atau institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa pendidikan memerlukan penglibatan secara langsung di antara pihak penerima dan penyampainya. Sebagai contoh mengakseskan nota-nota kuliah, menghantar dan menyemak tugasan boleh dilakukan menerusi talian. Pembelajaran ini dikatakan lebih memanfaatkan pelajar kerana walau apapun kaedah pengajaran yang dipilih, penglibatan pelajar secara aktif perlulah diberi keutamaan. Penglibatan secara aktif oleh pelajar dalam mengakseskan bahan-bahan yang diperlu dalam Internet berupaya memupuk dan memperkembangkan kemahiran berfikir dan kreativiti di kalangan pelajar (Rashidi dan Abdul Razak 1997).

sumber: http://www.ppdbesut.net/nuke/edu/idp.pdf

'Virus' gagalkan program ICT sekolah

Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melihat semula keberkesanan program pelaksanaan program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) setelah hampir 20 tahun ia menjadi aplikasi perdana koridor raya multimedia.

Penilaian peringkat kebangsaan perlu dilakukan semula terhadap keselesaan dan kesesuaian program yang dilakukan oleh bahagian atau jabatan di KPM, institusi latihan perguruan, Institut Aminuddin Baki (IAB), agensi-agensi yang dilantik serta pihak yang berkepentingan, yang nampaknya caca marba dan belum kesampaian.

Guru masih tidak tahu mencari bahan, mengintegrasikannya dalam satu mauduk rancangan dan sukatan mengajar seharian. Pengurus dan pentadbir sekolah juga masih gagal mengurus program ICT di sekolah dengan berkesan. Kesemua inilah yang dikhuatiri akan menjadi virus sehingga menggagalkan program ICT di sekolah untuk satu pusingan lagi.


Program kesedaran atau celik komputer sudah berlalu. Satu program pengintegrasian dalam amalan terbaik mengajar di sekolah adalah fokus program latihan sekarang.

Hal ini saya anggap kritikal kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu program pembestarian semua sekolah dilaksanakan segera - seperti mana yang beliau tegaskan semasa pelancaran program Cybersafe in School peringkat kebangsaan di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lepas.

Kegagalan atau kejayaan program ICT di sekolah akan menentukan pelbagai perkara - misalnya bagaimanakah ia bakal menjejaskan kepercayaan terhadap program komputer rakyat - juga perlu diperhalusi.

Banyak program sangkutan ICT yang gagal - lihat sahaja Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI).

PPSMI adalah aspek yang kecil. Lebih besar lagi, ketidakcekapan pengurusan bakal menggagalkan keseluruhan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah kalau harapan disandarkan secara membuta tuli kepada suasana dan keadaan semasa.

Bagi penulis, ia umpama filem Terminator, sebuah syarikat SkyNet hanya mencipta dan mempromosikan teknologi yang akhirnya menjadi 'monster' yang memakan diri sendiri.

Ia umpama virus yang sangat cepat tersebar kerana kesedaran untuk menggunakan komputer di sekolah secara umumnya semakin tinggi.

Program-program pengurusan perubahan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) dengan kerjasama Portal Pendidikan Utusan Malaysia berjaya menyedarkan guru dan pengurus sekolah perihal kepentingan ICT dalam P&P.

Namun, virus itu perlu dimusnahkan terlebih dahulu.

"Komputer dihantar sebanyak dua kontena, tetapi jadi perhiasan sahaja di rumah," kata seorang bapa dalam dialog sempena program Jerayawara Pembestarian Sekolah Di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lalu sempena pelancaran Cybersafe in School.

Malah tidak keterlaluan kalau penulis mengesyaki - atas kesedaran yang ikhlas itu - mungkin ada yang menjual komputer riba daripada program komputer rakyat ini, seperti mana ada yang menjual subsidi minyak diesel.

Kenapa program ICT di sekolah gagal? Kerana kebanyakan kita tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan komputer.

Komputer dilihat sebagai alat. Latihan komputer kepada pentadbir dan pengurus di sekolah berkisar kepada melerai dan memasang semula komputer. Mereka tidak melihat potensi alat pengupaya itu dari luar kotak pemikiran bahawa komputer ialah ciptaan paling agung pada abad silam untuk membantu manusia pada zaman akan datang.

Perisian kursus yang diharap untuk membantu guru - yang dibangunkan kononnya untuk menjadi alat bantu mengajar - telah membunuh potensi sebenar komputer di sekolah.

Oleh itu, proses melihat semula keberkesanan semula program latihan komputer di sekolah sangat penting kerana dikatakan komputer di sekolah gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Integrasi

Penulis mendapati, sikap yang keterlaluan dalam mengikuti perkembangan teknologi terkini oleh 'jurujual', terlalu terikut-ikut negara seperti Korea Selatan, gagal untuk berubah, pengurusan ICT sekolah yang tidak cekap serta kelemahan dalam aspek integrasi dan interaksi P&P menjadikan program komputer di sekolah tidak mencapai maksudnya.

Keadaan semakin kusut apabila beberapa pihak di dalam KPM masih melihat ICT perlu diikat dengan perisian tertentu yang mereka sediakan, tanpa berpegang bahawa guru ialah kerjaya jiwa raga, dan ilmu diperoleh tanpa batasan.

Tanyalah. Adakah guru telah berjaya mengupayakan P&P mereka? Adakah murid semakin minat datang ke kelas? Adakah guru sudah menjadikan budaya mengakses maklumat dari Internet sebagai bahan tambahan mereka?

Kita jangan mendengar cerita manis sebagai halwa telinga daripada pihak yang kita tidak dapat mengesahkan kesahihannya.

Turunlah ke akar umbi. Penulis yang terlibat dengan program Jerayawara Pembestarian Sekolah sempena pelancaran Cybersafe in School di Kota Marudu, Sabah amat tertarik dengan komen peserta - terdiri daripada pentadbir, pengurus, guru dan ibu bapa - kerana rupa-rupanya ibu bapa di situ akhirnya setuju ICT sangat penting, tetapi mereka masih kabur dengan kegunaannya.

Setelah mengikuti program pengurusan perubahan oleh penasihat Portal Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, ibu bapa mahu membantu sekolah, dan guru menyedari pengintegrasian adalah sesuatu yang sangat penting dalam kerjaya mereka.

Malangnya mereka kurang mendapat pendedahan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri.

"Selama ini kami hanya mendapat komputer, mendapat latihan celik komputer dan program memasang dan melerai komputer sahaja," katanya.

Dalam satu polar sosial yang kurang diberikan perhatian - iaitu masyarakat setempat di Marudu - mereka bertanya kepada penulis tentang masa depan program komputer rakyat, pembudayaan ICT dan kesan politiknya.

Seorang ibu, menghampiri penulis dan bertanya, bagaimanakah untuk berminat dengan ICT kerana dia mempunyai perniagaan, mahu mengembangkannya tetapi tidak tahu potensi komputer - sedangkan kelima-lima anaknya mahir dalam komputer tetapi kurang membantu.

"Saya sangat tertarik dengan program pengurusan perubahan oleh MDeC ini kerana saya melihat ada kaum Orang Asli Mah Meri di Selangor menjual produk kraf tangan mereka sehingga ke Amerika Syarikat," kata ibu tersebut.

Hal ini menunjukkan pelaburan berbilion ringgit kerajaan dalam usaha menerapkan budaya ICT di sekolah sejak 20 tahun lalu memutikkan bunga kerana ia telah menyusup, membudaya dan kini mengakar umbi di segenap lapisan guru - termasuk sekolah di Sabah dan Sarawak.

Hal ini terbukti melalui reaksi peserta daripada program Jerayawara MDeC, yang menunjukkan usaha itu bukan sahaja telah berjaya memangkinkan penggunaan ICT di sekolah, malah tempiasnya telah dirasai oleh masyarakat sekitar.

Hal ini sekali gus membuktikan bahawa isu jurang digital telah berjaya ditangani, dan usaha susulan oleh kerajaan seperti memperkenalkan jalur lebar dan pemberian komputer riba dalam inisiatif satu komputer satu rakyat bolehlah diteruskan dan dapat di terima.

Buku teks

Di Kota Marudu atau Nabawan di Sabah, penerimaan terhadap teknologi yang pernah dianggap 'menyukarkan urusan' itu ternyata telah bertukar sifatnya sehingga 360 darjah.

Hal ini memungkinkan buku teks tidak lagi relevan pada satu hari kelak apabila kekangan sikap guru dan masyarakat dapat ditangani sepenuhnya.

Semasa program di SMK Tandek itu, pentadbir dan pengetua, tidak lagi menunjukkan reaksi penolakan atau teragak-agak dalam komitmen mereka untuk menjadikan sekolah masing- masing sebagai agen perubahan.

Program dikendalikan oleh Dr. Ismail Zain dan pegawai Unit Perkhidmatan ICT, BTPN, Sabah, Rodymond G. Omar.

Penolong Kanan SMK Tandek, Bonar Mayanglan berkata, asalkan guru berminat, usia bukan jadi penghalang.

"Lagipun, sebagai tenaga pengajar mereka perlu ada kreativiti, inovatif dan pengetahuan - rumus penting dalam pengintegrasian ICT dalam P&P."

Shaiffuddin Shaiddin dari Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara di Kota Belud sering mencabar guru muda menggunakan ICT ketika mengajar.

"Otak kita sama sahaja… Cuma sama ada kita mahu belajar atau tidak."

Satu tinjauan rambang dalam kalangan peserta mendapati rata-rata mempunyai akaun Facebook.

"Saya sudah berusia, tapi saya sedar bahawa saya tidak boleh bekerja tanpa bantuan ICT," kata Guru SK Ranau, Kota Marudu, Abd Aziz Dumang yang turut mencadangkan setiap guru melalui program perubahan sikap.

Pendidik mesti sedia terima perubahan. Kita perlu perubahan.

Katanya, banyak lagi cabaran di hadapan, teknologi begitu pantas.

Pendedahan Jerayawara ini sesuai untuk seorang guru. Ia dapat membuka mata semua golongan kalau dapat ubah sikap, ujar guru yang sudah 38 tahun mengajar itu.

"Bukan mudah untuk berubah. Diri kita sendiri perlu berubah," tambah Aziz.

Penolong Kanan 1, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Khoi Ming, Kota Marudu, Sooi Hai Soon berkata, pihak sekolah perlu membuka pintu kepada agensi luar untuk membantu pihak sekolah membangunkan program ICT.

Guru SMK Tandek, Kota Marudu, Joanes Miro berkata, semua guru sebenarnya sudah bersedia, tapi belum cukup latihan.

Dalam hal ini, Rodymond G. Omar berkata, latihan sudah diberi dan tindakan susulan akan dibuat.

Penolong Kanan (PK) 1, SMK Bengkongan, Kota Marudu, Miasin Gani juga mengakui program pengurusan perubahan MDeC berjaya mencapai matlamatnya.

Seorang lagi guru SK Tandek, Mastijah Madina berkata: "Namun begitu, dalam kalangan ibu bapa masih terdapat sedikit kegusaran tentang pelaksanaan berdasarkan pemerhatian terhadap anak-anak sendiri."

Pada sesi sebelah petang bersama ibu bapa, isu-isu seperti komputer yang tidak dapat digunakan kerana kurang kepakaran dan juruteknik yang mencukupi menjadi isu yang masih menghantui mereka.

Namun isu itu dilihat secara positif oleh ibu bapa yang memohon kerajaan bertindak lebih cepat menangani isu berkenan.

"Sayang sahaja duit kerajaan . . . akhirnya simpan sebagai komputer," kata seorang bapa.

Nanoteknologi sains masa depan

Utusan Online
Oleh DR. HALIMATON HAMDAN

Bidang nanoteknologi yang dibangunkan IMEN menjurus kepada aplikasi bahan terkini.

CUBA bayangkan satu hari nanti semua maklumat yang terdapat dalam ensiklopedia mampu disimpan dalam komputer sebesar jam tangan, baju yang terkoyak bercantum sendiri dan cat rumah yang berubah warna pada masa tertentu.

Begitu juga alat mikroskop yang sangat kecil boleh melalui sistem darah manusia bagi mengesan punca penyakit dan melaksanakan pemulihan awal dan mampu mengesan pencemaran persekitaran dan makanan pada tahap yang lebih baik.

Manakala, bahan dengan sifat luar biasa yang sangat ringan dan lebih kuat daripada keluli pula boleh digunakan untuk membuat kereta, kapal angkasa, bangunan dan ciptaan lain yang lebih baik.

Sama ada sedar atau tidak, semua benda yang wujud di keliling kita semakin hari menjadi semakin kecil, ringan dan sukar dilihat.

Inilah bukti awal kewujudan nanoteknologi.

Jika lima puluh tahun lalu, ini merupakan angan-angan seorang ahli sains terkemuka, Prof. Richard Feynman, hari ini sebahagiannya telah mula menjadi kenyataan.

Kertas kerja Richard Feynman yang dibentangkannya pada tahun 1959 bertajuk Plenty of Room at the Bottom adalah wawasan permulaan bagi nanoteknologi, yang kemudiannya idea ini telah menjana konsep yang digambarkan oleh Drexler dalam tahun 1986 yang ditulis dalam buku bertajuk, Engines of Creation.

Malah, saintis Jepun, Norio Taniguchi, yang telah mencipta (1974) perkataan 'nanotechnology' bagi proses menggunakan alat dengan had kurang daripada mikrometer (satu per juta meter).

Pada 1981 Gerd Binnig and Heinruch Rohrer dari IBM (Zurich) mencipta mikroskop terowong imbasan, yang mampu merealisasikan nanoteknologi.

Mikroskop ini berkuasa melihat atom tunggal atau menggerakkan atom dan mengikis permukaan.

Sepuluh tahun selepas itu, dalam tahun 1991, pergerakan atom di permukaan telah dapat dikawal.

Kemuncaknya ialah sedekad kemudian, dalam tahun 2002, manusia berupaya membina molekul dengan menyusun beberapa atom sehingga terbentuk sistem baru dengan fungsinya yang unik.

Hari ini, cabaran dan peluang untuk menerokai ilmu baru terbuka luas. Bagi bahan nanoteknologi, penemuan tiub nanokarbon dalam 1991 oleh Sumio Iijima of NEC, Tsukuba, Japan merupakan yang sangat penting. Pada tahun 2000 Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, mengumumkan the National Nanotechnology Initiative yang kemudiannya disaingi oleh Jepun dan Eropah.

Nanoteknologi ialah teknologi abad ke-21 yang dijangka memberi impak yang ketara kepada kehidupan manusia.

Selepas kejuruteraan genetik, jelas nanoteknologi merupakan satu lagi bidang yang akan berkembang dengan pesat dalam abad ini.

Nanoteknologi sememangnya telah lama wujud, hanya manusia tidak mampu mengkajinya dalam skala yang terlalu kecil untuk diolah dengan deria yang ada pada manusia.

Walaupun nanoteknologi masih belum difahami oleh orang awam dan masih belum meluas penggunaannya, ilmu nano atau nanosains telah wujud beberapa tahun di kalangan akademia dan saintis.

Dengan berasaskan ilmu sains fundamental; fizik, kimia, biologi dan matematik dan bantuan kemajuan peralatan seperti mikroskop yang sensitif, manusia kini mampu menyusun, mengubah suai atom dan molekul dan membina sistem, bahan dan fenomena baru dengan sifat yang menakjubkan yang tidak pernah dipamerkan sebelumnya.

Pembelajaran Berbentuk Multimedia

Teknologi multimedia mempunyai potensi untuk meningkatkan mutu proses pengajaran dan pembelajaran sains. Melalui pengintegerasian perkakasan computer dan perisian pembelajaran, elemen multimedia digunakan untuk mempersembahkan video bergerak, animasi yang canggih dan grafik berwarna yang beresolusi tinggi mengenai sesuatu topik sains yang sebelum ini pelajar hanya mungkin belajar dengan menggunakan buku teks sahaja. Dengan itu, Halimah dalam Rosni (2000) menyatakan bahawa teknologi multimedia mampu melibatkan sebanyak mungkin pancaindera seperti deria penglihatan, pendengaran dan deria sentuhan lalu menghasilkan pembelajaran yang lebih menyeluruh.

Robyler (1988) dalam penelitiannya ke atas literatur berkenaan keberkesanan mikrokomputer dalam pendidikan mendapati Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) dapat memberi kesan yang signifikan dan positif terhadap pembelajaran pelajar. Unsur multimedia di dalam pakej perisian PBK pula membolehkan pencapaian maklumat baru dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan (Hofstetter 1995).

Oleh itu pembelajaran berbantukan multimedia (PBM) dalam konteks pembelajaran kendiri dapat menarik minat pelajar dalam proses pembelajaran dan proses pembelajaran adalah berpusatkan pelajar. Dalam konteks pendidikan sains, PBM mungkin dapat membantu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sains agar subjek sains diminati pelajar dan seterusnya dapat mempertingkatkan penglibatan pelajar dalam jurusan sains yang mana usaha mempertingkatkan bilangan pelajar dalam jurusan sains merupakan salah satu agenda utama pendidikan sains di Malaysia.

Namun begitu, perlu diingatkan bahawa PBM tidak menggantikan guru tetapi membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya menjadi lebih tersusun dan efektif. Pada masa yang sama, pembangunan sesuatu perisian multimedia juga perlu berlandaskan dan menepati sukatan pelajaran agar ia berupaya menghasilkan pembelajaran yang lebih tersusun.

Sumber: http://www.penerbit.utm.my/onlinejournal/36/E/JT36E2.pdf

Kerjaya Dalam Bidang Sains Komputer

Assalamualaikum dan salam sejahtera :)

Bidang sains komputer atau teknologi maklumat adalah satu bidang yang semakin berkembang pesat di negara kita. Negara kita Malaysia sedang menuju ke era teknologi maklumat. Koridor Raya Multimedia (MSC) merupakan usaha kerajaan yang menjadi pemangkin kepada perkembangan Teknologi Maklumat ini.

Bidang ini pada asasnya bertujuan untuk memanipulasi data, merekabentuk, memproses semua maklumat dan seterusnya menghasilkan satu bentuk keputusan yang dikehendaki dengan cepat, cekap dan tepat serta sistematik. Justeru itu, ianya boleh dikatakan satu bidang yang amat perlu dan penting di era ini.

Program Sarjana Muda Teknologi Maklumat(Kejuruteraan Perisian) merupakan salah satu program yang ditawar dalam bidang sains komputer ini. Program yang ditawarkan ini terbuka kepada semua pelajar terutamanya lepasan STPM, Diploma, Matrikulasi atau yang setaraf dengannya. Dan saya adalah salah seorang yang sedang menuntut dalam bidang ini di salah sebuah IPTA tempatan.

Bidang ini sangat mencabar dalam pemikiran saya yang masih lagi banyak yang perlu dipelajari dalam bidang sains komputer ini. Ramai juga bertanya kepada saya mengenai peluang kerjaya dalam bidang sains komputer ini berdasarkan artikel lepas yang saya tulis mengenai bidang sains komputer menarik dan mencabar.

Seiring dengan hasrat kerajaan untuk membawa Malaysia ke era industri teknologi, permintaan terhadap saintis komputer di dalam sektor awam dan swasta semakin meningkat. Antara kerjaya yang boleh diceburi adalah seperti berikut:

1. Jurutera Perisian

2. Pembangunan Sistem Perisian

3. Juru Perunding IT

4. Penguji Perisian

5. Jurureka Web

6. Pelatih IT

7. Pengaturcara

8. Pegawai Teknologi Maklumat

9. Pensyarah IT

10. Cikgu IT

11. Web Master

12. Pentadbir Rangkaian

13. Jurutera Rangkaian

14. Juruteknik Sokongan

15. Usahawan Internet

Inilah sebahagian peluang kerjaya yang anda boleh diceburi dalam bidang sains komputer ini. Ada banyak lagi peluang kerjaya yang dapat diceburi dalam bidang ini sebenarnya. Ianya bergantung kepada peluang kerjaya yang masih terbuka kepada anda yang berminat dalam bidang sains komputer ini.

sumber:http://www.layarsukses.com/umum/kerjaya-dalam-bidang-sains-komputer/