Paparan terbaik menggunakan firefox, google chrome atau IE v7.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Permohonan Atas Talian - Kemasukan Murid Ke Tingkatan Satu Dan Tingkatan Empat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Bagi Tahun 2011


Permohonan Atas Talian - Kemasukan Murid Ke Tingkatan Satu Dan Tingkatan Empat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Bagi Tahun 2011 telah dibuka. 

Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Oktober 2010. 

Permohonan serta panduan dan maklumat berkaitan boleh dicapai dengan melayari e-perkhidmatan KPM di laman web www.moe.gov.my


Manfaatkan Facebook

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 29 Sept. – Ketua Polis negeri, Datuk Zulkifli Abdullah hari ini mahu masyarakat memanfaatkan saluran medium baru, laman sosial, Facebook sebagai media interaktif yang boleh membantu polis mengurangkan aktiviti serta kadar jenayah.

Beliau berkata, ini kerana penggunaan Facebook kini dianggap saluran penting untuk masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah melalui Internet.

“Penggunaan Facebook, inisiatif baru polis untuk mendekati masyarakat di samping memantapkan lagi keselamatan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini malam tadi.

Wakil Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abd. Rahman Hashim antara lebih 5,000 tetamu hadir pada majlis yang diadakan untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan mengekalkan perpaduan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kata Zulkifli, telah melancarkan penggunaan Facebook pada 1 September lalu yang bertujuan menggalakkan pegawai termasuk ketua polis negeri memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

“Facebook ini menjadi saluran penting untuk polis menyampaikan perkhidmatan di samping menjadi platform mendekati masyarakat.

“Ia juga memberi maklumat mengenai pencegahan dan aktiviti pencegahan jenayah untuk hebahan umum,” katanya.

Mengenai Rakan Cop, katanya, Perak merupakan negeri teramai menjadi ahli di negara ini iaitu melebihi 95,000 orang.

Katanya, banyak kejayaan membanteras jenayah dan gejala sosial dicapai menerusi kerjasama Rakan Cop, kebelakang ini.

Justeru Zulkifli berharap, kerjasama tersebut akan berterusan dalam usaha membantu matlamat pihak polis memastikan persekitaran tempat tinggal dan suasana yang lebih selamat.

“Sokongan padu masyarakat perlu dalam membanteras jenayah di negeri ini terutama di kawasan-kawasan ‘panas’,” katanya.

Penggunaan Internet oleh Guru

i.) meluaskan pengetahuan guru
Kemudahan Internet juga memberi peluang kepada guru mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan mereka melalui pelbagai maklumat yang berkaitan. Sebagai contoh para guru boleh mengakses bahan-bahan akedemik dan mencari maklumat pendidikan melalui perpustakaan siber universiti-universiti tempatan dan luar negara atau kemudahan USENET yang disediakan oleh Internet.

Di samping itu, para guru dapat membincangkan isu semasa pengajaran dengan guru-guru lain di seluruh negara mengenai program pendidikan yang telah berjaya.

ii.) sebagai Bahan Bantu Mengajar
Pendidikan berasaskan Internet juga boleh dikategorikan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran. Ini memandangkan kemudahan Internet bukan sahaja menawarkan komponen-komponen lain seperti laman-laman Web, malah menyediakan sumber pendidikan berbentuk teks yang diperkayakan dengan unsur-unsur lain seperti grafik, animasi atau audio visual.

Kaedah pendidikan melalui Internet ini memerlukan penglibatan aktif para penggunanya di samping mengetengahkan konsep interaktif. Konsep tersebut bukan sahaja sesuai menyampaikan sumber-sumber maklumat berbentuk pendidikan, malah sesuai digunakan untuk  menyampaikan program latihan dan perkhidmatan pendidikan dalam talian.

Program-program pendidikan dan latihan secara interaktif menerusi Internet sama ada yang dikendalikan oleh pihak sekolah atau institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa pendidikan memerlukan penglibatan secara langsung di antara pihak penerima dan penyampainya. Sebagai contoh mengakseskan nota-nota kuliah, menghantar dan menyemak tugasan boleh dilakukan menerusi talian. Pembelajaran ini dikatakan lebih memanfaatkan pelajar kerana walau apapun kaedah pengajaran yang dipilih, penglibatan pelajar secara aktif perlulah diberi keutamaan. Penglibatan secara aktif oleh pelajar dalam mengakseskan bahan-bahan yang diperlu dalam Internet berupaya memupuk dan memperkembangkan kemahiran berfikir dan kreativiti di kalangan pelajar (Rashidi dan Abdul Razak 1997).

sumber: http://www.ppdbesut.net/nuke/edu/idp.pdf

Teknologi ‘bunuh’ minat membaca?

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/09/28

Dakwaan ini ditolak dua sarjana universiti tempatan. 

BUKAN sesuatu yang luar biasa dan aneh apabila minat membaca di kalangan masyarakat terutama generasi muda semakin menurun, malahan terdengar suara sumbang yang mengatakan bahawa kebanjiran teknologi moden seperti internet, video, permainan siber dan televisyen menjadi faktor penyebab masalah itu.

Kesan teknologi memang tidak boleh dipandang ringan malah, generasi muda lebih cenderung menggunakan bahan yang datangnya daripada teknologi berbanding medium lain kerana mereka menghabiskan banyak waktu melayari internet.

Namun, sejauh mana teknologi berfungsi untuk menarik minat membaca di kalangan masyarakat terutama bagi generasi muda atau kecanggihannya membuatkan masyarakat semakin leka hingga tanpa disedari minat terhadap membaca semakin terhakis dan terbunuh ekoran kesan penggunaan teknologi.

Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Arbaie Sujud, berkata beliau tidak bersetuju jika teknologi dijadikan punca terhakisnya minat membaca di kalangan masyarakat sebaliknya, teknologi adalah alat yang mampu meningkatkan budaya membaca.

Menurut Dr Arbaie, individu yang tidak mahu membaca bukanlah disebabkan teknologi, tetapi kerana sikap mereka sendiri yang tidak suka mendapatkan maklumat lanjut atau mencari inisiatif berkenaan cara terbaik untuk memupuk minat membaca kerana lebih mementingkan hiburan.

“Sebenarnya antara faktor yang menyebabkan seseorang itu tidak suka membaca adalah kerana bahan bacaan yang dijual di negara ini juga sangat mahal berbanding negara lain berasakan nisbah pendapatan, Selain itu, faktor lain adalah sikap masyarakat sendiri yang sering menyalahkan sesuatu seperti teknologi sebagai punca kurangnya minat membaca sedangkan itu semua tidak tepat.
“Teknologi sebenarnya bukan membunuh tetapi alat yang membantu kepada peningkatan minat membaca di kalangan masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat lebih selesa menggunakan teknologi seperti internet untuk mencari bahan bacaan dengan mudah, selesa dan terkini,” katanya kepada Sastera di Serdang, baru-baru ini.

Dr Arbaie berkata, mengehadkan penggunaan teknologi bukan penyelesaian muktamad bagi meningkatkan minat membaca terutama di kalangan generasi muda kerana pelbagai alternatif boleh dilakukan melalui teknologi bagi menarik minat membaca seperti mencipta bahan bacaan di internet berdasarkan minat masyarakat.

“Dalam negara yang mengamalkan demokrasi, kita harus membuka ruang supaya orang boleh memilih apa yang mereka suka malah, teknologi harus dimanfaatkan. Tetapi, pada masa sama kita perlu ada strategi supaya pengguna teknologi menggunakan alat itu untuk menambahkan lagi minat membaca selain, mampu membezakan penggunaan bahasa yang betul dan salah dalam setiap pembacaan mereka di ruang siber,” jelasnya.

Ketua Program Sains Maklumat, Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Juhana Salim, pula berkata teknologi membantu masyarakat memperoleh maklumat dengan kadar yang cepat seperti laporan berita berkenaan apa yang berlaku di sekitar mereka.

“Ini juga adalah satu daripada proses pembacaan sekali gus, membuktikan teknologi sebenarnya menyokong kepada pembentukan budaya di kalangan masyarakat. Malah, membaca di ruang siber dilihat lebih membantu masyarakat untuk peka dengan keadaan semasa kerana ia tidak mengambil masa yang terlalu lama.

“Sebenarnya tanpa kita sedari, masyarakat hari ini membaca lebih daripada apa yang mereka baca sebelum ini kerana kecanggihan teknologi. Minat menjadi meningkat kerana segala maklumat dan bacaan boleh diperoleh secara mudah melalui internet dan juga televisyen,” ujarnya.

Prof Juhana berpandangan, negara memerlukan teknologi bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju kerana masyarakat dan ekonomi tidak akan membangun dengan pantas tanpa bantuan teknologi selain, ia berfungsi sebagai alat penghubung untuk semua bidang.

“Kita perlu lihat secara teliti yang mana dulu semua bahan bacaan perlu dibeli malah, ada kalanya sukar untuk diperoleh pada kadar waktu yang diinginkan tetapi, melalui teknologi semua maklumat berjaya diperoleh secara padat, mudah dan cepat dengan hanya menggunakan hujung jari.

“Sebenarnya, masyarakat perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi dengan memperbanyakkan bacaan melalui kemudahan itu, bukannya leka mengejar hiburan dan mencari maklumat yang tidak berfaedah. Teknologi sebenarnya bukan menjadi penyumbang utama kepada perkara negatif tetapi, semuanya berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab masyarakat,” katanya.

'Virus' gagalkan program ICT sekolah

Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melihat semula keberkesanan program pelaksanaan program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) setelah hampir 20 tahun ia menjadi aplikasi perdana koridor raya multimedia.

Penilaian peringkat kebangsaan perlu dilakukan semula terhadap keselesaan dan kesesuaian program yang dilakukan oleh bahagian atau jabatan di KPM, institusi latihan perguruan, Institut Aminuddin Baki (IAB), agensi-agensi yang dilantik serta pihak yang berkepentingan, yang nampaknya caca marba dan belum kesampaian.

Guru masih tidak tahu mencari bahan, mengintegrasikannya dalam satu mauduk rancangan dan sukatan mengajar seharian. Pengurus dan pentadbir sekolah juga masih gagal mengurus program ICT di sekolah dengan berkesan. Kesemua inilah yang dikhuatiri akan menjadi virus sehingga menggagalkan program ICT di sekolah untuk satu pusingan lagi.


Program kesedaran atau celik komputer sudah berlalu. Satu program pengintegrasian dalam amalan terbaik mengajar di sekolah adalah fokus program latihan sekarang.

Hal ini saya anggap kritikal kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu program pembestarian semua sekolah dilaksanakan segera - seperti mana yang beliau tegaskan semasa pelancaran program Cybersafe in School peringkat kebangsaan di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lepas.

Kegagalan atau kejayaan program ICT di sekolah akan menentukan pelbagai perkara - misalnya bagaimanakah ia bakal menjejaskan kepercayaan terhadap program komputer rakyat - juga perlu diperhalusi.

Banyak program sangkutan ICT yang gagal - lihat sahaja Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI).

PPSMI adalah aspek yang kecil. Lebih besar lagi, ketidakcekapan pengurusan bakal menggagalkan keseluruhan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah kalau harapan disandarkan secara membuta tuli kepada suasana dan keadaan semasa.

Bagi penulis, ia umpama filem Terminator, sebuah syarikat SkyNet hanya mencipta dan mempromosikan teknologi yang akhirnya menjadi 'monster' yang memakan diri sendiri.

Ia umpama virus yang sangat cepat tersebar kerana kesedaran untuk menggunakan komputer di sekolah secara umumnya semakin tinggi.

Program-program pengurusan perubahan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) dengan kerjasama Portal Pendidikan Utusan Malaysia berjaya menyedarkan guru dan pengurus sekolah perihal kepentingan ICT dalam P&P.

Namun, virus itu perlu dimusnahkan terlebih dahulu.

"Komputer dihantar sebanyak dua kontena, tetapi jadi perhiasan sahaja di rumah," kata seorang bapa dalam dialog sempena program Jerayawara Pembestarian Sekolah Di Kota Marudu, Sabah, Jumaat lalu sempena pelancaran Cybersafe in School.

Malah tidak keterlaluan kalau penulis mengesyaki - atas kesedaran yang ikhlas itu - mungkin ada yang menjual komputer riba daripada program komputer rakyat ini, seperti mana ada yang menjual subsidi minyak diesel.

Kenapa program ICT di sekolah gagal? Kerana kebanyakan kita tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan komputer.

Komputer dilihat sebagai alat. Latihan komputer kepada pentadbir dan pengurus di sekolah berkisar kepada melerai dan memasang semula komputer. Mereka tidak melihat potensi alat pengupaya itu dari luar kotak pemikiran bahawa komputer ialah ciptaan paling agung pada abad silam untuk membantu manusia pada zaman akan datang.

Perisian kursus yang diharap untuk membantu guru - yang dibangunkan kononnya untuk menjadi alat bantu mengajar - telah membunuh potensi sebenar komputer di sekolah.

Oleh itu, proses melihat semula keberkesanan semula program latihan komputer di sekolah sangat penting kerana dikatakan komputer di sekolah gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Integrasi

Penulis mendapati, sikap yang keterlaluan dalam mengikuti perkembangan teknologi terkini oleh 'jurujual', terlalu terikut-ikut negara seperti Korea Selatan, gagal untuk berubah, pengurusan ICT sekolah yang tidak cekap serta kelemahan dalam aspek integrasi dan interaksi P&P menjadikan program komputer di sekolah tidak mencapai maksudnya.

Keadaan semakin kusut apabila beberapa pihak di dalam KPM masih melihat ICT perlu diikat dengan perisian tertentu yang mereka sediakan, tanpa berpegang bahawa guru ialah kerjaya jiwa raga, dan ilmu diperoleh tanpa batasan.

Tanyalah. Adakah guru telah berjaya mengupayakan P&P mereka? Adakah murid semakin minat datang ke kelas? Adakah guru sudah menjadikan budaya mengakses maklumat dari Internet sebagai bahan tambahan mereka?

Kita jangan mendengar cerita manis sebagai halwa telinga daripada pihak yang kita tidak dapat mengesahkan kesahihannya.

Turunlah ke akar umbi. Penulis yang terlibat dengan program Jerayawara Pembestarian Sekolah sempena pelancaran Cybersafe in School di Kota Marudu, Sabah amat tertarik dengan komen peserta - terdiri daripada pentadbir, pengurus, guru dan ibu bapa - kerana rupa-rupanya ibu bapa di situ akhirnya setuju ICT sangat penting, tetapi mereka masih kabur dengan kegunaannya.

Setelah mengikuti program pengurusan perubahan oleh penasihat Portal Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, ibu bapa mahu membantu sekolah, dan guru menyedari pengintegrasian adalah sesuatu yang sangat penting dalam kerjaya mereka.

Malangnya mereka kurang mendapat pendedahan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri.

"Selama ini kami hanya mendapat komputer, mendapat latihan celik komputer dan program memasang dan melerai komputer sahaja," katanya.

Dalam satu polar sosial yang kurang diberikan perhatian - iaitu masyarakat setempat di Marudu - mereka bertanya kepada penulis tentang masa depan program komputer rakyat, pembudayaan ICT dan kesan politiknya.

Seorang ibu, menghampiri penulis dan bertanya, bagaimanakah untuk berminat dengan ICT kerana dia mempunyai perniagaan, mahu mengembangkannya tetapi tidak tahu potensi komputer - sedangkan kelima-lima anaknya mahir dalam komputer tetapi kurang membantu.

"Saya sangat tertarik dengan program pengurusan perubahan oleh MDeC ini kerana saya melihat ada kaum Orang Asli Mah Meri di Selangor menjual produk kraf tangan mereka sehingga ke Amerika Syarikat," kata ibu tersebut.

Hal ini menunjukkan pelaburan berbilion ringgit kerajaan dalam usaha menerapkan budaya ICT di sekolah sejak 20 tahun lalu memutikkan bunga kerana ia telah menyusup, membudaya dan kini mengakar umbi di segenap lapisan guru - termasuk sekolah di Sabah dan Sarawak.

Hal ini terbukti melalui reaksi peserta daripada program Jerayawara MDeC, yang menunjukkan usaha itu bukan sahaja telah berjaya memangkinkan penggunaan ICT di sekolah, malah tempiasnya telah dirasai oleh masyarakat sekitar.

Hal ini sekali gus membuktikan bahawa isu jurang digital telah berjaya ditangani, dan usaha susulan oleh kerajaan seperti memperkenalkan jalur lebar dan pemberian komputer riba dalam inisiatif satu komputer satu rakyat bolehlah diteruskan dan dapat di terima.

Buku teks

Di Kota Marudu atau Nabawan di Sabah, penerimaan terhadap teknologi yang pernah dianggap 'menyukarkan urusan' itu ternyata telah bertukar sifatnya sehingga 360 darjah.

Hal ini memungkinkan buku teks tidak lagi relevan pada satu hari kelak apabila kekangan sikap guru dan masyarakat dapat ditangani sepenuhnya.

Semasa program di SMK Tandek itu, pentadbir dan pengetua, tidak lagi menunjukkan reaksi penolakan atau teragak-agak dalam komitmen mereka untuk menjadikan sekolah masing- masing sebagai agen perubahan.

Program dikendalikan oleh Dr. Ismail Zain dan pegawai Unit Perkhidmatan ICT, BTPN, Sabah, Rodymond G. Omar.

Penolong Kanan SMK Tandek, Bonar Mayanglan berkata, asalkan guru berminat, usia bukan jadi penghalang.

"Lagipun, sebagai tenaga pengajar mereka perlu ada kreativiti, inovatif dan pengetahuan - rumus penting dalam pengintegrasian ICT dalam P&P."

Shaiffuddin Shaiddin dari Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara di Kota Belud sering mencabar guru muda menggunakan ICT ketika mengajar.

"Otak kita sama sahaja… Cuma sama ada kita mahu belajar atau tidak."

Satu tinjauan rambang dalam kalangan peserta mendapati rata-rata mempunyai akaun Facebook.

"Saya sudah berusia, tapi saya sedar bahawa saya tidak boleh bekerja tanpa bantuan ICT," kata Guru SK Ranau, Kota Marudu, Abd Aziz Dumang yang turut mencadangkan setiap guru melalui program perubahan sikap.

Pendidik mesti sedia terima perubahan. Kita perlu perubahan.

Katanya, banyak lagi cabaran di hadapan, teknologi begitu pantas.

Pendedahan Jerayawara ini sesuai untuk seorang guru. Ia dapat membuka mata semua golongan kalau dapat ubah sikap, ujar guru yang sudah 38 tahun mengajar itu.

"Bukan mudah untuk berubah. Diri kita sendiri perlu berubah," tambah Aziz.

Penolong Kanan 1, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Khoi Ming, Kota Marudu, Sooi Hai Soon berkata, pihak sekolah perlu membuka pintu kepada agensi luar untuk membantu pihak sekolah membangunkan program ICT.

Guru SMK Tandek, Kota Marudu, Joanes Miro berkata, semua guru sebenarnya sudah bersedia, tapi belum cukup latihan.

Dalam hal ini, Rodymond G. Omar berkata, latihan sudah diberi dan tindakan susulan akan dibuat.

Penolong Kanan (PK) 1, SMK Bengkongan, Kota Marudu, Miasin Gani juga mengakui program pengurusan perubahan MDeC berjaya mencapai matlamatnya.

Seorang lagi guru SK Tandek, Mastijah Madina berkata: "Namun begitu, dalam kalangan ibu bapa masih terdapat sedikit kegusaran tentang pelaksanaan berdasarkan pemerhatian terhadap anak-anak sendiri."

Pada sesi sebelah petang bersama ibu bapa, isu-isu seperti komputer yang tidak dapat digunakan kerana kurang kepakaran dan juruteknik yang mencukupi menjadi isu yang masih menghantui mereka.

Namun isu itu dilihat secara positif oleh ibu bapa yang memohon kerajaan bertindak lebih cepat menangani isu berkenan.

"Sayang sahaja duit kerajaan . . . akhirnya simpan sebagai komputer," kata seorang bapa.

Gabungan kekunci dan skrin sentuh

Utusan Online
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my

Pembesar suara mini membolehkan pengguna menikmati pengalaman bunyi yang berkualiti.


MENERUSKAN kecemerlangan penciptaan produk telefon selular moden, Nokia baru-baru ini telah memperkenalkan model X3.

Ia mengetengahkan keunikan kombinasi rekaan nipis bergaya bersama fungsi skrin sentuh luas yang bakal memberi kemudahan kepada pengguna.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Nokia, Mary McDowell, penampilan inovasi pada model tersebut merupakan nilai tambah terbaik yang ditawarkan kepada pengguna dengan harga berpatutan.

"Nokia X3 sememangnya dibangunkan dengan fungsi skrin sentuh dan juga papan kekunci secara serentak.

"Ini kerana, pengguna lebih selesa menggunakan papan kekunci untuk menghantar mesej sementara fungsi skrin sentuh sesuai diaplikasikan bagi mengawal fungsi seperti capaian muzik, permainan video dan pelayaran Internet.

Model Nokia X3 mempunyai reka bentuk moden dan nipis iaitu hanya 9.6 milimeter (mm) dengan penutup bahagian belakangnya diperbuat daripada aluminium.

Bagi fungsi pengimejan, ia disempurnakan bersama kamera lima megapiksel dengan empat kali pemfokusan digital dan boleh merakam video.

Di samping itu, ia turut menyokong perkhidmatan sosial dan hiburan daripada Ovi Store serta Ovi Mail yang membolehkan pengguna menerima emel secara terus menerusi telefon bimbit mereka.

Apa yang menarik lagi, model berkenaan didatangkan bersama pembesar suara mini Nokia model MD-11.

Dengan hanya sebesar saiz poket, pengguna bakal menikmati pengalaman muzik dan stereo terbaik serta berkualiti.

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua produk tersebut boleh diperoleh daripada laman web www.nokia.com.

Platform terbaru Google cari peta Malaysia

Google Inc (Google) melancarkan platform pencarian terbarunya, Google Maps Malaysia yang mementingkan kandungan tempatan bagi kemudahan penduduk negara ini.

Malah, organisasi enjin carian Internet itu mewujudkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan bagi membolehkannya dipindah turun ke telefon bimbit.

Ketua Pemasarannya, Derek Callow berkata, Google Maps Malaysia menawarkan inovasi bercirikan tempatan dalam arah tuju pemanduan, pencarian lokasi, perniagaan tempatan, peta dan aplikasi telefon bimbit.

"Oleh itu, kami bekerjasama dengan Maxis Communications Bhd yang menyediakan platform pencarian untuk mengesan alamat dan memandu arah dengan pindah turun melalui m.google.com.my/maps," katanya.

Dalam pada itu, Google turut membuka peluang kepada organisasi tempatan untuk bekerjasama dengan mereka yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatannya di negara ini.

Ia dinyatakan Pengurus Produk Google Asia Tenggara, Andrew McGlinchey yang mahu memastikan maklumat dan kandungan dalam Google Map Malaysia sentiasa diperbaharui.

"Walaupun kami belum beoperasi di negara ini, pelancaran Google Maps Malaysia mungkin satu permulaan yang baik," katanya.

Google Maps Malaysia menawarkan platform carian maklumat jalan, alamat dan perniagaan bagi memudahkan pengguna yang mahukan maklumat lebih komprehensif, cepat dan mudah.

Platform itu menyediakan kandungan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk membolehkan rakyat tempatan dan pelancong menyumbang kandungan daripada teks kepada foto atau video, sekali gus meningkatkan kualiti peta secara online yang mampu dilayari pengguna lain.

Aplikasi Google Maps Malaysia boleh diakses melalui laman web http://maps.google.com.my dengan perkhidmatan ditawarkan secara percuma.

sumber: http://info-ict.blogspot.com

Nanoteknologi sains masa depan

Utusan Online
Oleh DR. HALIMATON HAMDAN

Bidang nanoteknologi yang dibangunkan IMEN menjurus kepada aplikasi bahan terkini.

CUBA bayangkan satu hari nanti semua maklumat yang terdapat dalam ensiklopedia mampu disimpan dalam komputer sebesar jam tangan, baju yang terkoyak bercantum sendiri dan cat rumah yang berubah warna pada masa tertentu.

Begitu juga alat mikroskop yang sangat kecil boleh melalui sistem darah manusia bagi mengesan punca penyakit dan melaksanakan pemulihan awal dan mampu mengesan pencemaran persekitaran dan makanan pada tahap yang lebih baik.

Manakala, bahan dengan sifat luar biasa yang sangat ringan dan lebih kuat daripada keluli pula boleh digunakan untuk membuat kereta, kapal angkasa, bangunan dan ciptaan lain yang lebih baik.

Sama ada sedar atau tidak, semua benda yang wujud di keliling kita semakin hari menjadi semakin kecil, ringan dan sukar dilihat.

Inilah bukti awal kewujudan nanoteknologi.

Jika lima puluh tahun lalu, ini merupakan angan-angan seorang ahli sains terkemuka, Prof. Richard Feynman, hari ini sebahagiannya telah mula menjadi kenyataan.

Kertas kerja Richard Feynman yang dibentangkannya pada tahun 1959 bertajuk Plenty of Room at the Bottom adalah wawasan permulaan bagi nanoteknologi, yang kemudiannya idea ini telah menjana konsep yang digambarkan oleh Drexler dalam tahun 1986 yang ditulis dalam buku bertajuk, Engines of Creation.

Malah, saintis Jepun, Norio Taniguchi, yang telah mencipta (1974) perkataan 'nanotechnology' bagi proses menggunakan alat dengan had kurang daripada mikrometer (satu per juta meter).

Pada 1981 Gerd Binnig and Heinruch Rohrer dari IBM (Zurich) mencipta mikroskop terowong imbasan, yang mampu merealisasikan nanoteknologi.

Mikroskop ini berkuasa melihat atom tunggal atau menggerakkan atom dan mengikis permukaan.

Sepuluh tahun selepas itu, dalam tahun 1991, pergerakan atom di permukaan telah dapat dikawal.

Kemuncaknya ialah sedekad kemudian, dalam tahun 2002, manusia berupaya membina molekul dengan menyusun beberapa atom sehingga terbentuk sistem baru dengan fungsinya yang unik.

Hari ini, cabaran dan peluang untuk menerokai ilmu baru terbuka luas. Bagi bahan nanoteknologi, penemuan tiub nanokarbon dalam 1991 oleh Sumio Iijima of NEC, Tsukuba, Japan merupakan yang sangat penting. Pada tahun 2000 Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, mengumumkan the National Nanotechnology Initiative yang kemudiannya disaingi oleh Jepun dan Eropah.

Nanoteknologi ialah teknologi abad ke-21 yang dijangka memberi impak yang ketara kepada kehidupan manusia.

Selepas kejuruteraan genetik, jelas nanoteknologi merupakan satu lagi bidang yang akan berkembang dengan pesat dalam abad ini.

Nanoteknologi sememangnya telah lama wujud, hanya manusia tidak mampu mengkajinya dalam skala yang terlalu kecil untuk diolah dengan deria yang ada pada manusia.

Walaupun nanoteknologi masih belum difahami oleh orang awam dan masih belum meluas penggunaannya, ilmu nano atau nanosains telah wujud beberapa tahun di kalangan akademia dan saintis.

Dengan berasaskan ilmu sains fundamental; fizik, kimia, biologi dan matematik dan bantuan kemajuan peralatan seperti mikroskop yang sensitif, manusia kini mampu menyusun, mengubah suai atom dan molekul dan membina sistem, bahan dan fenomena baru dengan sifat yang menakjubkan yang tidak pernah dipamerkan sebelumnya.

Lima serangan terhadap rangkaian sosial

2Kini laman web rangkaian sosial seperti Myspace, Facebook, dan Twitter melebihi fungsi asas sebagai pengantara untuk berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.

Perkembangan pesat laman-laman web ini juga membuka saluran baru kepada syarikat-syarikat untuk berkomunikasi dan berhubung dengan rakan-rakan perniagaan dan para pelanggan mereka.

Syarikat korporat sedang menyelidik dan mengkaji penggunaan saluran rangkaian sosial yang bercirikan kos efektif bagi tujuan memperbaiki operasi perniagaan, meningkatkan daya pengeluaran serta memperbaiki komunikasi dalaman di kalangan para pekerja yang kian bertambah.

Bagaimanapun, laman-laman rangkaian sosial ini berkemungkinan mendatangkan bahaya dan risiko yang baru kepada rangkaian-rangkaian korporat tanpa diketahui oleh orang ramai.

Justeru, industri adalah dinasihatkan supaya tidak terlalu agresif dalam mengikuti aliran semasa terbaru ataupun tergesa-gesa untuk menjadikan rangkaian sosial sebagai alat komunikasi.Social_Networking

Disebabkan laman-laman rangkaian sosial kian dijadikan sebagai alat pemasaran, semua syarikat dengan penggunaan perkhidmatan atas talian sepatutnya diberitahu mengenai Lima Serangan Rangkaian Sosial yang Utama yang mana mereka berkemungkinan besar akan terdedah kepadanya semasa meletakkan syarikat mereka dalam talian dan cara bagaimana yang boleh dilaksanakan bagi melindungi diri mereka.

1. Malware – Cecacing Koobface telah mengancam Facebook buat jangka masa yang agak panjang, dan ia turut menjadikan Twitter sebagai sasaran buat kebelakangan ini.

Serangan adalah melalui kejuruteraan sosial, disebabkan para pengguna biasanya dikelirukan untuk klik ke atas pautan berniat buruk yang bersembunyi dalam pesanan peribadi dan berpura-pura sebagai kawan (yang mungkin menjangkiti diri mereka).

2. Hak persendirian – Pengguna yang mempunyai kecenderungan untuk mendedahkan maklumat peribadi yang melebih dalam talian, sebagai contoh, rangkaian sosial, komen, gambar-gambar ahli keluarga, berkenaan dengan tempat kerja dan sebagainya.

Ini membolehkan maklumat berkenaan jatuh ke tangan penjenayah siber yang tidak beretika serta disalahgunakan untuk menggodam ke dalam soalan-soalan keselamatan perkhidmatan dalam talian dengan lebih efektif, seterusnya terdorong mencuri identiti.

Penggodam juga boleh menggunakan maklumat berkenaan bagi tujuan menjana serangan yang telah disasarkan.

Sebagai contoh, seseorang penggodam sanggup menghabiskan masa selama beberapa minggu tanpa rehat dan beberapa liter kopi demi menembusi rangkaian korporat sesebuah syarikat dan cuba untuk mencari kelonggaran di dalam sistem keselamatan rangkaian sasarannya.

Selain itu, dia boleh mencari nama akauntan kewangan, kemudian mengambil masa lima minit untuk semak imbas profil sosialnya, seterusnya lima minit lagi untuk menulis e-mel yang berlandaskan minat akauntan berkenaan yang bernasib malang.

E-mel tersebut adalah pembawa pautan berniat buruk atau dokumen yang berniat buruk.

3. Tipu helah (phishing) – Rangkaian sosial merupakan gudang yang kaya dengan pelbagai maklumat, dari maklumat dan profil peribadi sehinggalah pesanan dalam profil yang mungkin memudahkan penjenayah siber mencipta pesanan e-mel palsu ataupun laman web palsu (lebih dikenali sebagai laman phishing) . Ia

Ia dihasilkan bagi mengumpan mangsa-mangsa supaya memaparkan maklumat peribadi yang sensitif seperti nama pengguna dan kata laluan atau nombor kredit kad.

4. Kecacatan laman – Pada awal bulan Jun, suatu kelonggaran telah dijumpai dalam Facebook yang memberi kuasa kepada para penggunanya untuk mengimbas maklumat asas daripada sebarang akaun yang lain, bergantung kepada tahap hak persendirian yang telah ditentukan oleh pengguna.

Maklumat tersebut termasuklah nama ibu, biasanya digunakan sebagai soalan keselamatan atas talian dan pemeriksaan keselamatan kehidupan seharian.

Kelonggaran itu telah dibaik pulih pada 23 Jun, tetapi seperti mana kepingan yang diprogramkan 100 peratus, kesemua laman-laman sosial ini mempunyai kecacatan.

Sebagai makluman, sesetengah daripada kelemahan ini telah pun dikemukakan, sementara yang lain belum lagi ditemui.

Oleh itu, para pengguna perlu berwaspada terhadapnya.

5. Spam 2.0 – Salah satu kemungkinan yang menyebabkan penjenayah siber memancing bagi akaun rangkaian sosial adalah untuk menggunakan maklumat berkenaan bagi tujuan pengiklanan dan spamming.

Justeru itu, bagaimana anda boleh melindungi syarikat anda (nilai jenama di risiko) serta diri anda dalam keadaan yang sedemikian?

Baiklah, yang pertama, anda boleh lebih berwaspada apabila menerima pesanan (meskipun ia datang daripada kawan) yang kelihatan pelik.

Sebagai contoh, mengajak anda untuk menonton video.

Apakah yang perlu dilakukan oleh orang ramai bagi menentang serangan tersebut?

Berwaspadalah apabila menerima pesanan (meskipun ia datang daripada kawan) yang kelihatan pelik (terutamanya jika ia mengajak anda untuk menonton video).

Jangan memasang Codec apabila suatu laman menggalakkan anda supaya berbuat demikian – bagi laman video gerakan atas talian yang popular seperti YouTube yang menggunakan Flash, anda tidak perlu Codec video.

Sumber : http://info-ict.blogspot.com

Ucapan raya guna teknologi elektronik

Utusan Online
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN dan ASHRIQ FAHMY AHMAD

Selari dengan perkembanan teknologi Internet, laman web sosial dan laman sembang menjadi perantara untuk menyampaikan ucapan hari raya.

SETELAH berjaya mengharungi pelbagai dugaan sepanjang 30 hari berpuasa, ketibaan Syawal saban tahun pastinya disambut dengan penuh kesyukuran dan meriah.

Pelbagai persiapan dibuat seperti menghias dan mengemas rumah, membeli-belah serta menyediakan kuih-muih, semuanya adalah untuk memastikan keunikan tradisi perayaan Aidilfitri terus dikekalkan.

Sesuatu yang memang tidak pernah dilupakan adalah perutusan khabar lebaran kepada insan tersayang dan juga sahabat handai yang berada jauh di perantauan untuk mengeratkan silaturrahim.

Sama seperti amalan balik kampung dan juga kunjung mengunjung, berbalas kad ucapan untuk bertanya khabar dan mengutus salam kemaafan telah menjadi suatu kemestian.

Bagi mereka yang berada di seberang lautan atau tidak dapat pulang ke kampung atas urusan tertentu, amalan tersebut sedikit sebanyak akan dapat mengubat kerinduan setelah sekian lama tidak bertemu.

Dahulu, kebanyakan kita mengirim kad raya pelbagai corak dan saiz sebagai pengganti diri membawa perkhabaran lebaran.

Hari berganti hari, tradisi tersebut semakin kurang dilaksanakan kerana peranan kad raya kini telah diambil alih oleh pelbagai medium yang lebih canggih dan moden.

Itu merupakan kesan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin diterima baik oleh masyarakat kini.

Bermula dengan ucapan Aidilfitri yang dihantar menerusi kiriman sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS), perkembangan teknologi hari ini telah membolehkan ucapan raya dihantar secara dalam talian pula iaitu menerusi kad raya elektronik dan juga e-mel.

Kad raya elektronik mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Menerusinya, pengguna boleh memilih corak grafik yang diinginkan di mana mereka juga boleh memasukkan elemen animasi, muzik dan gambar mengikut kesukaan mereka.

Selain cantik dan menarik, menghantar ucapan dengan cara tersebut juga dikatakan lebih mudah dan pantas berbanding cara manual.

Teknologi terus berkembang, kini terdapat semakin banyak saluran teknologi disediakan untuk tujuan menghantar ucapan raya menerusi capaian Internet.

Terbaru, pengguna Internet boleh membuat ucapan secara dalam talian menggunakan laman web rangkaian sosial dan juga laman blog.

Antara yang semakin popular kini adalah laman web rangkaian sosial seperti Myspace, Facebook dan Tweeter.

Mungkin pengguna mempunyai alasan tersendiri mengapa medium tersebut menjadi pilihan berbanding menggunakan kad raya.

Ada yang berpendapat cara tersebut lebih cepat serta tidak melibatkan kos melainkan bayaran mengakses internet yang sangat minimum.

Bagi yang kreatif dan mempunyai pengetahuan dalam menggunakan pelbagai perisian komputer pula, mereka boleh mencipta kad ucapan sendiri mengikut rekaan kegemaran.

Apa yang menarik, pengguna laman tersebut juga boleh menghantar ucapan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang berada di dalam akaun laman sosial mereka secara serentak.

Cara tersebut dilihat lebih praktikal memandangkan kebanyakan individu sekarang telah mempunyai akaun laman berkenaan selain ia mudah untuk diakses dimana-mana sahaja yang mempunyai sambungan rangkaian Internet.

Tambahan pula, kesemua laman itu juga kini boleh diakses secara terus daripada telefon bimbit pintar moden hari ini.

Justeru, mereka boleh membalas segala ucapan yang diterima pada masa yang sama juga.

Selain kad raya, laman-laman berkenaan turut menawarkan ruang sembang sebagai pengantara untuk membolehkan ucapan raya disampaikan.

Dengan cara itu, kedua-dua pihak akan berasa dekat dan seronok berborak secara dalam talian walaupun dipisahkan dengan jarak yang sangat jauh.

Tidak cukup dengan itu, pengguna turut dihidangkan platform menghantar perutusan Aidilfitri menerusi video dan juga audio.

Biasanya, pengguna akan merakamkan video ucapan raya mereka terlebih dahulu sebelum dimuat naik pada laman web tertentu supaya dapat ditonton oleh pengguna lain.

Menerusi audio pula, pengguna boleh berbual panjang dengan orang yang tersayang menggunakan perkhidmatan suara.

Antara perkhidmatan itu yang popular adalah seperti Yahoo Messenger, Google Talk dan Skype.

Kecanggihan dunia teknologi hari ini juga telah membolehkan aplikasi tersebut mudah untuk dikendalikan, tidak mengalami gangguan, mempunyai kualiti suara terbaik dan yang paling penting ia murah.

Tidak kira bagaimana ucapan raya diungkapkan atau menggunakan medium apa sekalipun, apa yang menjadi kemestian, Aidilfitri harus di sambut secara sederhana dengan tidak melupakan saudara mara dan juga rakan taulan.

Bergaya dalam kelasnya

Utusan Online
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin mencabar, MSI melancarkan komputer riba 14 inci bergaya FX400.

Komputer riba berkenaan dilengkapi dengan pemprosesan Intel Core i5, kad grafik nVIDIA GeForce GT 325M (1GB memori paparan) DAN teknologi TDE.

Selain itu ia juga dilengkapi dengan teknologi boost GPU kepada mod kad grafik yang boleh diubah bagi mengoptimumkan keupayaan grafik dan pemprosesan.

Pengarah Pemasaran MSI, Sam Chern berkata, FX400 merupakan karya terhebat MSI terkini dengan lapisan luar yang menghalang calar menjadikannya lebih bergaya dalam kelasnya.

MSI yang berkerjasama erat dengan pereka sistem bunyi THX bagi mendapatkan bunyi persekitaran standard teater.

Sistem bunyi seakan pawagam dengan pembesar suara yang sesuai dengan jenis muzik dan frekuensi.

Teknologi Volum dan Teknologi Pintar memastikan bunyi yang jelas dan bersih bagi memaksimumkan pengalaman multimedia.

FX400 menggunakan pemprosesan multimedia berkuasa dan teknologi Cinema Pro MSI bagi grafik terbaik.

Sentuhan Cinema Pro hotkey meningkatkan mod filem kepada resolusi lebih tinggi dengan warna lebih mewah.

Ini memberikan pengguna pengalaman audio terbaik setanding dengan persembahan langsung, filem dan studio rakaman.

Lapisan eksklusif FX400 memberikan perlindungan daripada calar dan cap jari yang minimum.

Teknologi tepat MSI yang diaplikasikan pada FX400 secara terperinci bermula dengan papan kekunci, pembesar suara kelas pawagam THX kepada papan kekunci chiclet yang direka untuk keselesaan pengguna dan meningkatkan kegunaan pad sentuh,

Semuanya gabungan kejuruteraan berkualiti MSI dari segi seni, fesyen dan teknologi.

MSI FX400 datang dengan teknologi Turbo Drive engine (TDE) bagi meningkatkan keupayaan CPU dan sistem kelajuan dengan satu sentuhan Turbo (P1) hotkey yang terletak di atas papan kekunci.

Ini membolehkan FX400 memproses aplikasi bebanan tinggi seperti grafik tanpa mengabaikan yang lain.

Menggunakan kad grafik nVIDIA GeForce GT 325M dengan IGB GDDR3 paparan memori bagi keupayaan pemprosesan grafik tinggi.

Apabila FX400 perlu memproses aplikasi grafik, teknologi Boost GPU MSI berubah kepada mod kad grafik bagi keupayaan grafik lebih berkuasa bagi multimedia yang lebih ‘hidup’.

MSI FX400 boleh didapati daripada pengedar sah pada harga RM2,899.

Sebelum ini, syarikat terbabit, Micro Star International (MSI), mengumumkan kemunculan pad angin pada pameran Computex 2010.

Dengan ciri-ciri ketebalan 10 inci dan skrin kawalan sesentuh, dan nipis serta bergaya dalam reka bentuk, peralatan ini dioperasikan dengan unit pemprosesan berpusat (CPU) Intel.

Beroperasi dengan Microsoft Windows 7 serta android dan ciri-ciri aplikasi intuitif dan inovatif bagi meningkatkan penggunaan multimedia yang lebih canggih.

Dengan anggaran berat 800 gram (termasuk bateri) pad berkenaan yang dilengkapi teknologi 3G dan sambungan WiFi GPS, serta kamera web 1.3-megapiksel, pastinya pengguna lebih selesa menggunakannya.

MSI Wind Pad tersebut juga dilengkapi dengan pelabuh USB pembaca kad dan HDMI.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Menyediakan rakyat celik IT

Selari dengan usaha Kerajaan untuk meluaskan penembusan akses jalur lebar kepada seluruh rakyat di bawah program Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) selain mempersiapkan generasi akan datang celik teknologi maklumat (ICT), sebanyak 1.2 juta unit komputer riba akan diagihkan secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah termasuk pelajar dengan syarat mereka perlu melanggan pakej perkhidmatan jalur lebar dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Seperti yang diumumkan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini, pemberian komputer secara percuma itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat. Pada fasa pertama sebanyak 200,000 unit akan diagihkan dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Sementara sebanyak satu juta lagi akan diagihkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebaik sahaja peringkat fasa pertama selesai diagihkan.

Beberapa syarat telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi mereka yang layak memohon. Antaranya, pemohon mestilah di kalangan mereka yang mempunyai pendapatan isu rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan, pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Setiap individu yang layak diwajibkan melanggan perkhidmatan jalur lebar dengan TM secara kontrak selama 24 bulan.

Mereka yang berjaya diwajibkan membayar yuran langganan sebanyak RM38 sebulan selama dua tahun kepada TM sementara golongan pelajar sekolah hanya dikenakan yuran langganan sebanyak RM20 sahaja.

Bagi memastikan setiap rakyat memperoleh akses kepada internet, TM kini sedang giat memasang Pusat Akses (AP) bagi meningkatkan isyarat penerimaan jalur lebar di mana dengan adanya AP ini orang ramai boleh mengakses Wifi – iaitu akses internet tanpa wayar dengan radius sejauh dua kilometer dari pusat AP.

Selain memberikan komputer riba secara percuma dengan yuran langganan yang murah, Kerajaan turut memberikan tumpuan untuk melonjakkan teknologi maklumat di negara ini secara berterusan dari semasa ke semasa. Antara yang diberikan penekanan termasuklah mengukuhkan prasarana komunikasi negara dengan penggunaan gentian optik di mana jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi itu akan membolehkan lebih 1.2 juta isi rumah dan premis perniagaan disambungkan dengan internet berkelajuan tinggi antara 10 megabait sesaat hingga satu gigabait sesaat.

Jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi itu bakal menyediakan platform bagi membangunkan aplikasi ICT untuk masa depan selain memberi peluang kepada rakyat, ahli perniagaan dan agensi Kerajaan meningkatkan daya saingnya. Penyediaan prasarana itu penting kerana Kerajaan menyedari tidak ada negara yang boleh dimajukan tanpa mempunyai komponen teknologi utama.

Sebagai contoh, Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) yang diwujudkan 13 tahun lalu kini muncul sebagai hab ICT bertaraf dunia apabila lebih 2,000 syarikat beroperasi dengan perolehan sebanyak AS$5 bilion setahun selain menyediakan 9,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan bernilai AS$1.6 bilion setahun.

MSC Malaysia yang akan memasuki pembangunan fasa ketiga mulai 2011bukan sahaja perlu memberikan sumbangan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara malah menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh dunia pada masa ini. Kerajaan juga berusaha untuk menetapkan strategi-strategi supaya MSC Malaysia dilibatkan dengan Model Baru Ekonomi (MBE) bagi mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kita dapat lihat negara-negara maju dan kaya seperti Amerika Syarikat, Jepun, Switzerland, Sweden, Kanada, Australia bukan mencapai tahap kemajuan tinggi secara kebetulan sebaliknya negara-negara ini memiliki dan membangunkan teknologi tinggi sedangkan negara yang gagal mencipta inovasi dalam ekonomi akan ketinggalan.
Aspek lain yang diberikan tumpuan oleh Kerajaan melonjakkan teknologi maklumat di negara ini ialah melalui perancangan mewujudkan sebuah pusat praktikal teknologi maklumat mirip model perisian Infosys ternama di Bangalore , India. Melalui pusat ini, siswazah lepasan IT akan dapat mengikuti latihan kemahiran tinggi sebelum menceburi bidang pekerjaan dengan gaji lumayan.

Pengasas Infosys Technology Ltd, N.R. Narayana Murty memulakan syarikatnya pada 1981 dengan modal RM865 (AS$250) dan menukarkannya menjadi sebuah syarikat teknologi maklumat dan perundingan berbilion dolar. Kejayaan Infosys merupakan satu kisah kejayaan klasik India dengan pendapatan tahunan bagi tahun kewangan 2007 melebihi RM10.72 bilion dan permodalan pasaran sebanyak RM103.8 bilion sekali gus menjadikannya salah sebuah syarikat IT terbesar di India.

Syarikat-syarikat IT India pada hari ini berupaya mewujudkan 11.3 juta pekerjaan setahun dan ini sukar ditandingi baik oleh China yang menjadi saingan India. Malah Bangalore pada hari ini dirujuk sebagai Lembah Silikon India yang menyumbang sebanyak 30 peratus daripada eksport perisian India.

Usaha meningkatkan penembusan jalur lebar ini di lihat cukup penting dan berdasarkan laporan Bank Dunia, setiap 10 peratus peningkatan jalur lebar akan menyumbang kepada penambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.3 peratus dan ini lah yang dilakukan oleh negara seperti Korea Selatan.

Sumber: http://kpkkblog.blogspot.com/2010/08/menyediakan-rakyat-celik-it.html

Hayati keindahan gambar

Utusan Online - Megabait
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Dilengkapi dengan teknologi pemproses terbaru dari AMD Athlon™ II Dual-Core dan kad grafik ATI Mobility Radeon™ HD 5430, komputer riba taruhan Fujitsu bakal menawarkan prestasi serta kualiti gambar terbaik buat pengguna.

Saksikan kualiti kandungan video menjadi lebih menarik, gambar menjadi lebih terang dan jelas serta nikmati sistem muzik yang luar biasa daripada komputer riba terbaru dari Fujitsu.

Fujitsu LifeBook LH520 hadir bersama pakej teknologi pada dimensi terbaru serta gaya hidup moden terkini.

Dijana oleh pemproses AMD Athlon™ II Dual-Core yang juga merupakan teknologi penjimatan tenaga terbaik, komputer ini menawarkan pemproses bersesuaian tugasan yang pelbagai.

Selain itu, kehadiran grafik kad dari ATI Mobility Radeon™ HD 5430 pada komputer tersebut memberikan kualiti HD kepuasan menonton seumpama suasana di skrin wayang gambar.

Menurut Pengarah Pemasaran Produk Fujitsu Asia Pasifik, Lim Teck Sin, Fujitsu LifeBook LH520 merupakan komputer yang amat sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu yang menepati kehendak peribadi di samping tidak terlalu mahal.

"Komputer riba ini juga direka untuk memberi dua ciri utama iaitu kepercayaan dan prestasi kepada pemiliknya," ujarnya.

Anda juga pasti teruja dengan kualiti gambar yang dipaparkan oleh komputer riba ini tatkala melihat gambar-gambar anda sama sebelum mahu pun selepas ia di edit.

Ditambah pula dengan keasyikan alunan muzik yang dimainkan oleh komputer riba ini.

Namun, antara kelebihan yang terbesar adalah kecerahan serta ketajaman wayang gambar HD pasti memuaskan hati pemiliknya.

Di tambah dengan kamera 1.3 mega piksel serta mikrofon stereo berkembar binaan dalam memudahkan anda berhubung dengan rakan-rakan mahu pun ahli keluarga di seluruh dunia melalui perisian seperti Skype dan Messenger.

Bersama dengan segala kelebihan teknologi terkini tersebut, Fujitsu sedar ia akan menjadi pilihan ramai justeru komputer riba ini perlu tahan dengan kelasakan penggunanya.

Ia juga bakal dibawa ke mana-mana sahaja oleh pengguna oleh demikian pembikinan Fujitsu LifeBook LH520 turut mengambil kira situasi tersebut.

Sebagai contoh teknologi kalis tumpahan pada papan kekunci yang mana boleh mengelakkan kerosakan yang teruk apabila berlakunya tumpahan seperti air kopi mahu pun lain-lain jenis minuman ke atas papan kekunci tersebut.

Ia di tambah pula dengan kelebihan slot kekunci BIOS, kekunci cakera keras, dan kekunci antipencuri menjadikan komputer riba ini amat berbaloi untuk dimiliki.


Ibu bapa berperanan didik anak mengenai IT

ARKIB : 31/08/2010
Utusan Online

BERA 30 Ogos - Ibu bapa perlu berperanan dan bertanggungjawab dalam menggalakkan anak-anak menguasai ilmu teknologi maklumat (IT) sebagai penggerak evolusi pada abad ini.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan kerajaan membangunkan prasarana seperti pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC) untuk memastikan peningkatan dalam perkembangan penyelidikan dan kreativiti.

Menurut beliau, kerajaan tidak mahu rakyat ketinggalan bagi bidang tersebut dan diberikan peluang meningkatkan kemahiran mereka dalam ICT.

"Kerajaan tidak mahu apabila negara mencapai tahap negara maju pada tahun 2020 tetapi masih ada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar tercicir dan tidak tahu menguasai IT.

"Untuk itu, kerajaan akan terus merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar bagi memastikan tidak ada rakyat yang tercicir dan ketinggalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Netbook 1 Malaysia daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada 1,500 pelajar daripada enam buah sekolah menengah daerah ini, di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, kerajaan membelanjakan RM1.2 billion bagi mengagihkan 1.2 juta netbook percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dan juga pelajar.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 65 peratus diagihkan kepada para pelajar yang tidak berkemampuan dengan keutamaannya diberikan kepada sekolah menengah dan pelajar universiti yang masih tiada langganan Internet jalur lebar.

Tambahnya, manakala 35 peratus lagi diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan kurang liputan dan sedia ada perkhidmatan dengan sasaran pengagihan meliputi kampung tradisional, kampung baru dan pusat penempatan setempat.

Katanya, penerima perlu mendaftar dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) untuk mendapatkan pakej jalur lebar WIFI TM selama setahun sebagai syarat penerimaan netbook percuma tersebut.

"Langkah yang dilaksanakan kerajaan di bawah Skim Pemberian Perkhidmatan Sejagat ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang bertujuan meluaskan penembusan akses Internet jalur lebar kepada umum," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,500 netbook diperuntukkan di bawah tiga PJK yang terdiri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, SMK Seri Bera, SMK Bandar Kerayong, SMK Felda Purun, SMK Triang dan SMK Bukit Mendi membabitkan pelbagai kaum.

"Setakat ini SKMM sudah mengagihkan 18,500 netbook kepada para pelajar sekolah menengah di seluruh Pahang," katanya.

Pantau penggunaan Internet remaja elak ICT disalah guna

ARKIB : 27/08/2010
Utusan Online

SEREMBAN 26 Ogos - Penggunaan Internet di kalangan remaja perlu dipantau oleh ibu bapa di negeri ini bagi mengelak kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu disalah guna oleh golongan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir, penggunaan Internet tanpa batasan itu dikhuatiri mempengaruhi pemikiran golongan tersebut dengan perkara tidak bermoral.

"Boleh diandaikan hampir semua keluarga hari ini mempunyai komputer riba termasuk diedarkan secara percuma dan memiliki jalur lebar atau Internet di rumah.

"Di sebalik kemudahan yang diberikan, kita tidak mahu ia disalah guna oleh remaja seperti melayari laman web tidak bermoral," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kaunseling Kerohanian anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPPKN) di Kompleks Kesejahteraan Keluarga di Seremban 2 di sini semalam.

Zainab menambah, ibu bapa boleh mengambil beberapa langkah seperti menyekat akses laman-laman web tidak bermoral atau sentiasa mengawasi mereka ketika melayari Internet.

"Ada yang membiarkan anak-anak melayari Internet di bilik mereka dan tanpa mengambil tahu apa yang dilakukan ketika ketiadaan kita. Perkara ini boleh dielak.

"Terdapat pelbagai kes di mana remaja mudah dipengaruhi oleh mereka yang tidak dikenali melalui laman sosial dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Tambah beliau, dengan pelbagai masalah gejala sosial seperti buang bayi dan hamil luar nikah di kalangan generasi muda hari ini, ibu bapa memikul peranan lebih berat untuk mendidik dan mengasuh anak-anak mereka.

"Dalam keadaan sekarang dengan masalah sosialnya, ibu bapa perlu berusaha lebih keras dalam perkara ini," katanya.

Sementara itu ketika berucap pada majlis tersebut, kata Zainab, kelangsungan keluarga dalam berdepan dengan arus perdana perlu diberi penumpuan khusus terutama dari aspek psikologi.

"Melihat pada tekanan hidup yang meningkat, ia telah menimbulkan banyak gejala sosial dan ini menggambarkan betapa rapuhnya nilai-nilai kemanusiaan.

"Masyarakat perlu sedar tentang kepentingan kaunseling sebagai cara untuk membantu mereka mengimbangi tekanan yang wujud dalam fikiran, emosi dan keinginan kerohanian diri mereka.

"Jika ia dapat dilahirkan akan terbentuk masyarakat penyayang yang mengamalkan budaya menyayangi antara satu sama lain," katanya.

Sebanyak 50 peserta di kalangan kakitangan kerajaan mengikuti program setengah hari tersebut yang antaranya bertujuan memberi pendedahan dan maklumat berhubung ciri-ciri jati diri dalam membangunkan keluarga bahagia.

Telefon pintar komputer kompak

Oleh LAUPA JUNUS
Utusan Online
Arkib 30.08.2010

Memilikinya seperti mempunyai sebuah komputer peribadi mini, memandangkan beratnya hanya 181 gram (g).

Begitu gambaran ringkas N900, terbaru daripada Nokia yang beberapa bulan lepas telah menemui pengguna.


Justeru , model pintar yang menggabungkan komunikasi, hiburan, santai dan aplikasi pejabat kelihatan hampir sempurna bagi pembangunan gajet pintar idaman.

Ini kerana, pengguna pada hari ini mengidamkan sesuatu yang lebih daripada yang ada di pasaran sekarang untuk berhubungan atau apa juga kegunaan.

Memetik kata-kata Pengurus Besar Nokia Malaysia , Singapura dan Brunei, Vlasta Berka, bahawa pengguna mahukan lebih kuasa, menambah baik fungsi dan sambungan lebih hebat.

Maka Nokia N900 ditampilkan sebagai teknologi perkomputeran mudah alih seperti komputer peribadi, Internet dan telefon bimbit.

Dioperasikan dengan Maemo 5 dan dilengkapi sejumlah aplikasi yang dimanfaatkan serentak dengan ciri-ciri selular skrin sesentuh dan papan kekunci QWERTY, menjadikannya produk yang direka bentuk seperti komputer bersaiz kompak.

Ia dilengkapi dengan prosesan ARM Cortex-A8 berkuasa, dengan aplikasi memori sehingga 32GB dan boleh ditingkatkan kepada sehingga 48GB serta paparan grafik Open GLES2.0.

Tambahan ciri-ciri skrin sesentuh WVGA resolusi tinggi dan sambungan 10/2 Akses Paket Berkelajuan Tinggi (HSPA) dan keupayaan Rangkaian Kawasan Setempat Tanpa Wayar (WLAN) menjadikan N900 ini seronok dan pantas melayari Internet.

Selain itu teknologi Mozila menjadikan pelayaran Internet anda pantas dan ala komputer.

Aplikasi sokongan Adobe Flash (TM) 9.4 pula menjadikannya kerja-kerja pejabat lebih sempurna selain kemudahan lain seperti pencatat nota, buku telefon dan mesin pengira.

Papan kekunci gelongsor mungkin satu perkara yang merisaukan kerana dalam banyak produk yang memanfaatkan teknologi ini, kadangkala ia menimbulkan sedikit masalah.

N900 bagaimanapun menawarkan pilihan pengguna papan kekunci maya dengan sentuhan di hujung jari yang pantas dan lebih jelas paparannya.

Bagaimanapun papan kekunci maya ini kadangkala tidak dapat berfungsi atau lambat memberi respon. Satu ralat yang perlu diberi perhatian oleh pengeluar.

Sebab itu, menaip pesanan ringkas (SMS) meskipun mudah dengan papan kekunci maya, tetapi masalah tersebut ada kalanya menganggu kelancaran. Papan kekunci fizikal boleh digunakan.

Untuk penggunaan komunikasi seperti e-mel dan sistem pesanan Nokia, pengguna boleh menetapkan sehingga 10 akaun peribadi.

Bagi aktiviti santai, penggunaan perisian Maemo memberi kelebihan penggunaan kamera 5 megapiksel dan lensa Carl Zeiss.

Selain itu, ikon yang dipaparkan pada Nokia bersaiz 110.9 milimeter (mm) x 59.8 mm dan 18mm ini juga jelas untuk memudahkan navigasi kepada setiap aplikasi yang dikehendaki.

Penggemar hiburan juga akan menikmati muzik kegemaran mereka dengan pemain MP3 dan dengarlah lagu kesukaan sambil bermain permainan digital seperti mahjong, catur, susunan blok.

Untuk memudahkan pengguna, N900 juga menawarkan panduan penggunaan yang sertakan dalam bentuk tayangan video.