Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Pertandingan Blog Cuti Sekolah


Semua pelajar SMKSB yang telah mendaftar untuk menyertai pertandingan ini, jangan lupa tarikh akhir untuk blog siap sepenuhnya pada 26 Disember 2010 ini.

Selamat berblog dengan selamat dan menghabiskan cuti sekolah kali ini dengan penuh manfaat.

PERMOHONAN KEMASUKAN KE SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL DAN SEKOLAH MENENGAH TEKNIK TAHUN 2011

Pelajar-pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 adalah dipelawa untuk memohon ke Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) bagi sesi pengambilan tahun 2011.

Syarat-syarat Umum:

  • Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  • Pemohon hendaklah berada di Tingkatan 3 dan telah menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2010.
  • Dilahirkan dalam tahun 1995 atau selepasnya.
  • Sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal. Bebas dari penyakit lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy) yang serius dan sebagainya. (Penyakit-penyakit ini akan membahayakan terutama semasa menjalankan kerja amali).
  • Tidak rabun warna bagi semua program Teknikal, Vokasional dan Kemahiran yang berkaitan Elektrik dan Elektronik. 

Cara Memohon:

Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web: http://esptv.moe.gov.my/2010/ atau datang sendiri (walk-in) ke SMV/SMT berhampiran. Tarikh bermula permohonan pada 4 Oktober 2010.

Mengubahsuai Pilihan Permohonan: Setiap permohonan boleh diubahsuai sehingga 26 November 2010.

Rayuan Kemasukan: Sekiranya permohonan tidak berjaya, pemohon boleh membuat rayuan terus melalui online atau terus ke SMV/SMT yang berkenaan mulai 1 Disember 2010.
Kemudahan Asrama:

Kemudahan asrama disediakan di semua SMV/SMT kecuali SMV Kuching, Sarawak, tertakluk kepada had yang ditetapkan.

Muat Turun Borang
Bagi pemohon yang tidak dapat membuat permohonan secara online, sila muat turun Borang berkaitan Kemasukan ke SMV/SMT 2011 di bawah:
Borang Kemasukan - KLIK
Borang Rayuan Kemasukan ke SMV/SMT 2011 - KLIK

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke SMV/SMT berkenaan.
Tarikh akhir penghantaran Borang Kemasukan ialah 26 November 2010.

Muat Turun Dokumen Panduan
Panduan Kemasukan - KLIK
Kursus-kursus yang ditawarkan di SMV/SMT 2011 - KLIK
Senarai Sekolah - KLIK

Lanjutan Tempoh Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat

Dimaklumkan bahawa Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh ke Tingkatan Satu(1) dan Tingkatan Empat (4) Tahun 2011 dilanjutkan sehingga 22 Oktober 2010 (Jumaat) melalui Portal Kementerian Pelajaran Malaysia di http://www.moe.gov.my


Sekian, terima kasih.

38 peratus kawasan sudah ada WiFi

MELAKA 9 Nov. - Lebih 38 peratus kawasan di negeri ini sudah dilengkapi kemudahan jalur lebar tanpa wayar bertujuan memberi liputan lebih komprehensif dan seterusnya membangunkan perkhidmatan WiFi kepada masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kemudahan tersebut dibangunkan oleh kerajaan negeri sendiri dan jalur lebar tanpa wayar oleh syarikat telekomunikasi swasta.

Menurutnya, lebih banyak kawasan akan dibangunkan dengan kemudahan WiFi melalui kerjasama agensi kerajaan negeri yang berkaitan dengan Mimos Bhd.

''Syarikat telekomunikasi negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) telah membina 800 tapak di Melaka untuk kemudahan ini tetapi itu masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat Melaka," katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika ini kerjasama diadakan antara Jabatan K-Ekonomi, Mimos dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka bagi membangunkan WiFi generasi baru dikenali WiWi.

Melalui program itu kata beliau, ia menyasarkan pembangunan 40 tapak WiWi di sekitar pusat bandar.

''Pembangunan teknologi ini akan digerakkan secara agresif di seluruh negeri bagi menyediakan manfaat penggunaan Internet kepada masyarakat apabila ia diperluaskan di semua tempat berbanding hanya 38 peratus lokasi ketika ini," kata beliau.

Katanya, perkhidmatan itu juga adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk memperluaskan sistem berkenaan ke seluruh negeri pada masa depan.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut juga membolehkan penduduk yang tinggal di luar bandar turut dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1110&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm&arc=hive

Pelajar kita kurang akses sumber rujukan

JIKA kita bandingkan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) antara pelajar di Malaysia dan negara maju lain memang banyak bezanya. Sistem yang kita bina kini berasaskan acuan dan keadaan semasa di negara kita yang mempunyai banyak keunikan.

Namun, perbezaan yang ketara adalah dari segi akses kepada sumber rujukan yang menjadi antara elemen penting bagi membentuk pelajar bestari.

Pada peringkat universiti umpamanya, yuran perpustakaan yang naik mendadak sehingga RM100 satu semester kepada seorang pelajar bertujuan melanggan pangkalan data yang menempatkan jurnal antarabangsa dan maklumat pendidikan berkualiti.
Lebih daripada itu, pelbagai buku rujukan juga memudahkan mahasiswa menambah ilmu. Kemahiran Maklumat menjadi subjek wajib universiti bagi mendidik mahasiswa cara penggunaan dan akses kepada perpustakaan.

Dalam keadaan ini, mahasiswa mula terkapai-kapai kerana tidak tahu kemudahan disediakan dan baru hendak merangkak mencari bagaimanakah perpustakaan boleh digunakan secara maksimum.

Pada peringkat sekolah rendah dan menengah, kemudahan rujukan sangat terhad kerana kemudahan disediakan tertumpu kepada sistem pinjaman buku rujukan semata-mata. Di kebanyakan sekolah, sistem ini tidak berjalan lancar walaupun dengan pengawasan guru dilantik dan pustakawan.

Sumber rujukan terhad, capaian dan aspek pengurusan unit ini yang lemah antara masalah besar yang harus mendapat perhatian pihak berkaitan.

Bayangkan, sebuah sekolah yang mempunyai 800 pelajar tetapi hanya mempunyai sebilangan rak buku dan meja di pusat sumber. Selain itu, akses kepada akhbar dan majalah ilmiah amat kurang.
http://puassmksb.blogspot.com/
Bahan seperti ini hanya diletakkan di bilik guru dengan anggapan hanya guru layak untuk mengakses bahan bacaan berkenaan.

Kemudahan jalur lebar yang disediakan kerajaan amat dihargai. Penyediaan makmal komputer di setiap sekolah juga mampu membantu pelajar daripada bergantung sepenuhnya kepada bahan disediakan guru. 


Kedua-dua sistem ini, yakni pusat sumber dan makmal komputer harus digerakkan secara bersepadu dengan merangka kaedah pelaksanaan baru agar kemudahan yang disediakan tidak sia-sia dan boleh digunakan secara maksimum. 

Langkah ini mampu mengurangkan kebergantungan pelajar kepada bahan ilmiah daripada guru, sekali gus membendung masalah belajar untuk lulus periksa.

JEFFRY MEYER,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelajarkitakurangaksessumberrujukan/Article/

Mendekatkan jurang digital

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

BAGI masyarakat bandar, capaian kepada perkhidmatan jalur lebar mungkin bukan satu masalah. Selain mempunyai banyak pilihan langganan di kalangan penyedia jalur lebar swasta dengan tawaran harga yang sangat berpatutan, masyarakat bandar juga mampu mengakses Internet dengan percuma di kebanyakan pusat-pusat hot spot.

Kerana kemudahan itu juga, negara sehingga Oktober lalu berjaya mengatasi kadar penembusan jalur lebar sebanyak 50 peratus seperti yang disasarkan oleh kerajaan menjelang hujung tahun ini.

Begitu pun bagi masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman, capaian jalur lebar masih menjadi masalah kerana tiadanya liputan dan infrastruktur yang bersesuaian. Ini boleh menjadi halangan kepada usaha negara menjadi negara maju yang salah satu kriterianya ialah akses kepada jalur lebar yang meluas di kalangan rakyat.

Di sinilah sebenarnya peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) iaitu sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memastikan negara mendapat kemudahan perhubungan melalui perkhidmatan komunikasi.

Peranan SKMM ini adalah sesuatu yang jarang diketahui umum. Ini memandangkan ramai yang beranggapan agensi itu lebih bertindak sebagai pengawal selia dalam menangani isu-isu atau aduan berkenaan penyalahgunaan atau kesalahan dalam talian.

Hakikatnya, SKMM memainkan peranan yang besar dalam mendekatkan jurang digital di kalangan masyarakat luar bandar menerusi program khusus mereka yang dikenali sebagai program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Dilaksanakan secara rasmi pada 2002, PPS bermula dengan projek rintis menyediakan infrastruktur telefoni asas dan perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar. Projek itu sehingga kini telah memberi manfaat kepada kira-kira 57,500 buah isi rumah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sejak itu, peranan PPS semakin diperluas dan sehingga kini, SKMM telah mengenal pasti 462 kawasan kurang liputan di seluruh negara untuk perlaksanaan projek-projek telefoni asas, selular dan jalur lebar. Begitu pun sejak 2008, fokus PPS mula berubah seiring dengan kemajuan teknologi dan permintaan para pengguna.

PPS kini mula beralih kepada peranan menangani isu-isu kandungan, capaian dan aplikasi serta kemampuan terhadap perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

Antara program di bawah PPS yang mendapat sambutan menggalakkan ialah projek Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan Perpustakaan Jalur Lebar (PJL). Dijalankan dengan kerjasama syarikat penyedia rangkaian terkemuka negara, PJK dan PJL memberi peluang kepada masyarakat pedalaman untuk mendekati teknologi maklumat (ICT).

Latihan kemahiran ICT asas dan pembangunan kandungan itu disediakan secara percuma oleh pengendali yang dilantik di kalangan masyarakat setempat.

Menurut Pemangku Pengarah Kanan Jabatan PPS, Zulkarnain Mohd. Yassin, sehingga kini, terdapat kira-kira 246 buah PJK dan 100 buah PJL yang dibuka di seluruh negara sejak 2007 dengan keahlian seramai 80,799 orang. Kebanyakan ahli PJK dan PJL itu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki komputer atau capaian Internet sendiri.

Keahlian PJK dan PJL dijangka akan meningkat sehingga 100,000 orang apabila satu lagi projek PPS iaitu Komputer Riba 1Malaysia diperluaskan. Projek pengagihan komputer riba berserta talian Internet itu menyaksikan sebanyak 123,000 unit komputer yang berharga kira-kira RM850 telah diagihkan kepada mereka yang berkelayakan.

''Untuk edaran fasa pertama itu, para penerima terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah daripada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

"Penerima juga terdiri daripada mereka yang tinggal berhampiran dengan PJK bagi memudahkan urusan pemantauan dan pengajaran daripada pelatih di pusat tersebut," ujar Zulkarnain.
http://puassmksb.blogspot.com/
Sepanjang fasa kedua pula, sebanyak 300,000 unit komputer riba lagi akan diagihkan bermula Disember ini. Kumpulan sasar bagi fasa kedua ini membabitkan 65 peratus pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT), manakala selebihnya kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Projek itu dijangka menyumbang sebanyak sembilan peratus kepada sasaran 50 peratusan penembusan jalur lebar negara menjelang 2010. Dalam memperkukuhkan peranan PJK dan PJL tambah Zulkarnain, PPS turut membuka pusat yang dikenali sebagai Mini PJK atau Pusat Internet Rakyat (PIR).

Projek yang digerakkan dalam tiga fasa itu merupakan transformasi jabatan-jabatan Penerangan di seluruh negara kepada pusat jalur lebar kecil. Ketika ini, sebanyak 121 buah tapak sudah dikenalpasti bagi projek tersebut.

''Setiap pusat penerangan itu pula akan menempatkan sebanyak lima buah komputer dan dijangka akan memanfaatkan seramai kira-kira 400,000 orang terdiri daripada masyarakat setempat," kata beliau.

Pada Julai lalu pula, PPS melangkah setapak lagi menerusi perlaksanaan projek rangkaian jalur lebar berkumpulan atau juga disebut sebagai Kg. Wifi. Menerusi projek itu, sebanyak 400 buah kampung atau komuniti di seluruh negara telah dikenalpasti untuk disediakan dengan rangkaian jalur lebar.

Sebahagian daripada projek-projek di bawah PPS ini masih berada pada fasa dua dan dijangka sempurna sepenuhnya menjelang tahun depan. Begitu pun projek ini menunjukkan lonjakan kadar penembusan jalur lebar terutama di kalangan masyarakat luar bandar yang begitu ketara.

Dengan beberapa projek lain bakal digerakkan sehingga fasa ketiga, tidak mustahil PPS dapat membantu negara merealisasikan salah satu kriteria negara maju iaitu kadar penembusan yang tinggi di kalangan rakyat.

Setidak-tidaknya, PPS boleh memastikan kadar penembusan jalur lebar negara mencapai 75 peratus seperti yang disasarkan pada 2015.

Inovasi web bantu OKU

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

MudaH...SUn Wan Ting (duduk tengah) merupakan pengguna pertama program Friendly Web Project dan mampu menguasainya dalam masa yang singkat.

Kekurangan yang dimiliki oleh golongan orang kurang upaya (OKU) tidak pernah menjadi halangan kepada mereka untuk terus menimba ilmu. Malah, jika diberikan peluang tidak mustahil mereka (golongan OKU) mampu berjaya serta menandingi golongan yang sempurna.

Namun, keterbatasan mereka untuk menjalani kehidupan seharian memerlukan golongan tersebut terpaksa berusaha sebanyak dua kali ganda berbanding insan biasa.

Menyedari kesusahan yang dihadapi oleh golongan OKU, pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Batu Lintang, Kuching, Sarawak, Azwanina Shahizan Azham Shah dan Sun Wan Ting cuba membantu mereka dengan memperkenalkan program Friendly Web Project.

Program tersebut tertumpu kepada golongan cacat penglihatan untuk mempermudahkan pembelajaran tanpa perlu bergantung kepada bahan braille yang mahal, besar, berat dan sukar diperoleh.

Menurut guru pembimbing pelajar tersebut, Haryati Mohd. Sarkawi, program tersebut mampu menyediakan kemudahan kepada warga OKU untuk melayari Internet.

"Ia memberi peluang kepada golongan OKU untuk melayari internet dalam usaha untuk menimba ilmu pengetahuan.

"Selain itu, produk tersebut juga mampu memberi kesedaran kepada agensi kerajaan dalam memastikan setiap laman web mereka dapat diakses dengan mudah oleh orang ramai," ujar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertandingan Inovasi sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010), Zon Sarawak bertempat di Tebingan Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Program dengan usaha sama Universiti Teknologi Swinburne, Sarawak tersebut merupakan sebuah laman web khas sebagai perantara untuk golongan OKU mengakses laman web yang lain.

Dioperasikan sendiri oleh golongan OKU sepenuhnya, mereka akan mendengar arahan melalui suara kemudian akan mengakses mana-mana laman web yang berkaitan mengunakan kod serta singkatan pada kekunci komputer.

"Mereka akan diberi latihan untuk membiasakan diri bersama kod serta singkatan ketika menggunakan papan kekunci.

"Singkatan tersebut membolehkan golongan OKU untuk mengakses laman web yang mereka kehendaki," ujar Haryati.
http://puassmksb.blogspot.com/
Namun, tidak semua laman web yang menyediakan kemudahan kod singkatan atau kemudahan untuk golongan tersebut.

Program Friendly Web Project tersebut juga telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Inovasi bagi kategori OKU.

Bagi yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www. Friendly Web Project.com.

Kita paling popular

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Rakyat Malaysia merupakan orang yang paling popular dalam carian di Internet, sementara rakyat Jepun berada di tempat tercorot, berdasarkan kaji selidik global yang menunjukkan bagaimana budaya nasional mencerminkan kelakuan secara dalam talian.

Kajian Digital Life oleh firma penyelidikan global, TNS merumuskan rakyat Malaysia memenangi pertandingan populariti Internet dengan purata 233 rakan-rakan di rangkaian sosial mereka, berbanding 68 di China dan hanya 29 di Jepun.

Penemuan itu bukan merupakan satu kejutan bagi sebuah negara terdiri daripada pelbagai budaya yang suka berkawan dan mempunyai tradisi majlis 'rumah terbuka' di mana ia terbuka untuk semua serta membawa kepada pertemuan kenalan baru.

"Cara rakyat Malaysia ialah menjemput semua orang yang anda kenali.

"Dan orang-orang yang anda akan kenali dan mempertimbangkannya sebagai rakan merupakan satu konsep yang jauh lebih luas berbanding komuniti lain," kata pelakon dan penulis Malaysia, Chacko Vadaketh yang mempunyai 1,010 rakan-rakan yang mengagumkan dalam akaun facebooknya.

Malaysia juga mempunyai satu diaspora (kumpulan perantau) profesional besar yang cuba mencari peluang-peluang di luar negara, dalam satu 'penghijrahan cendiakawan' yang menjadikan laman rangkaian sosial sangat tinggi nilainya bagi mengekalkan hubungan dengan rakan-rakan jauh.

Vadaketh, yang berketurunan India dan Syria, menuntut di Britain, mempunyai keluarga dan rakan-rakan di beberapa benua serta kini menetap di Amerika Syarikat, bukan generasi Malaysia yang biasa.

"Saya menentang facebook untuk seketika tetapi saya tidak mempunyai pilihan kerana ia mendahului emel dalam beberapa cara.

''Saya tidak mahu ketinggalan dalam beberapa acara atau dijemput ke parti dan banyak perkara hanya diketahui menerusi facebook," katanya.

Pengarah wawasan digital dengan Nielsen's Online Division berkata, setiap negara yang diliputi dengan media sosial ditentukan oleh ciri-ciri kebangsaannya tersendiri.
http://puassmksb.blogspot.com/
''Jadi negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia memberikan reaksi berbeza dengan budaya-budaya Asia Timur yang lebih konservatif seperti China, Jepun dan Korea Selatan,'' ujarnya.

Di Malaysia, di mana sebahagian besar media arus perdana dikawal oleh kerajaan telah menunjukkan perkembangan kewujudan portal berita bebas, blog-blog politik dan maklum balas prolifik Twitter berkenaan hal ehwal semasa.

Rakyat Malaysia juga tidak malu menggunakan laman-laman sosial seperti itu sebagai alat pemasaran dan rangkaian perhubungan untuk perniagaan kecil. - AFP

Sumber: Utusan Online